Pages

Wednesday 14 December 2011

RajaBio Minyak Kelapa Dara 150 ml - Harga Pengenalan RM35 SAHAJA (tidak termasuk caj penghantaran)

Sila hubungi stokis.raja.bio@gmail.com untuk pesanan.



  • 100% minyak kelapa dara tulen
  • 100% dihasilkan secara semulajadi & tradisional
  • 0% menggunakan mesin
  • 0% bahan kimia
  • 0% menggunakan haba
  • 0% karbohidrat
  • 0% gula
  • 0% protein
  • 0% kolesterol
  • 100% dijamin kandungan bersih yang sampai ke tangan pengguna tidak kurang daripada 150 ml setiap botol
  • 100% selamat untuk disapu atau diminum, untuk kegunaan luaran atau dalaman
  • 100% buatan Malaysia, dihasilkan oleh pengusaha Melayu Islam dalam keadaan berwudhu'

NOTA:

Sesetengah pengguna akan mengalami ketidakselesaan semasa menggunakan RajaBio pada peringkat awal. Ini disebabkan proses penyembuhan dan penyahtoksinan (detoxification) sedang berlaku. Walaupun produk ini selamat digunakan, pengguna dinasihatkan merujuk kepada pakar perubatan sekiranya ketidakselesaan tersebut berterusan.

Thursday 8 December 2011

Dilema Seorang Penyokong Liverpool

Ihsan: http://luckycol.blogspot.com/2007_05_01_archive.html
Seingat-ingat aku, penaja utama yang namanya tertera pada jersi Liverpool sebelum ini ialah sebuah syarikat arak. Jadi walaupun Liverpool tengah kuat pada masa itu, ramai penyokong keberatan untuk menunjukkan solidariti dan sokongan dengan memakai jersi berkenaan. Iyalah, memakai jersi yang tertera nama syarikat arak itu bukankah tergolong dalam golongan yang terlibat dengan arak juga; bezanya dengan cara mempromosi sungguhpun secara tidak langsung. Pada masa itu, penyokong The Reds yang die-hards memilih mengelak dosa tapi tetap menzahirkan sokongan. Caranya? Depa beli jersi cetak rompak atau Made In Siam yang ditukar nama penaja utama kepada "Liverpool". Pandai juga hamba Allah yang mereka corak tulisan yang seakan-akan nama syarikat arak itu.

Sekarang, Liverpool sudah bertukar penaja utama kepada sebuah institusi perbankan. Kelihatan hilanglah keraguan dan dilema para penyokong The Kops untuk kembali menyarung jersi pasukan kesayangan mereka. Tapi bagaimana kalau aku cadangkan satu perspektif baru. Institusi perbankan tersebut berorientasikan konvensional. Dalam erti kata yang lebih mudah difahami, sah-sah mengamalkan riba.

Perspektif yang ingin dicadangkan adalah, di antara mempromosi minuman keras dan riba, yang mana lebih besar dosanya? Setahu aku, ada ayat Al-Quran yang menyuruh diperangi orang yang terlibat dengan riba. Secara logiknya, dahsyat lagilah dosa riba.

Amacam penyokong Liverpool?

p/s: Setiap kali iklan Nuffnang yang bernuansakan kurang mesra agama dan keluarga keluar, aku juga terfikir akan dosa. 

Wednesday 7 December 2011

Beza Patriotisme & Nasionalisme


Dalam kuliah tadi, ada seorang member wanita keturunan Cina bertanya kepada rakan-rakan yang membentang bab-bab dalam buku Benedict Anderson, "Imagined Communities". Soalan dia simple saja, tapi ramai terkena. Mungkin dia sendiri yang nak mengenakan rakan-rakan pembentang, atau dia memang tak tau. Aku syak yang mula-mula. Satu perbuatan yang tak baik dan bukan bersifat kesetiakawanan sekuliah.

Dr. L banyak kali cuba feed supaya yang menjawab sama ada yang membentang atau tidak dapat memberi jawapan yang betul. Malangnya setiap kali itulah ramai yang terperangkap dengan jawapan sendiri yang kadang-kadang berkontradiksi. Antaranya, ada yang menyatakan nasionalisme lebih tinggi berbanding patriotisme.

Aku dapat tangkap hint Dr. L, cuma aku tak jawab. Di kalangan yang menjawab, hanya dua orang yang betul.

Secara mudah, nasionalisme ialah semangat kebangsaan, manakala patriotisme ialah semangat cintakan negara. Contoh mudah yang diutarakan oleh Dr. L ialah semasa Malaysia vs. Indonesia dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 tempoh hari, apakah yang membuatkan penyokong Malaysia yang berada di tanah air menyokong pasukan Malaysia? Adakah sebab nasionalisme atau patriotisme? Jawabnya, sudah tentu patriotisme. Nasionalisme sepertimana namanya merujuk kepada bangsa.

Aku ada soalan tapi tak diutarakan secara langsung. Aku cadang untuk e-mail sahaja kepada Dr. L. Soalan-soalan aku:
Amerika Syarikat dikenali sebagai 'melting pot', ertinya datanglah bangsa apa pun dari mana pun ke Amerika Syarikat mereka akan menganggap diri mereka sebagai orang Amerika. Tapi menurut Benedict Anderson, boleh dikatakan semua bangsa di dunia ini mempunyai semangat "imagined communities" (istilah mudahnya 'sense of belongings' kepada orang sebangsa sama ada di negara yang sama atau negara lain). Jadi adakah dengan ini bermakna label 'melting pot' terhadap Amerika Syarikat selama ini bertentangan dengan realiti sebenar atau bagaimana?
Saya pernah terbaca tulisan Huntington dalam buku "Siapa Kita?" yang menceritakan kisah bagaimana rakyat keturunan Hispanic di Amerika lebih berbangga sebagai Hispanic berbanding sebagai rakyat Amerika, yang diserlahkan dengan catatan peristiwa bahawa dalam satu perlawanan bola sepak di antara Amerika Syarikat dengan Mexico di bumi Uncle Sam sendiri, suasana di stadium dengan kibaran bendera dan nisbah penyokong seolah-olah pasukan Amerika Syarikat bukan bermain di negara sendiri. Ada juga peristiwa lagu kebangsaan Amerika di"boo". Satu soalan lagi, sekiranya imagined communities satu realiti di Amerika Syarikat, adakah melibatkan semua kaum imigran atau terhad kepada kelompok tertentu sahaja seperti Hispanic?

Friday 2 December 2011

Zaman Nabi, Zaman Dinosaur: Adakah Titik Pertemuan?


 
Aku ada satu persoalan yang sedari kanak-kanak lagi belum terjawab.

Sepengetahuan aku, dinyatakan oleh pakar sejarah bahawa pada peringkat awal dunia (baca: bumi) ini dihuni oleh dinosaur dan juga orang zaman batu.

Dari sudut pandangan Islam, manusia pertama di muka bumi ialah Nabi Adam dan isterinya Hawa serta anak-anaknya, di antara yang paling terkenal Habil dan Qabil. Seterusnya diikuti oleh para nabi yang lain meneruskan usaha dakwah.

Soalan aku yang belum terjawab sehingga sekarang ialah:

"Ketika kewujudan dinosaur dan orang zaman batu, di manakah pula para nabi?"

atau

"Ketika para nabi menyebarkan dakwah Islamiah, di manakah pula gerombolan dinosaur dan orang zaman batu?"

Pada pemahaman aku, aku tak tahu sama ada betul atau tidak, seolah-olah kedua-dua pihak ini tidak pernah bertemu. Dalam erti kata lain, berdasarkan pemahaman aku, dinosaur pupus dahulu dan kemudian baru muncul para nabi. Atau, gerombolan dinosaur dan orang zaman batu hidup sezaman dengan para nabi tetapi masing-masing berada di bahagian muka bumi yang lain, e.g. satu pihak di sebelah Timur sementara pihak yang satu lagi di sebelah Barat.

Waktu kanak-kanak aku juga terfikir, kalau dakwah Islamiah tidak sampai kepada orang zaman batu, bagaimana kesudahan mereka, syurga atau neraka? (nanti, aku tak kata aku tak risau akan kesudahan nasib aku sendiri)

Ada sesiapa yang arif boleh tolong jawab?

Wednesday 30 November 2011

Mangkuk Berkaki Dua di Kawasan Kejiranan

Apa perasaan anda, apabila anda hendak keluar dari rumah, tapi ada kereta entah siapa-siapa suka-suki mak bapak dia parking betul-betul melintang depan pintu pagar rumah anda?
 
Apa perasaan anda, apabila tong sampah yang terletak di luar rumah anda, yang apabila anda nak buang sampah anda masukkan dalam plastik sampah dan ikat elok-elok, tiba-tiba entah sampah siapa-siapa suka-suki mak bapak dia dimasukkan ke dalam tong sampah anda? Lebih teruk ada juga sampah dalam bentuk pampers bersalut najis, tulang ikan, ayam dll., pinggan dan cawan polisterin, air kotak, bekas minuman dan sebagainya dilempar bukan sahaja sekeliling tong sampah, bahkan sampai tersangkut di tembok hadapan rumah anda, apa perasaan anda?
 
Apa perasaan anda kalau semua ini berlaku selalu?
 
Apa perasaan anda kalau semua ini berlaku di kawasan kejiranan yang 99% orang Melayu profesional?
 
Apa perasaan anda kalau suatu hari terbukti bahawa perangai paling keji ini dilakukan oleh sama ada  para pembantu rumah warga asing, atau kalangan anak-anak jiran Melayu profesional tersebut, atau ibu-bapa yang menghantar dan mengambil anak di nurseri berhadapan rumah anda, atau paling teruk oleh ibu-bapa kejiranan ini sendiri? Apa perasaan anda?
 
Aku terasa nak lekatkan sticker di bawah ini ke dahi mereka.

Monday 28 November 2011

Puisi Nasib Sebuah Madrasah



Dek kurang jemaah
(katanya)
Dirobohkan sebuah madrasah
sekurun usia
Dibina gedung niaga

Siapalah aku mahu menyanggah fatwa agamawan
Tapi aku masih mahu melontar persoalan

Apakah si pewakaf redha
kiranya selain madrasah ditegakkan
sesudah tanah diratakan
(sudahkah dia atau waris dimohon kepastian)

Mengapakah bilangan jemaah jadi perhitungan
sedang gereja di puncak St. Paul
berabad-abad tegak berdiri
meski kini langsung nihil fungsi

Benarkah serupa Taliban
meruntuh patung Bamiyan
semata pupus ritual sembahan

Malang
andai  menuding seteru siasah
menggadai tanah milik bangsa
Walhal (kununnya) fuqaha
secara sengaja memperhelah dalil
(lebih buruk)
demi melebur sejarah islami
milik leluhur sendiri

Wednesday 23 November 2011

Scam: "Investment Inquiry" from a Daughter of Gaddafi

Caution: Baca boleh, percaya jangan!

Investment Inquiry

I am Miss. Salamatu Gaddafi, one of the daughters of the embattled president of Libya, I am currently residing in one of the African Countries, unfortunately as a refugee. At the meantime, my family is the target of Western nations led by Nato who wants to destroy my father at all costs. Our investments and bank accounts in several countries are their targets to freeze.

I have been commissioned to contact an interested foreign investor/partner who will be able to take absolute control of part of the vast cash available to private account with my late brother who was killed by NATO air strike, for a possible investment in your country.

If this transaction interest you, you don’t have to disclose it to any body because of what is going with my entire family, if the united nation happens to know this account, they will freezing it as they freeze others so keep this transaction for yourself only until we finalize it.

I want to transfer this money into your account immediately for onward investment in your country because I don’t want the united nation to know about this account.

Therefore if you are capable of running an establishment and can maintain the high level of secrecy required in this project, kindly respond with the following information for details of the project.

1. Your full names and address
2. Your private telephone and fax numbers
3. Your private email address
4. Age and profession


Best Regard,

Miss.Salamatu Ayesha Gaddafi

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 4



2.3    Dasar Pengurusan Sisa Pepejal (DPSP)

DPSP membuka lembaran baru dalam pengurusan sisa pepejal secara sistematik dan mesra alam. Perbincangan selanjutnya akan tertumpu kepada dua daripada enam teras DPSP iaitu Teras 1 dan Teras 3.


2.3.1   Teras 1 : Pengurangan Sisa Pepejal Melalui 3R (Reduce, Reuse, Recycle) 

3R (Reduce, Reuse, Recycle) terkandung dalam Kempen Program Kitar Semula Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan pada 2 Disember 2000. Reduce bermaksud “memilih bahan yang digunakan dengan bijak bagi mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.” Reuse termasuklah “aktiviti menggunakan semula semua atau sebahagian daripada bahan yang masih boleh digunakan lagi.” Recycle pula membawa maksud “penggunaan barang-barang terpakai tersebut sebagai satu sumber bahan mentah.”

Pelaksanaan 3R didorong oleh statistik bahawa setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membelanjakan antara 40 peratus hingga 70 peratus perbelanjaan tahunannya untuk mengutip dan melupuskan sampah. Sekiranya tapak pelupusan sampah yang bersesuaian tidak dapat diperolehi, tahap kesihatan penduduk dan kualiti alam sekitar akan terancam akibat pembuangan sampah-sarap yang tidak terkawal.

Bagi menjayakan 3R, KPKT telah menempatkan 15 ribu tong kitar semula dan 700 pusat pengumpulan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara seperti sekolah, stesen minyak, kawasan perumahan dan pejabat-pejabat kerajaan. Tiga jenis tong dengan warna-warna tertentu disediakan berdasarkan jenis sampah seperti berikut :

i.      Biru – kertas

ii.    Jingga – tin aluminium, tin keluli, plastik

iii.   Coklat – kaca

Barangan kitar semula dari tong kitar semula dan pusat kitar semula akan diasingkan, dibersihkan, dihantar dan dijual kepada kilang-kilang yang dapat memproses barangan tersebut menjadi produk yang sama atau produk yang berlainan.

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 3


2.2      Rancangan Fizikal Negara (RFN)

RFN diwujudkan susulan daripada keputusan MPFN pada 26 April 2005. RFN dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan agensi Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan pembangunan guna tanah. KPKT dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan RFN dan mengadakan penilaian semula setiap lima tahun. Kemajuan yang dicapai perlu dilaporkan secara berkala kepada MPFN.

Salah satu daripada empat objektif utama RFN ialah “mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber asli untuk pembangunan mampan.” Selaras dengan objektif ini, beberapa pendekatan telah diambil, dan pendekatan yang berhubung kait secara langsung dengan pengurusan sisa pepejal ialah Perancangan Prasarana Yang Bersesuaian. Menerusi pendekatan ini, RFN mencadangkan agar prasarana dan perkhidmatan berkualiti membabitkan bekalan air, elektrik, telekomunikasi, pembetungan dan sistem pelupusan sisa pepejal disediakan menggunakan teknologi yang sesuai dengan tapak dan keperluan pembangunan.

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 2



2.0         LANGKAH-LANGKAH KERAJAAN MENERUSI KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN (KPKT)

2.1      Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN)

MPFN ditubuhkan mengikut Seksyen 2A(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129) bagi menyelaras semua dasar dan aktiviti berkaitan perancangan bandar dan desa untuk memastikan penggunaan sumber dan pembangunan yang lebih seimbang dan mampan.

MPFN dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Salah seorang ahli MPFN ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) bertindak selaku Setiausaha. MPFN diurus setiakan oleh JPBD dan bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun iaitu setiap empat bulan. Hasil mesyuarat pertama MPFN pada 23 Jun 2003, Jawatankuasa Kerja Majlis Perancang Fizikal Negara (JKK MPFN) diwujudkan.


2.1.1   Jawatankuasa Kerja Majlis Perancang Fizikal Negara (JKK MPFN)

JKK MPFN berperanan membantu menyelaras dan meneliti semua perkara di bawah bidang kuasa MPFN. Ahli jawatankuasa JKK MPFN akan membincangkan dan membuat pengesyoran sebelum dibawa untuk pertimbangan dan keputusan oleh MPFN.

Menerusi penubuhan JKK MPFN, Ketua Setiausaha KPKT dilantik sebagai Pengerusi manakala Ketua Pengarah JPBD sebagai Setiausaha. Ahli-ahli lain terdiri daripada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian yang menganggotai MPFN dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia.

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 1


1.0         PENDAHULUAN
1.1      Definisi dan Konsep “Pembangunan Mampan”
Mapan bererti, “tidak berubah-ubah (sudah diterima umum)” dan “tidak goyah (sudah stabil, teguh, dikenali dsb)”. Mampan pula bermaksud, “mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik (berkenaan ekonomi, pembangunan dsb)” (Kamus Dewan, 2005). Justeru, tajuk perbincangan lebih wajar diselaraskan sebagai “pembangunan mampan” bagi menggantikan frasa “pembangunan mapan”.
Konsep “pembangunan mampan” bersusur-galur daripada Resolusi 38/161, "Process of Preparation of the Environmental Perspective to the Year 2000 and Beyond"  yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Perhimpunan Agung PBB) pada 19 Disember 1983. Bertitik-tolak daripada resolusi tersebut, sebuah suruhanjaya iaitu Brundtland Commission ditubuhkan.
Matlamat Brundtland Commission adalah mengutarakan kebimbangan tentang kemerosotan mendadak persekitaran manusia dan sumber asli serta kesannya terhadap pembangunan ekonomi dan sosial. Menerusi penubuhan suruhanjaya berkenaan, Perhimpunan Agung PBB mengiktiraf masalah alam sekitar sebagai masalah sejagat. Justeru, demi kemaslahatan bersama, dasar pembangunan mampan perlu diwujudkan.
Laporan Brundtland Commission bertajuk “Our Common Future” dibentangkan semasa Perhimpunan Agung PBB melalui Resolusi 42/187, “Report of the World Commission on Environment and Development” bertarikh 11 Disember 1987. Laporan berkenaan membincangkan pembangunan mampan dan keperluan perubahan politik bagi menjayakannya. Menerusi laporan tersebut, istilah “pembangunan mampan” didefinisikan sebagai “...pembangunan yang memenuhi ‘keperluan’ semasa tanpa mengabaikan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.”
Secara ringkas, konsep “pembangunan mampan” ialah pembangunan yang menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan keperluan-keperluan sosial dan alam sekitar.
1.2      Skop Perbincangan
Perbincangan akan tertumpu kepada usaha-usaha merealisasikan pembangunan mampan melibatkan peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara langsung dalam aspek pemeliharaan alam sekitar. Skop alam sekitar juga dikecilkan lagi kepada pengurusan sisa pepejal. Pendekatan ini diambil kerana skop pembangunan mampan terlalu luas, bukan sahaja melibatkan aspek alam  sekitar bahkan turut mencakupi aspek sosial dan ekonomi. Melalui tumpuan yang lebih spesifik, langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan menerusi KPKT dan tahap keberkesanannya dapat diperincikan seterusnya mencadangkan penambahbaikan yang wajar.

Monday 21 November 2011

Harimau Muda di Tengah Gelora: Musuhnya Habis Binasa!


Aku akan menonton menerusi TV3. Sebabnya aku sukakan kelainan dari segi ulasan secara langsung. Setelah sekian lama mendengar ulasan legenda pengulas sukan RTM, Dato' Hasbullah Awang (DHA), kini tiba masanya mendengar ulasan gaya tersendiri Abu Bakar Atan (ABA) pula, yang julung-julung kali kembali mengulas perlawanan bola sepak. "Mungkin nota terakhir" dan "jalan berliku", antara kata-kata hikmat beliau setakat ini. Barangkali nostalgia bekerja di ofis lama di Jalan Liku, Bangsar masih bermain di ingatan. Apapun, aku memang terhibur dengan intonasinya, serta komentar yang sering mengisi hampir setiap saat perlawanan berlangsung, macam ulasan selari pengulas dulu-dulu. Kedengaran seperti mendengar ulasan dari corong radio pun ada juga. Kontra dengan nada DHA yang kedengaran "controlled" sedikit, a la Zainal Din Zainal sewaktu menjadi juruhebah Radio 3 Ibu Kota pada suatu ketika. Paling bersemangat mendengar ABA menjerit gol. Semangat giler.

Siaran Buletin Utama menyemarakkan mood aku, dan ramai lagi penyokong Malaysia malam ini. Heh, ketinggalan lagi RTM nampak gayanya. Pembaca berita TV3, kedua-duanya otai, Nasaruddin Tajuddin dan gandingan wanitanya tampil mengujakan dengan jersi kuning hitam belang-belang Harimau Malaya. Salut! RTM tetap dengan pakaian konvensionalnya; suit, tali leher dan lencana 1Malaysia. 1 TV3, 0 RTM, hehehe.

Sedikit selingan, di kuliah tadi seorang kawan lewat masuk. Ku pelawa duduk di kerusi sebelahku yang memang tiada orang menghuninya. Kalau di Indonesia aku tak tahulah bagaimana mahasiswa Malaysia di sana, entah-entah takut hendak hadir kuliah. Di Malaysia kawanku itu tidak pula menerima hostile reception, walaupun ada juga jenaka-jenaka dari kawan-kawan lelaki lain yang sahih penyokong tegar Malaysia. Aku pun tumpang sekaki, kataku kalau dia ingin menonton jangan ke kedai mamak, lebih selamat di Wong Solo. Nasihat ikhlas, kalau dia pergi juga pun takkan dibantai penyokong Malaysia, melainkan terang-terang memprovokasi, kalau tak apa ada hal tengoklah sama-sama. Sebelum bersurai, ku tanya padanya, "Malam ini nonton di mana?". "Di rumah saja jawabnya". Esok petang waktu yang sama, aku  dan kawan-kawan sekuliah yang lain akan menghadap si dosen pula, seperti kawan yang tadi juga dari Indonesia.


Kemas Kini (1):

Kedengaran lebuh raya di sekitar ibu kota seperti di Sungai Besi sesak teruk, semua berebut nak balik tengok tivi. 

Kedudukan terikat 1-1. Malaysia belum pernah ketinggalan, tapi kalau terbukti mampu bangkit semula, alamat malapetaka tahap merah untuk Indonesia. Cuma jangan terbawa-bawa dengan emosi, kalau 11 lawan 11 harapan cerah untuk Malaysia skor gol berikutnya.  Jangan lupa juga cover inspiring Captain Malaysia, Baddrol Bakhtiar, Indonesia nak patahkan kaki dia.


Kemas Kini (2):

Malaysia sepatutnya tamatkan perlawanan ini pada masa sepatutnya dengan peluang-peluang terhidang. Tapi pada masa itulah juga nak tergelincir, teragak-agak nak pusing badan dan meledak volley, berebut nak skor padahal keeper Indonesia dah terpaku dan sebagainya. Lazimnya kalau sesuatu yang tak diingini berlaku, kesempatan-kesempatan keemasan begitu akan sangat-sangat dikesali. Harap-harap Malaysia berangkat pulang dan tidur lena dengan senyuman. Dan aku pun akan sangat bersemangat hadir ke kuliah esok.


Kemas Kini (3):

Jersi kuning no. 13 nyaris-nyaris menjadi from zero to hero to zero, again. Serius aku di rumah ini pun gementar, jantung duk-dak-duk-dak dengan detik-detik cemas, terutama apabila dia sepak terlalu lemah. Sudahlah sebelum itu yang ambil penalty kick untuk Malaysia semuanya defenders, memang hebatlah walaupun defenders tapi bab penalty kick pandai placing. Aku jangkakan bola tinggi melepasi palang dah setiap kali depa sepak, bayangan Roberto Baggio USA 1994 terbayang. Nampaknya pemain Malaysia ada nilai tambah, kebanyakannya utility players yang boleh digunakan mengikut kesesuaian keadaan e.g. kecederaan pemain utama.

Satu perkara yang aku rakamkan ialah sepanjang temasya sukan ini tuan rumah selalu menyelubunginya dengan kontroversi demi kontroversi tahap sentul. Bukan sahaja Malaysia terkena, tapi juga negara-negara ASEAN lain. Semua orang mahu menang, tapi biarlah dengan cara penuh semangat kesukanan. Malam ini, sepakan Captain Malaysia menutup semua kesentulan yang disajikan oleh Indonesia dengan sepakan penalti yang dikira masuk dengan cara sentul tahap maksimum, lebih membengkekkan hati pada malam penutup bagi semua acara Sukan SEA 2011. Sakit hati, kan?

Tabah Syazwan mengulas sebaik tamat perlawanan begitu lancar tanpa terikat skrip seperti selalu, menderu-deru seperti air terjun meluncur laju. Wajahnya nampak merah, barangkali perasaan yang bercampur-baur, antara makan-minum tak menentu dan kerenah penganjur yang bukan-bukan serta caci maki kejian terhadap Malaysia meliputi wartawan juga seakan-akan diluahkan sepuas hati.

Salut Harimau Muda!


Kemas Kini (4):

Buat julung-julung kali dalam masa beberapa tahun ini, kami bertiga termasuk anakku yang baru nak masuk setahun bulan Disember ini, berdiri di depan kaca tivi dan menyanyikan Negaraku bersama-sama pasukan Malaysia di Gelora Bung Karno, dengan perasaan terharu tapi megah! Menyanyi lagu kebangsaan sambil melihat bendera kebanggaan setiap warganegara dinaikkan. Perasaan itu sukar diungkapkan. Hampir-hampir terasa meremang dan terkelua' aya' mata.

Negaraku dan Jalur Gemilang akhirnya mendapat penghormatan selayaknya!

Sunday 20 November 2011

Artis Wanita X Akhirnya Berhijrah dan Menutup Aurat

Alkisah, seorang artis wanita ternama yang selalu berpakaian mencolok mata (ya, 'mencolok', bukan menjolok mata, demikian kata Awang Sariyan suatu ketika) ditanya oleh wartawan hiburan, "Sekarang dah ramai artis wanita berhijrah, bertudung dan sebagainya. Tak teringin ke nak berhijrah dan bertudung sama?"

Lalu dijawab oleh artis tersebut, "Nantilah, bila sampai seru". Jawapan yang dibaca oleh khalayak sebagai, "Jangan haraplah".

Masa berlalu. Suatu hari heboh di kalangan dunia hiburan bahawa artis wanita berkenaan bukan sahaja bertudung, bahkan telah menutup aurat dalam erti kata sebenarnya. Pendek kata, artis wanita tersebut kini sudah betul-betul berhirah. Maka berpusu-pusulah orang ramai dan wartawan hiburan yang seakan-akan kurang percaya menerjah ke rumahnya untuk satu kepastian.

Ternyata bukan desas-desus atau gosip liar lagi. Artis wanita berkenaan memang benar-benar telah bertudung dan menutup aurat seperti dikehendaki oleh syarak. Dia memang benar-benar sudah berhijrah...
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
...ke alam baqa dengan sepersalinan kain kafan.

Saturday 19 November 2011

Salam 1Malaysia, 0Indonesia, Eh, 0Myanmar


O.K., telahan aku terdahulu terbukti silap. Peluang yang kerap terlepas kemudiannya hadir juga dan disudahkan pada waktu yang tepat, lalu Malaysia mara tahap demi tahap sehingga melangkah ke final. Tahniah kali berikutnya. Kejayaan suatu perjalanan, bukan destinasi. Bagus keyakinan barisan penyerang semakin meningkat, walaupun penyudah perlu diasah lagi. Siap sedia untuk menghadapi pembalasan dendam. Dari Vietnam.

Bukan Indonesia ke? Mereka akan berjuang menentang Myanmar, untuk merebut pingat gangsa. Bagaimana jadi begitu? Oh, mereka tertekan dengan sorakan penyokong sendiri, lalu tewas di separuh akhir.

Kemas kini:

Final: Malaysia vs. Indonesia

Sekali lagi pasukan Malaysia akan naik Barracuda. Kalau itu kenderaan rasmi Malaysia dari hotel ke stadium setiap kali ke sana, serius aku tak tau ancaman keselamatan merangkap misconduct bagaimana lagi sebenarnya yang boleh menyebabkan perlawanan dimainkan di stadium tanpa penonton, atau stadium berkecuali, atau dikenakan denda ke atas tuan rumah dalam kurungan PSSI. 'Menariknya', tiada pernyataan kesal atas sikap penonton pun diungkapkan oleh PSSI atau mana-mana pegawai tuan rumah. Bunyinya tak berbaik sangka, tapi aku syak angkara penonton memang disengajakan dan dimotivasikan. God bless Malaysia!  

Thursday 17 November 2011

1-0: Jakarta Dilanggar Garuda, Ooopsss, Ditokak Harimau


Bagi penggemar acara sukan yang melibatkan Malaysia, adalah logik jika aku juga menonton perlawanan Malaysia menentang Indonesia sebentar tadi. Seperti biasa juga, adalah normal jika aku mahu Malaysia menang sebab aku rakyat Malaysia. Iya, aku mengkritik Harimau Muda sebelum ini, dan apa yang telah aku katakan masih relevan dalam perlawanan tadi seperti barisan hadapan yang kurang tajam walaupun peluang terbentang luas. Tapi sesungguhnya ada satu lagi motivasi terbesar mengapa aku mahu Harimau Muda membenam Garuda di depan penonton mereka sendiri.

Dalam hidup ini, sekalipun dalam memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan kesayangan, perlu ada batasan. Tapi apabila penyokong pasukan Indonesia sudah tidak dapat memastikan diri dalam keadaan bertamadun walaupun ghairah menyokong pasukan kesayangan mereka, sempadan itu sudah dicerobohi. Sorakan, ataupun boo sepanjang perlawanan boleh dikira wajar, perang psikologi kata orang. Namun kalau waktu lagu Negaraku dikumandangkan pun penyokong Merah Putih gagal tunjukkan rasa hormat, malah bising, boo, dan menjerit kata-kata kesat, ternyata mereka golongan biadab.

1-0 tak cukup banyak bagi aku sebagai jawapan kepada golongan penyokong kampret macam tu, tapi memadai menjadikan Jakarta sunyi sedikit malam ini.

Tahniah, Harimau Muda! 

Stolen Hot Stuff Nuclear Camera Lens Day and Night

These mugs (and cup) are for real. Interested, anybody?


CAMERA LENS CUP

Kick start your day with a coffee in your professional mug! We often see personalised mugs for other careers – well, now we have just the right gift for all you photographers.



DAY AND NIGHT MUG

With the use of heat sensitive technology and detailed satellite imagery, you can watch the world turn from night to day while having your morning brew!

 
 
STOLEN MUG
 
This unique, high quality mug exposes the victim when a hot beverage is poured into it!
 
 
 
 
HOT STUFF MUG
 
Do you need a warning before picking up a hot mug? Well this mug will give you just that!
 
 
 
NUCLEAR MUG
 
Tired of people using your mug? Warn them off with this stylishly designed glow in the dark Nuclear Mug.
 

Wednesday 16 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 7

2.3.5    Inisiatif-Inisiatif Alain Poher Semasa Menjadi Presiden Interim

Semasa menjadi Presiden Interim, Alain Poher telah mempelopori beberapa perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Presiden sebelumnya.  Inisiatif-inisiatif beliau, khususnya semasa menjadi Presiden Interim buat kali pertama, adalah seperti berikut:

(i)                 Menjadikan Media Massa Sebagai Non-Partisan

Semasa zaman pemerintahan Charles de Gaulle, media massa telah dijadikan alat politik yang bersikap partisan.  Walau bagaimanapun, semasa Alain Poher menjadi Presiden Interim, beliau telah memberi arahan kepada Pengarah rangkaian radio dan televisyen milik negara, Office de la Radio et Télévision Française (O.R.T.F.) supaya bersikap tidak memihak sepanjang tempoh kempen pilihan raya Presiden berlangsung  (Time 1969).  Walhal, semasa memegang jawatan Presiden Interim beliau turut bertanding dalam pilihan raya Presiden dan beliau boleh menggunakan kedudukannya yang sangat berkuasa pada ketika itu untuk berkempen menerusi radio dan televisyen milik negara bagi meraih sokongan rakyat dalam usaha memenangi pilihan raya.  Walau bagaimanapun, sikap profesional Alain Poher begitu terserlah apabila beliau tidak menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Presiden Interim untuk berkempen.  Beliau mengehadkan penampilan beliau di kaca televisyen sepanjang tempoh berkempen dan hanya memperhebatkan kempen beliau pada hari Jumaat iaitu hari terakhir kempen (Williams et al. 1970);

(ii)               Mengurangkan Bilangan Anggota Polis Anti Rusuhan

Seterusnya, Alain Poher mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Raymond Marcellin untuk mengurangkan bilangan anggota polis yang bersiap sedia di Paris bagi menghadapi rusuhan.  Beliau berpendapat terdapat unsur partisan juga dalam perkara tersebut, seolah-olah bersetuju dengan telahan Charles de Gaulle bahawa selepas perletakan jawatannya, huru-hara akan berlaku (Time 1969); dan

(iii)             Menyingkirkan Jacques Foccart, Setiausaha Agung Hal Ehwal Afrika  

Tindakan beliau disambut baik oleh rakyat Perancis kerana Jacques Foccart sebenarnya mengetuai pasukan polis rahsia dan pemberi maklumat bergelar “Barbouzes” yang bersikap samseng (Time 1969).

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 6


2.3.3    Alain Poher Sebagai Presiden Interim Kali Pertama (29 April 1969 - 20 Jun 1969)

Pada Februari 1969, Charles de Gaulle mengumumkan hasratnya untuk mengadakan referendum[i] bagi memperakukan penubuhan unit kerajaan wilayah yang baru dan penstrukturan semula Dewan Senat.  Berdasarkan perancangan beliau, Dewan Senat yang baru akan menggabungkan perwakilan kerajaan tempatan dengan perwakilan pertubuhan profesional dalam usaha membawa perspektif baru bagi proses perundangan[ii].

Walau bagaimanapun, usaha beliau ditentang oleh Presiden Senat, Alain Poher yang baru sahaja menggantikan Gaston Monnerville pada Oktober 1968.  Pada hemat Alain Poher, hasrat Charles de Gaulle sekiranya diteruskan juga akan mengakibatkan Dewan Senat hanya berfungsi sebagai badan perundingan semata-mata.

Charles de Gaulle telah mengumumkan lebih awal sebelum proses pengundian berlangsung bahawa beliau akan meletak jawatan sekiranya referendum beliau ditolak oleh rakyat Perancis (Pierce 1973).  Justeru apabila keputusan pada 27 April 1969 menyaksikan referendum tersebut ditolak[iii] oleh rakyat Perancis dengan 53.2% menentang sementara 46.8% menyokong, Charles de Gaulle benar-benar mengotakan janjinya dengan meletak jawatan sebagai Presiden Perancis.  Sehubungan itu, selaras dengan Perlembagaan Perancis yang menetapkan bahawa Presiden Senat akan menyandang jawatan Presiden Perancis buat sementara waktu sehingga seorang Presiden yang baru dipilih menerusi pilihan raya Presiden, maka atas kapasitinya sebagai Presiden Senat, Alain Poher telah memangku jawatan Presiden Perancis yang dikosongkan oleh Charles de Gaulle (Ambler & Scheinman 1971; Williams et al. 1970).  Alain Poher memulakan tugasnya sebagai Presiden Interim secara rasmi pada pukul 3 p.m. pada hari yang sama Charles de Gaulle meletak jawatan dengan berpindah masuk ke kediaman rasmi Presiden Perancis, Èlysèe Palace yang terletak di Paris (Berstein & Rioux 2000).

2.3.4    Alain Poher Sebagai Presiden Interim Kali Kedua (2 April 1974 - 27 Mei 1974)

Berikutan kematian Georges Pompidou pada 2 April 1974, Alain Poher telah memangku jawatan Presiden Perancis buat sementara waktu.  Walau bagaimanapun, tidak seperti semasa menjadi Presiden Interim sebelumnya, kali ini beliau tidak bertanding dalam pilihan raya Presiden yang diadakan di antara 5 Mei 1974 sehingga 12 Mei 1974.  Pada 27 Mei 1974, beliau menyerahkan semula jawatan yang dipangkunya kepada Valéry Giscard d’Estaing yang telah memenangi pilihan raya Presiden pada 19 Mei 1974 (Thody 1998).




2 Semasa era pemerintahan Charles de Gaulle, referendum merupakan elemen penting kerana ia merupakan alternatif selain Parlimen sebagai agensi yang mengabsahkan dasar awam.  Berdasarkan analisis Charles de Gaulle terhadap politik Perancis, parti-parti politik diibaratkan lebih sebagai skrin berbanding sebagai penghubung antara rakyat dan polisi.  Memandangkan Parlimen merupakan arena untuk perwakilan yang bersifat partisan, maka adalah penting untuk pihak eksekutif mempunyai kemampuan untuk bypass Parlimen semasa pelaksanaan proses menggubal dasar sekiranya mereka berpendapat mereka mampu meraih kemenangan menerusi undi popular tetapi tidak bagi undian di Parlimen (Pierce 1973: 62-63).

[ii] Bilangan ahli Dewan Senat yang terdiri daripada ahli politik wilayah dan tempatan akan dikurangkan kepada separuh, manakala separuh lagi ahli Dewan Senat terdiri daripada kesatuan sekerja, pertubuhan peladang, dan kumpulan perniagaan.  Fungsi baru Dewan Senat yang dicadangkan oleh Charles de Gaulle adalah terhad kepada kebenaran untuk menggubal undang-undang secara bersama bagi perkara-perkara sosial, ekonomi dan budaya (Safran 1977: 187).
[iii] Subjek referendum pada tahun 1969 tersebut mengandungi kelemahan-kelemahan seperti terlalu panjang lebar dan kurang jelas tentang isu utama berbanding  referendum sebelumnya berkenaan dasar Perancis di Algeria dan kaedah pilihan raya presiden.  Referendum tersebut mengandungi lebih daripada 8,000 perkataan, menyeru ke arah pengubahsuaian bagi 19 daripada 92 Artikel Perlembagaan Perancis, dan menangani secara serentak dua masalah besar (penubuhan majlis wilayah dan penyusunan semula struktur Dewan Senat) serta beberapa masalah lain yang kurang penting.  Selain itu, kritikan terhadap referendum tersebut adalah disebabkan penyediaannya dibuat tanpa berunding secukupnya dengan Parlimen dan kerana pengundi dikehendaki memberi satu jawapan sahaja sedangkan terdapat dua soalan (Pierce 1973: 72-75).

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 5

2.3.2    Peranan Presiden Interim

Menurut Pickles (1972), Artikel 7, Perlembagaan Perancis menetapkan Presiden Interim akan menjalankan tugas sebagai seorang Presiden Perancis sebagaimana termaktub dalam perlembagaan, kecuali yang melibatkan perkara-perkara berikut:

(i)                 Artikel 11:
Mempersetujui atau menolak permohonan untuk mengadakan referendum;

(ii)               Artikel 12:
Membubarkan Parlimen;

(iii)             Artikel 49 & 50 (dibaca bersama):
Menerima perletakan jawatan Kerajaan (Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet) apabila National Assembly meluluskan usul tidak percaya, atau tidak menyokong program atau pernyataan dasar umum oleh Kerajaan; dan

(iv)             Artikel 89:
Mengusulkan pindaan perlembagaan hasil cadangan Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen.

Berdasarkan pengalaman Perancis di bawah Republik Kelima, Alain Poher merupakan satu-satunya Presiden Senat yang pernah memegang jawatan Presiden Interim bagi caretaker government sebanyak dua kali.  Kali pertama  selama 53 hari (29 April 1969 -  20 Jun 1969) iaitu selepas perletakan jawatan Charles de Gaulle sebagai Presiden Perancis pada 29 April 1969.  Kali kedua pula selama 56 hari (2 April 1974 - 27 Mei 1974) setelah Presiden Perancis ketika itu, Georges Pompidou meninggal dunia pada 2 April 1974, pukul 9 p.m. akibat waldenström macroglobulinemia, sejenis kanser yang melibatkan sel darah putih.

The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order: Nasib China Baik Walaupun Berlaku Tragedi Tiananmen

Seusai rakan-rakan sekuliah membentangkan ulasan bab yang terkandung di dalam buku "The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order" oleh Samuel P. Huntington, sebelum kelas ditamatkan, Dr. L membuka kesempatan untuk pertanyaan. Aku mengambil peluang itu untuk mengemukakan satu persoalan.
"Dr., saya ada satu kemusykilan. Menerusi pembentangan oleh rakan-rakan pembentang tadi, dinyatakan bahawa China merupakan salah satu pesaing utama Amerika Syarikat. Mengapa Amerika Syarikat tidak mengambil kesempatan daripada peristiwa Medan Tiananmen untuk membenam tentangan China sedari awal sebaliknya membiarkan China berkembang pesat sehingga hari ini? Kalaupun tidak mengambil tindakan ketenteraan, sekurang-kurangya sekatan ekonomi seperti dikenakan ke atas Korea Utara dan Iran.".

Pertanyaanku mulai dijawab oleh Dr. L dalam nada bertanya, "Bilakah peristiwa di Medan Tiananmen?"

Dijawab oleh sebahagian ahli kuliah, "1989".

Sambil mengingatkan semula tentang imej anak muda yang berhadapan dengan kereta kebal sambil meregang lastik, Dr. L menyatakan bahawa Perang Dingin hanya berakhir pada 1991. Sehubungan itu, Amerika Syarikat keberatan untuk mengambil tindakan sama ada berbentuk ketenteraan atau sekatan ekonomi. Sebab pada ketika itu, sekiranya tindakan tersebut diteruskan, Amerika Syarikat perlu berhadapan bukan sahaja China bahkan negara-negara Blok Timur lain yang turut mengandungi, selain Soviet Union, negara-negara sekutu seperti Poland dan sebagainya.

Pada hematku, ada lagi penjelasan (atau perkiraan) yang lain, seperti mana mungkin tindakan diambil ke atas salah sebuah negara yang memegang kuasa veto di Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tapi pepatah ada menyebut, "dengan bertanya orang belajar". Mendengar versi jawapan daripada mulut mahaguru sendiri juga satu kepuasan peribadi, supaya tidak lagi berteka-teki tentang sesuatu yang tak pasti.

Saturday 12 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 4

2.3       Amalan Caretaker Government di Perancis

2.3.1    Artikel 7, Perlembagaan Perancis: Presiden Interim

Perlembagaan Perancis tidak menyebut secara jelas tentang pembentukan dan peranan caretaker government apabila Parlimen dibubarkan.  Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan perlembagaan tentang Presiden Interim seperti dinyatakan menerusi Artikel 7 iaitu “sekiranya jawatan Presiden kosong kerana apa jua sebab, atau sekiranya Constitutional Council[i] selepas dirujuk oleh Kerajaan membuat keputusan majoriti mutlak bahawa Presiden tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya, maka tugas Presiden, kecuali tugas-tugas yang dinyatakan di Artikel 11 dan 12, perlu dilaksanakan buat sementara waktu oleh Presiden Senat.  Sekiranya Presiden Senat juga tidak berkeupayaan, tugas Presiden akan dilaksanakan oleh Kerajaan iaitu Kabinet.”

Sesetengah pakar Perlembagaan Perancis mentafsirkan keutamaan Kabinet didahului oleh Perdana Menteri, dan diikuti oleh ahli-ahli Kabinet yang lain.  Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah berlaku kerana kebiasaannya jika tiada Presiden Senat, maka Senate akan menamakan Presiden Senat yang baru untuk menjawat jawatan Presiden Interim.

Tempoh masa maksimum bagi seseorang Presiden Senat menjadi Presiden Interim ialah 50 hari. Tempoh tersebut dikira berdasarkan jangka masa mengadakan pilihan raya Presiden yang merangkumi pusingan pertama dan pusingan kedua.  Menurut Artikel 7, Perlembagaan Perancis juga, pusingan pertama pilihan raya Presiden mesti diadakan tidak kurang dari 20 hari dan tidak melebihi 35 hari sebelum tempoh perkhidmatan Presiden sedia ada tamat.  Sekiranya pemenang dalam pilihan raya Presiden tidak dapat ditentukan selepas berakhir pusingan pertama, maka pusingan kedua pilihan raya perlu diadakan 15 hari selepas berakhir pilihan raya pusingan pertama.

Walaupun tempoh maksimum memegang jawatan Presiden Interim ialah 50 hari, namun Artikel 7 turut menyatakan bahawa Constitutional Council boleh melanjutkan tempoh tersebut dengan syarat pengundian berlangsung tidak lewat daripada 35 hari selepas Constitutional Council membuat keputusan tentang kekosongan jawatan Presiden.  Sekiranya pelaksanaan peruntukan ini mengakibatkan penundaan tarikh pilihan raya sehingga melebihi tarikh tamat perkhidmatan seseorang Presiden, maka Presiden tersebut perlu meneruskan tugasnya sehingga penggantinya diisytiharkan secara rasmi. 

Sungguhpun demikian, pelantikan Presiden Senat sebagai Presiden Interim tidak berbangkit sekiranya pilihan raya Presiden diadakan pada penghujung tempoh perkhidmatan biasa bagi seorang Presiden.  Dalam keadaan ini, Presiden sedia ada akan kekal bertugas sehingga beliau dipilih semula menerusi kemenangan dalam pilihan raya atau digantikan dengan calon lain yang memenangi pilihan raya (Pickles 1972).
 





[i] Constitutional Council terdiri daripada sembilan orang ahli yang dilantik oleh Presiden Perancis, Presiden National Assembly dan Presiden Senat.  Presiden bagi Constitutional Council dilantik oleh Presiden Perancis di kalangan sembilan ahli sedia ada.  Tempoh perkhidmatan ialah sembilan tahun dan tidak akan diperbaharui.  Satu pertiga daripada mereka akan digantikan setiap tiga tahun.  Antara kuasa Constitutional Council ialah menyelesaikan pertikaian berkenaan pilihan raya dan referendum. (Title VII, The Constitutional Council, Perlembagaan Perancis).