Pages

Friday 15 November 2013

Menteri Kena Ada Kelas

Kebanyakan peminat bola sepak Malaysia benci FAM atas pelbagai sebab.  Itu fakta.  Antara sebabnya, peminat asosiasikan pencapaian buruk pasukan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa dengan rejim FAM yang terlalu lama berkuasa dan sering membuat keputusan entah apa2.  Justeru, siapa sahaja yang dilihat membangkang FAM akan mendapat sokongan peminat biarpun berbeza ideologi politik.  Ini termasuklah KJ.
 
Sungguhpun demikian, masalah dengan orang2 muda ialah mereka sangat bersemangat, cakap selalu berapi-api, tapi wisdom kurang.  Begitu jugalah halnya dengan KJ.  Apa yang beliau cakap itu betul, tetapi memilih pendekatan konfrontasi menerusi media massa bukanlah standard seorang menteri.  Ada banyak cara menegur, tetapi seorang menteri tak perlulah memilih pendekatan rakyat yang tak punya jawatan untuk mendesak perubahan.  Penulis yakin KJ telah mengkaji apakah isu2 yang dapat menarik sokongan orang muda, tetapi menegur biarlah berhikmah.  Menyebut-nyebut bahawa diri merupakan menteri tidaklah mewajarkan perbuatan menempelak di khalayak ramai.  Apalah gunanya mendapat sokongan orang muda, tetapi pada masa yang sama mencipta musuh di kalangan orang yang lebih berusia.
 
Kadang2 terfikir juga apakah watak Mr. Arrogant zaman Tingkat 4 kini menjelma kembali?

Thursday 14 November 2013

Putera-Putera Politik Yang Takkan Menjadi Raja

Dalam dunia politik Malaysia, banyak kisah seorang putera yang tidak kesampaian menaiki takhta.  Penulis tidak ingin bicara tentang dunia aristokrasi yang ada pencak silat politik tersendiri.  Apa yang ingin disentuh ialah tentang nasib beberapa politikus Malaysia yang sudah tersangat hampir ke mercunya, tapi atas sebab-musabab tertentu yang ditakdirkan Allah maka hasrat mereka tidak kesampaian.
 
Ku Li satu ketika merupakan tokoh karismatik yang terang-benderang bintangnya, merupakan Naib Presiden paling kanan dalam UMNO, juga menteri kanan dalam kerajaan persekutuan.  Entah apa sebabnya, apabila jawatan Timbalan Perdana Menteri kosong, Tun Hussein tidak memilih beliau sebaliknya Naib Presiden lain yang lebih rendah hierarkinya berbanding beliau.  Ku Li kemudian mencabar Naib Presiden yang telah menjadi Perdana Menteri itu, tetapi tewas walaupun rakyat Malaysia pada umumnya telah bersiap-sedia menerima Presiden baru UMO sebagai Perdana Menteri baharu juga.  Ku Li mencabar lagi BN dalam PRU tahun 1990, tetapi kes "sigah Kadazan berimej salib" di"spin" sangat dahsyat sehingga kehilangan undi Melayu.  Ku Li kembali semula ke dalam UMNO serentak pembubaran Semangat 46 namun tidak pernah berjaya lagi menjawat jawatan berpengaruh dalam parti mahupun kerajaan selain merajai Gua Musang.  Karier politik Ku Li akan tamat di situ.
 
Husam Musa merupakan, bak kata Joceline Tan dalam The Star, "blue-eyed boy" Tok Guru.  Penulis pernah berselisih dengannya di Parlimen, benar seperti kata Joceline Tan juga, tinggi orangnya, sementelahan ketika itu hampir 10 tahun lebih muda dari sekarang, justeru "boyish" juga.  Mendengar beliau berbahas dalam Parlimen merupakan satu pengalaman menarik kerana lazimnya penceramah PAS berceramah tanpa isi selain mengutuk UMNO dan BN.  Tetapi Husam berhujah dengan fakta tanpa menggunakan kata-kata kesat terhadap lawan politiknya.  "Rare breed" dalam PAS, memikat hati pemerhati dan penggemar politik yang teringin melihat politik idea dan bertamadun mengambil tempat di Malaysia.  Malangnya, benda-benda 'rare' tergolong dalam 'collectibles'; hanya bernilai di mata mereka yang tahu menghargainya, seperti pengumpul barangan antik misalnya.  Di kalangan orang yang tidak menggemari benda-benda 'rare', siapa pun mereka, Husam dilihat tidak berfaedah untuk disediakan ruang untuk menyimpannya.  Terbuanglah Husam dari saf kepemimpinan kerajaan negeri, tanpa mungkin ada ruang kembali.  Karier politik Husam akan paling tinggi setakat Naib Presiden parti.  
 
Muhyiddin Yassin sebenarnya hampir sangat dalam karier politiknya untuk menghuni Seri Perdana.  Tapi roda politik berputar pada kadar yang sukar dijangkakan kelajuannya.  Seusai PRU-13, seakan-akan beliau menjadi harapan ahli-ahli beraliran kanan untuk mencabar teraju parti.  Namun apabila beliau mengekalkan jawatan sedia ada, harapan yang disandarkan juga melebur.  Susulan itu, jika diperhatikan beliau tampak hanya meniti masa-masa kecederaan dalam karier politiknya.  Wajahnya nampak letih, tidak memperlihatkan zeist atau kobaran semangat meluap-luap untuk menerajui Malaysia.  Kemuncak kelesuan itu pada hemah penulis adalah apabila beliau mengulangi ikrar raja-raja Melayu dalam perjanjian berat sebelah zaman dahulu kala yang menguntungkan penjajah.  Dalam kempen PRK Sungai Limau baru-baru ini, beliau berikrar akan mempertahankan pendidikan  vernakular "selagi ada bulan dan bintang".  Penulis faham dalam kempen pilihan raya segala macam akan dijanjikan untuk meraih sokongan.  Tetapi dengan memberi jaminan bahawa status quo tidak akan berubah sampai kiamat sangat keterlaluan, apatah lagi apabila keluar dari mulut pemimpin yang tidak dikenali sebagai proliberal.  Kelak nantinya ada saranan untuk menyepadukan pendidikan kebangsaan, nama Muhyiddin akan terus disebut-sebut oleh pendokong aliran pendidikan memencilkan diri ini sebagai hujah menyokong.  Dengan ikrar sedemikian, beliau juga kehilangan sokongan aliran kanan Melayu dalam parti dan negara.  Sebagaimana Ku Li dan Husam Musa, jam politik Muhyiddin sedang kehabisan pasirnya. 

Wednesday 13 November 2013

Debat Bukan Budaya PAS

PAS sekali lagi gagal mengambil kesempatan untuk menjarakkan organisasi politik itu ke tahap baru, jauh meninggalkan rakan2 pakatan mahupun pesaing politik dalam barisan.
 
Ada yang mau debat dibudayakan dalam pemilihan parti, sama seperti kebanyakan golongan atas pagar dan golongan rakyat yang mahukan politik misi dan visi bukan politik caci-maki mengata mengeji.  Tapi sebab ada calon2 yang tak mau berdebat maka debat dibatalkan.  Sepatutnya diteruskan sahaja, lantak pi la sapa2 yang tak mau pi berdebat tu.
 
Atas sebab itu, penulis tidak melihat akan ada perubahan corak kepemimpinan kalau golongan seperti ini naik sebagai pemimpin.  Betul, tak semua orang pandai berdebat, seperti juga penulis.  Bezanya, penulis sedar diri akan keterbatasan yang dimiliki.  Itu antara sebab penulis tidak teringin pun menjadi pemimpin.  Masalah depa2 yang nak bertanding jawatan tertentu dalam PAS ni, jawatan nak, berdebat tak mau.  Salah satu ciri pemimpin berwibawa ialah kemampuan berdebat.  Kalau tak mau berdebat ertinya penakut.  Apa bentuk kepemimpinan nak diharapkan daripada pemimpin yang penakut?  Walhal berdebat sesama pesaing separti sahaja pun, bukannya berdebat dengan parti lawan atau pemerintah yang zalim.  KJ yang hampa dok kutuk rapat tu pun berani pi berdebat kat kubu kuat hampa, that was Kota Bharu dulu.  Kalau penulis jadi ahli parti PAS rasanya gelap masa depan lagu ni.
 
Anehnya, mereka yang tak mau berdebat dengan menyatakan pelbagai alasan ini katanya mewakili golongan ulama.  Kalau betullah mereka berasakan mereka mewakili paksi ulama, maka mereka seharusnya malu kerana telah mencemarkan imej ulama.  Sebabnya, tradisi keulamaan sejak dahulu kala ialah kemampuan berdebat.  Daripada hujah-hujah ulama tersebutlah kebenaran ditegakkan, dan orang ramai dapat menilai daya fikir, idea, intelektualiti.  Tak perlulah penulis petik kisah-kisah karisma ulama-ulama silam dan kontemporari yang berdebat dengan macam2 orang termasuk kafir mahupun pemerintah zalim seperti Hajjaj; paksi ulama yang tak mau berdebat ini lebih arif.  Persepsi yang timbul di sini adalah, mungkinkah yang mendakwa mewakili paksi ulama ini sebetulnya bukanlah ulama pun?
 
PAS telah terlepas satu flight yang cukup penting.  Flight pengukuhan imej di mata pengundi menjelang PRU-14.  Orang Melayu Islam yang melugai dengan UMNO dan mengharapkan PAS menawarkan alternatif lebih baik pastinya kecewa.

Monday 4 November 2013

Keh Bukan Orang Pahang

Dalam pada ramai orang berkeyakinan TRW akan muncul juara, termasuk Ally Iskandar, Fedtri Yahya dan sudah tentunya Fizo Omar, aku menjadi sebahagian kecil rakyat jelata yang meletakkan harapan kepada Pahang untuk menjulang Piala Malaysia. Sejak beberapa lama aku cenderung untuk menyebelahi underdogs. Satu sebab selalunya underdogs mewakili golongan mustadh'afin. Kedua sebab happy-ending story melengkapkan fairy-tale run of the underdogs, terutama apabila berdepan Goliath si gergasi. Ketiga sebab coach Pahang, Dollah Salleh dikenali sebagai master strategsit bersentuhan magis, terutama dalam kancah Piala Malaysia (B. Sathianathan patut belajar sesuatu dengan Dollah). Keempat, sebab kebiasannya golongan yang rasa diri mereka favourite selalunya kelihatan menjengkelkan dengan gelagat yang tanpa disedari agak berlebihan. Dan aku tak suka gelagat yang menjengkelkan. Tahniah Pahang (aristokrasi & politikus not included).

Saturday 26 October 2013

PRK Sungai Limau: Wacana Ilmiah "Weapons Of The Weak"

Saya tidak melanggan ASTRO, antara lain sebab takdak masa nak tengok tivi kalau hari kerja. Sampai rumah pun dah malam. Kot hari cuti saja la, tu pun kalau tak outstation. Sebab lain, faktor penjimatan. Maklum la, gaji pun tak tegha mana, prinsip pengurusan kewangan cara bodo saya ialah kalau pendapatan tak meningkat sangat, cuba2 la kurangkan perbelanjaan takat mana hat buleh. Jauh sangat aih dok merewang. Sebenarnya saya nak cerita bahawa setakat pengamatan saya terhadap media massa dan media maya, tanpa ASTRO sebab tak melanggan, ialah kempen PRK Sungai Limau tak menyerlahkan cara berkempen yang bersifat bertamadun dan berwacana tentang dasar terperinci yang nak dibawa, seperti lazimnya persaingan politik di negara2 maju. Dua2 belah pihak sama saja. Isu-isu mengarut seperti tumpang tui wibawa ADUN dulu, janji nak bawa pembangunan yang tak diperincikan dalam bentuk cetak biru yang jelas, dok gaduh pihak lawan melawat keluarga pihak sendiri dan diheboh2kan sedangkan pihak sendiri pi melawat keluarga pihak lawan tak riuh pun. Seperti biasa juga, masa ni la segala jentera yang ada dan tak berapa nak ada di kedua-dua belah pihak nak turun padang. Masa ni la nak melawat rumah ke rumah nak banci sapa perlu tukar bumbung rumah, sapa yang lama dah laih. Time ni la baru nak check blood pressure free apa semua. Saya ternanti-nanti sebenarnya kot2 ada mana2 pihak termasuk media massa nak ketengahkan sisi ilmiah yang sangat ada kena-mengena dengan orang kampung di Sungai Limau. Politikus seperti Anwar selalu memetik watak2 dalam "Animal Farm" karya George Orwell, walaupun apa yang dipetik itu ada kalanya merujuk kepada diri sendiri juga selain musuh dalam politik (Nota: Animal Farm adalah karya fiksyen dan tak rasi langsung dengan budaya orang Melayu macam di Sungai Limau, sebab orang Melayu pantang tok nenek dengan babi, apatah lagi nak dijadikan belaan sekali dengan binatang-binatang yang halal dimakan lain seperti dalam novel tersebut.). Walhal ada sebuah mahakarya James C. Scott berpuluh tahun dulu, yang jauh lebih relevan kerana berdasarkan kajian dan pemerhatian terhadap watak manusia sebenar di satu kawasan pedalaman yang masih ada sampai la ni di DUN Sungai Limau. Cumanya watak2 berkenaan pada adatnya dah lama dah la arwah. Secara ringkas, "Weapons Of The Weak" menceritakan tentang golongan penindas di peringkat kampung, dan bagaimana golongan tertindas bangun menumpaskan golongan penindas dengan cara mereka tersendiri. Watak-watak penindas tu tak la berdarjah kebesaran pun, cuma di peringkat kampung tahap depa tu dah gah sangat la. Watak-watak yang biasa kita temui sehari-hari, sampai la dok ada lagi. Tengok macam mana orang putih buat kajian, sama juga orang Jepun. Kajian kat daerah2 tak glamour pun di Malaysia ni, tapi terus relevan sampai sekarang dan menjadi rujukan utama untuk memajukan negara kita sendiri. Mungkinkah mereka di koridor kuasa di mana-mana dalam PRK ini terasa mereka merupakan kesinambungan watak2 tertentu dalam buku tersebut? Apapun, kalau tengok trend pengundian di Pusat Daerah Mengundi yang ada bunyi2 Sedaka, saya menjangkakan keputusan PRK Sungai Limau ialah "Berani Menyambut Maal Hijrah". Takat tu saja la.

Tuesday 22 October 2013

Berhentilah Menganjingkan Penjawat Awam!


Photo Credit: izquotes.com

Terlihat di TV1 tadi, seorang calon Naib Presiden ditemubual pemberita. Ada 2 perkara yang perlu lebih dicermati oleh mereka yang menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan sama ada pak menteri mahupun penjawat awam.

Pertama, si pak menteri menyeru supaya selepas pemilihan UMNO ini saf dirapatkan semula. Katanya satu bahagian di Kedah yang menyaksikan penyandangnya tewas jawatan ketua bahagian kepada seorang ahli parlimen, kedua-duanya telah berjanji kepada dia dan seorang pimpinan tertinggi parti sebelum ini bahawa mereka akan bersatu-padu dalam menghadapi PRK Sungai Limau. Yang perlu diperhalusi ialah betapa nampak sudah keyakinan si pak menteri bahawa dia bakal menang jawatan naib presiden, jika tidak atas kapasiti apa perakuan taat setia kepada parti dilafazkan oleh kedua-dua tokoh yang bertanding sebagai ketua bahagian tadi kepada pak menteri tadi. Walhal biasanya orang yang turut bertanding jawatan dalam parti sepertinya, nasib dia sendiri pun belum tahu menang atau kalah, malah dia sendiri mengharap ihsan perwakilan mengundinya. Undian perwakilan banyak juga dipengaruhi oleh ketua bahagian. Jadi nampak ironik di sini. Lainlah si pak menteri itu semasa kempennya di Kedah memberi taat setia untuk memastikan kemaslahatan bahagian berkenaan terjaga. Masuk akallah juga.  Tapi itupun bersyarat, sebab biasanya menteri yang kalah pertandingan naib presiden, maka akan hilang juga jawatan menteri.  Ada cebisan jigsaw yang hilang di sini. Satu taakulan ala Hajime Kindaichi daripada penulis; the power of incumbency, and due to all the president's men.  Taakulan bahawa orang2 di bawah dah tahu dah sapa yang akan menang, dan atas sebab apa mereka tu perlu dipilih.  Sebab presiden suka.  Orang Melayu kan pandai pepatah-petitih ni, terkilat ikan di air tahu jantan betinanya, sekelip orang batuk atau kejit2 mata dah tahu apa maksudnya.  Mungkin depa tetap tak berlaga angin dengan PAS, tapi perangai PAS depa ikut juga.  Perangai wala'.  Hebat.

Kedua, dipaparkan juga dalam berita di TV1 bahawa si pak menteri mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan PRK Sungai Limau. Soalannya, apa kaitan kementerian tersebut dengan pelaksanaan PRK Sungai Limau pula. Lainlah kalau yang buat meeting tu SPR.  Ini mengundang lagi beberapa persoalan. Adakah ini seperti yang selalu didakwa pembangkang bahawa jentera kerajaan selalu dieksploitasi semasa berlaku PRK?  Kebetulan terperasan pula ketua pentadbiran kementerian tersebut di kerusi sebelah pak menteri. Kot nak dibuat mesyuarat nak membantu jentera kempen BN pun, buatlah di premis lain yang bukan menggunakan kemudahan kerajaan dan dana awam seperti belanja makan minum mesyuarat, claim TnT ahli2 mesyuarat dan sebagainya. Tempat lain kan banyak. Mudah-mudahan rakyat berfikir tentang perkara-perkara ini. Maju dan trasformasi bukan sangat selalunya memerlukan bajet tambahan.  Banyak keadaan, memadai dengan rasa berintegriti dan beramanah. Barulah penjawat awam betul2 jadi insan manusia, dan bukannya anjing mana2 parti politik mahupun politikus.

Sunday 20 October 2013

Dari Segi Moralnya Chua Soi Lek Perlu Letak Jawatan


Photo credit: nerdist.com
Pada satu malam tahun 1998, ahli2 MT UMNO bergegas ke PWTC untuk satu mesyuarat tergempar. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Tun M dengan usul utama ialah memecat Anwar dari UMNO. Anwar masa itu sebagai Timbalan Presiden. Anwar diberi peluang mempertahankan diri. Tun M akan hilang wibawa sebagai Presiden UMNO jika usul beliau ditolak majoriti ahli2 MT.  Tapi ahli2 MT UMNO sepakat bersetuju dengan usul Tun M supaya Anwar dipecat.  Terpecatlah Anwar dan Tun M tak perlu segan untuk terus jadi Presiden parti. 

Hari ini, perwakilan MCA menghadiri mesyuarat tergempar, EGM. Usul paling aula ialah mengecam Liow Tiong Lai yang memegang jawatan Timbalan Presiden. Usul itu bagaimanapun tidak diluluskan kerana majoriti perwakilan membangkang menerusi undian mereka. Justeru, Presiden MCA sedia ada, Chua Soi Lek sudah hilang wibawa untuk terus berkeras memegang jawatan tersebut. Sebab usul tersebut sudah tentu daripada cadangan beliau sama ada secara langsung atau tidak, sama ada diakui atau tidak. Dalam sejarah demokrasi bertamadun, penolakan terhadap usul sedemikian merupakan mesej cukup dalam bahawa majoriti ahli parti yang diwakili oleh sejumlah signifikan perwakilan sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden.

Chua Soi Lek sebenarnya menang nasib semasa pertandingan jawatan Presiden tempoh hari kerana calon-calon yang bertanding semuanya warlords MCA dan undian terpecah kepada tiga. Ini samalah seperti pertandingan Timbalan Presiden PAS yang menyaksikan Mat Sabu menang, pun sebab ada tiga calon bertanding.

Chua Soi Lek sudah dapat peluang untuk membuktikan kemampuan beliau selaku Presiden semasa pilihan raya umum lalu, dan nampaknya beliau gagal. Sentimen penolakan masyarakat Cina terhadap BN satu hal, imej Presiden MCA pun turut menyumbang. Ahli-ahli MCA pun ramai yang menyedari susah untuk mereka berkempen dengan membawa bersama mereka political baggage Presiden.  Suka atau tidak, masyarakat Malaysia pada umumnya memandang jelik perlakuan sumbang, sebab itu politikus lain yang bergelumang sama dengan maksiat seumpamanya mati-mati menafi.  Maksiat salah, berbohong pun salah juga.  Yang betul ialah menjaga kehormatan diri masing2 seperti disuruh dalam Surah Al-Mukminun. 

Benar bukan Chua Soi Lek seorang sahaja ada masalah moral, dan tindakannya mengakui dan berundur satu tindakan terpuji, tapi apabila beliau membuat keputusan untuk muncul kembali maka rosaklah reputasi parti. 

Sekali pemilihan parti lagi pun dijangkakan terjadi lagi persaingan tiga penjuru; Chua Soi Lek, Liow Tiong Lai dan rasanya Ong Tee Kiat. Dari segi sokongan warlords lain, Liow Tiong Lai ada kelebihan sebab yang mendokong beliau ramai top guns, seperti Wee Ka Siong, Chor Chee Heung dan lain-lain. Keadaan ini mirip Ku Li dan barisan pemimpin Semangat 46 beliau tahun 1987 dahulu yang antaranya dibarisi Rais Yatim.

Tapi kalau Chua Soi Lek menang lagi, bye-bye lah MCA. Selamat tinggal jugalah kepada harapan untuk MCA mewakili masyarakat Cina dalam kabinet. Setakat ini kemenangan usul penerimaan semula jawatan-jawatan kerajaan yang lain selain jawatan kabinet menunjukkan masyarakat Cina dan ahli2 MCA terjejas juga dengan ketetapan mereka sebelum ini.

Friday 18 October 2013

Krisis Perpaduan Melayu: Sukar Bersatu Walaupun Dalam Perkara Yang Sangat-Sangat Perlu

Semasa Peristiwa Natrah di Singapura, ramai orang Melayu terkorban. Padahal boleh sahaja mereka melihat isu Natrah sebagai isu peribadi, juga isu rumah tangga melibatkan sekadar beberapa individu. Tetapi pemikiran dan rasa sayang orang Melayu ketika itu kepada kesucian akidah saudara seagamanya, walaupun ketika itu mereka bukanlah faqih dan komited sangat kepada amalan beragama, walaupun saudara seagamanya itu bukan berbangsa Melayu telah menyemarakkan perasaan mereka untuk bangkit menunjuk perasaan. Mereka tentu sedar apalah daya mereka hendak berlawan dan menang menentang kuasa penjajah Inggeris dan Belanda ketika itu, tetapi mereka tidak peduli kerana yang lebih penting mereka mencuba sedaya upaya. Barangkali mereka disorot dengan kisah seekor burung yang berulang-alik membawa air dengan paruhnya untuk memadam api yang membakar Nabi Ibrahim. Nilaiannya bukan kadar, tetapi perbuatan. Sepatutnya apabila amalan beragama semakin kuat, dan negara tidak lagi terjajah, orang Melayu lebih wajar menunjukkan kesepakatannya dalam hal-hal bersama. Malangnya, seperti zaman UMNO Singapura vs. Liga Muslim dahulu lagi, akan ada sekumpulan orang Melayu yang cenderung bersikap dan berpendirian bertentangan dengan satu pihak lain. Isu 'perebutan' kalimah Allah merupakan contoh yang nyata. Dengan keadaan sekarang, katakanlah Mahkamah Persekutuan nantinya yang mungkin sahaja dihakimi oleh hakim-hakim bukan Islam memutuskan bahawa kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan Herald, penulis tidak nampak akan berlaku rusuhan sepertimana isu Natrah di Singapura dahulu. Memang bukan rusuhan yang kita mahukan, dan rusuhan juga bukan kayu ukur untuk menunjukkan kekuatan dan ketegasan pendirian, tetapi penulis menjangkakan keputusan sedemikian juga akan menghasilkan sambungan siri sikap acuh tak acuh orang Melayu Islam dalam hal perpaduan. Falasi dalam isu kalimah Allah ini ialah sekiranya orang Melayu Islam berkata bahawa Allah itu bukan Tuhan orang bukan Islam. Isu itu satu penyelewengan fakta. Tok Guru Nik Aziz sendiri dalam ucapan dan misi dakwahnya semasa menjadi Menteri Besar Kelantan selalu menceritakan kepada orang bukan Islam termasuk sami-sami Buddha bahawa Tuhan umat manusia ialah Allah subhanahu wata'ala. Soal orang bukan Islam tidak menjadikan Allah sebagai sembahan mereka merupakan isu lain. Isu kalimah Allah sebetulnya ialah usaha nak menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald. Inilah yang perlu diambil perhatian. Bagaimana mungkin Allah yang tidak dijadikan sembahan mereka tahu-tahu hendak digunakan sebagai gantinama 'God' dalam penerbitan; berbahasa Melayu pula tu. Bagaimana sifat-sifat Allah yang suci daripada "beranak dan diperanakkan" digunakan dalam konteks yang menghina kesucian sifatnya. Sudah tentukah orang Melayu Islam menaruh syak bahawa ini usaha dakyah untuk memurtadkan anak-anak Melayu Islam. Sesungguhnya Allah yang Maha Suci tidak akan terjejas sifatnya sama ada dibela atau tidak. Sebaliknya manusialah terutamanya yang beragama Islam yang memerlukan Dia. Dalam usaha menunjukkan bahawa sesungguhnya kita benar-benar perlukan Dia, selain mensucikan sifatnya dari tafsiran songsang, ialah berusaha sedaya upaya sehingga ke penghujungnya menangkis ancaman akidah yang bakal muncul pada masa depan. Beberapa generasi telah menjadi mangsa akibat kesilapan dasar berhubung tulisan Jawi. Jangan biarkan perkara sedemikian berulang lagi. Selemah-lemah kita menunjukkan perpaduan atas halangan keterikatan dengan konsensus sebuah pakatan, jangan sampai generasi akan datang dan sejarah mengenang kita sama spesies macam cicak, yang sedemikian kecil masih tergamak menyumbang tenaga menghembus api supaya marak membakar seorang Nabi.

Allah Tuhan Semua Umat Islam Termasuk Kristian, Tetapi Penggunaan Yang Menghina Kesucian Allah Mesti Ditentang

Orang Melayu dulu sangatlah daifnya. Daif dari segi ilmu agama, kehidupan ekonomi, berbuasana dan banyak yang lain. Tapi apabila tercetus peristiwa Natrah, semuanya membulat kata mengambil tindakan sedaya upaya untuk mengembalikan Natrah kepada ibu angkatnya, kepada suaminya dan kekal dalam Islam. Dalam kedaifan ilmu, ekonomi dan status kehidupan itu pun orang Melayu tidak teragak-agak menentang Brtish. Ramai terkorban. Zaman itu memang tak maju tegha mana, tetapi semangat jihad itu disambut oleh seluruh warga Melayu walaupun tahu mereka bakal syahid. Sekarang ini, sudah ramai orang Melayu Islam berpendidikan tinggi. Tapi tengoklah apabila perjuangan menghalang kalimah suci "Allah" hendak digunakan oleh Herald Tribune menggantikan "God". Sebahagian besar lagi orang Melayu Islam bukan sahaja tidak terdetik untuk pergi malah melekeh-lekehkan perjuangan tersebut. Inilah yag paling dikesali sekali kerana benteng pertahahanan kita menjadi terlalu rapuh.

Perlu ada beberapa persoalan yang memerlukan jawapan sekiranya pihak gereja ingin juga menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan.  Pertama, suruh depa define dahulu apa maksud dan sifat Allah yang mereka fahama dan gunakan selama ini.

Kalau Allah didakwa berkonsep triniti, mengutus Jesus untuk mengorbankan diri sendiri bagi menebus dosa sekalian umat manusia yang berdos sejak lahir, tak mungkin akal orang Islam akan masih sanggup menerima.
Ada orang berkata kenapa di negara-negara Arab dibenarkan pula nama Allah diguna di dalam Bible mereka yang diterjemah kepada bahasa Arab. Orang Arab Islam memang bercakap dalam bahasa Arab. Allah itu sendiri tergolong dalam bahasa Arab. Sebaliknya apa tujuan Herald dan Bible lain di Malaysia diterbitkan di Malaysia dengan menukar 'God' kepada 'Allah'. God dalam bahasa Melayu tak mungkin lain dari Tuhan. Teks berbahasa Melayu ini orang Malaysia kaum mana yang simple logicnya akan lebih ramai didorong untuk membacanya. Hakir tak rasa orang Cina, India dan lain-lian yang bahasa Melayu bukan bahasa seharian mereka. Sebaliknya orang Melayu, khususnya orang Melayu di pedalaman yang bahasa dari nenek-moyang mereka sampai ke hari ini ialah bahasa Melayu.
Mahu tidak mahu, cadangan ini pantas dilihat sebagai taktik dakyah Kristian terhadap orang Melayu Islam Malaysia. Di Indonesia mereka mungkin berjaya, tapi tidak semudah itu di Malaysia. Umat Islam Malaysia jangan diasak sampai tak terlebih sangat, kelak betapa pun harganya kami semua sanggup membelinya. Allahu Akbar!

UMNO Telah Membuat Pilihan Itu Lama Dahulu

Kalau kita rajin meneliti semula sejarah lampau, kita akan faham sedikit-sebanyak bahawa percaturan politik orang Melayu sejak zaman pentadbiran British dahulu sudah sinonim dengan kesukaran menjayakan perpaduan, apatah lagi bersatu dalam satu parti. Hal ini disebabkan pemimpin atau pemuka politik tersebut masing-masing mempunyai kepentingan tertentu yang kadang-kala mengutamakan kepentingan peribadi melebihi yang lain. Politik juga, berdasarkan penelitian terhadap sejarah moden politik Melayu menunjukkan bahawa gara-gara persaingan merebut pengaruh, saudara seagama sanggup diketepikan sebaliknya entiti dan individu politik yang anti kepada kaum Melayu dan Islam pula lebih dipercayai. Kalau ada orang Melayu yang tidak partisan hairan kenapa PAS boleh berpakat dengan DAP atas nama tahaluf siyasi tetapi mati-mati menolak kerjasama dan perpaduan dengan UMNO walaupun atas isu-isu pokok yang melibatkan kemaslahatan Melayu Islam, fahamilah bahawa sejarah moden politik Melayu seawal di Singapura juga menunjukkan perkara yang sama. Bezanya nama politikus dan parti politik yang terlibat. PAP kini memang dibenci oleh orang-orang Melayu khususnya yang bernaung di bawah UMNO, sebagaimana mereka membenci DAP. Tetapi sejarah mencatatkan bahawa UMNO pernah berpakat dengan PAP di Singapura dalam pergelutan, pergulatan dan persaingan sengit dengan Liga Muslim. Liga Muslim (baca: pemimpin utama mereka) yang flip-flop dalam menetapkan pendirian, ditambah pula dengan masalah kepemimpinan yang tidak berwibawa seterusnya menghakis sokongan dan dokongan ahli-ahli parti sendiri, akhirnya terpenyek dalam lipatan sejarah. Apapun, dalam persaingan politik Melayu di antara UMNO Singapura dengan Liga Muslim, UMNO Singapura telah mengambil langkah bijaksana dan sangat terkehadapan melangkaui pemikiran sezaman dalam merekrut keahlian. Sementara Liga Muslim terlampau rigid dengan syarat keahlian dan definisi Melayu, UMNO Singapura membuka keahliannya dengan definisi Melayu dalam konteks lebih luas. Natijahnya, orang Islam keturunan Arab, India-Muslim dan seumpamanya, yang mempunyai persatuan etnik masing-masing bagi menjaga kebajikan mereka, juga dikategorikan sebagai Melayu menyebabkan bilangan ahli UMNO Singapura jauh lebih ramai berbanding Liga Muslim yang mengambil pendekatan konservatif. Ini tidak dinafikan sebagai satu political manouvre untuk meraih sokongan massa, tetapi pada masa yang sama selaras dengan konsep perpaduan Islam yang tidak membezakan keturunan asalkan seagama. UMNO kini, sama ada diakui dan disedari mahupun sebaliknya, berdepan dengan pertentangan dalaman tentang keperluan untuk mendefinisikan semula apa ertinya Melayu yang wajar diterima sebagai ahli. Kekecewaan sebahagian ahli UMNO itu bukanlah sangat kepada etnik ahli yang diragukan keMelayuannya, tetapi buruk kelaku orang/peimpin UMNO berkenaan walau siapa pun mereka yang berkebetulan ditakdirkan Allah dari golongan etnik yang diragukan keaslian Melayunya. Pada hemat hakir, untuk mencapai tahap kegemilangan UMNO bukan setakat menang besar dalam pilihan raya, namun yang lebih penting adalah UMNO menunjukkan tahap integriti, kebertanggungjawaban, amanah dan kesungguhan membela rakyat yang jitu. Jika ada mana-mana ahli yang khianat kepada sebarang bentuk amanah, dasar kebencian ahli yang lain kepadanya hendaklah atas sikap/tingkah laku/perbuatan yang telah dilakukan tidak selaras dengan perilaku seorang Melayu Islam. Usahlah dikaitkan pula buruk kelaku itu dengan isu etnik kawan yang berkenaan. Isu itu telah lama selesai. Kerana UMNO sebenarnya telah lama membuat pilihan tentang keahliannya. Lama dahulu.

Thursday 17 October 2013

Bola Sepak Malaysia: Boleh La, Dari Langsung Tak Ada

"Liga Malaysia bukan bola sepak!" Demikian kata B. Sathianathan ketika mengemudi skuad Harimau Malaya seketika lalu sebagai ketua jurulatih. Aku faham kekecewaannya berikutan kutukan penyokong yang tidak boleh menerima kekalahan skuad Malaysia dalam pelbagai kejohanan dan perlawanan bola sepak. Maksud beliau dalam bahasa orang biasa adalah, "Macam mana nak menang kalau nak harap jenis pemain sedia ada!". Semenjak ASTRO siarkan siaran langsung perlawanan kelab2 EPL, perbandingan kualiti permainan dua liga semakin jelas kelihatan. Kadang2 lawak pun ada tengok bola liga bola sepak Malaysia. Selalu aku katakan kepada orang rumahku, yang sememangnya malas nak tengok perlawanan bola sepak melibatkan Malaysia sama ada di peringkat liga atau negara. Kataku, selalunya kelemahan ketara bola sepak Malaysia ialah apabila menyerang. Corak yang lazim diguna ialah larian pantas dari sebelah sayap. Masalahnya selalu pemain2 sayap sangat laju, tapi bila nak cross back up tak sampai2 lagi. Bila back up dah sampai pertahanan lawan pun dah siap sedia nak clear bola. Disebabkan kelembapan back up untuk berada di kotak penalti lawan, maka wingers selalunya akan hold bola dan sepak ke belakang kepada pemain lain. Then barulah nak build up serangan. Appa punya turrr la. Ada sorang pemain Harimau Muda, yang diturunkan oleh OKS sebagai kaedah mencuba pemain yang lazimnya memanaskan bangku simpanan. Pemain tersebut score dalam Pestabola Merdeka baru2 ini. Katanya, sukar nak ikuti corak permainan Harimau Muda yang laju. Pernyataan pemain tersebut mendorong perbandingan dilakukan. Kalaulah corak permainan sedemikian sudah dikira laju, bagaimana pula agaknya nak dikategorikan corak permainan Jepun yang menjadi pasukan pertama Asia layak ke Piala Dunia 2014. Dan bagaimana pula tahap Brazil yang mengalahkan Jepun semasa Piala Konfederasi tempoh hari dengan mudahnya. Secara realistik, sistem perlu dibetulkan dari awal kalau Malaysia nak layak ke Piala Dunia tahun entah bila. Sebabnya jurang kualiti pemain dan permainan kita terlalu jauh dengan pasukan handalan dunia. Jepun, dengan sistem pembangunan bola sepak yang tersusun dan sangat berdisiplin pun sedar hakikat yang mereka alami, sebab itulah mereka realistik menetapkan 2050 sebagai tahun mereka berpeluang merangkul Piala Dunia. Malaysia pula, dengan kecelaruan sistem pembangunan, liga, pemakananan, kepemimpinan, kebertanggungjawaban dan segala macam lagi pula jangan mimpi lah nak menang Piala Dunia. Kalau layak pun aku rasa ramai nak tumpang tui, silap-silap semua dalam skuad tu dapat Datukship. Betapa kroniknya bola sepak Malaysia, FAM tak mampu lagi nak letak target tahun bila kita dah sepatutnya layak ke Piala Dunia. Bagi aku target tu penting, bila ada target kita akan usaha sungguh-sungguh nak mencapainya. Mungkinkah FAM takut nak letak target, sebab kalau tak capai biasanya pemimpin akan ambil tanggungjawab berundur tanpa disuruh. Errr, selama ni ada ke pemimpin FAM pernah ambil tanggungjawab atas perkara yang disifatkan suatu kegagalan? Sudah beberapa tahun ini aku kurang peduli kepada Liga Malaysia. Apa pun apabila masuk saingan Piala Malaysia, kemeriahan tetap terasa. Baguslah ATM menang, sebab apabila menonton perlawanan itu aku rasa macam "peperangan" di antara dua buah negara bersengketa. Bagus dari segi moral juga, bayangkan kalau "angkatan tentera" kita kalah dengan Singapura. Pergh, tak sanggup den nak membayangkan bagaimana cyber troopers kita yang patriotik nak bertempur di medan maya pula. Amacam Kedah? Menyesai dak tak mau ambik Marlon? Hahaha!

Thursday 3 October 2013

PCA Lulus: Jaga-Jaga Semua Penjenayah!

Picture Credit: Absaroka Region History
PCA, atau POCA kata Menteri KDN diluluskan juga lewat tengah malam tadi. Kesian tu kesian jugak kat Ahli-ahli Parlimen sebab terpaksa bersidang sampai jauh tengah malam. Tapi kesian sikit-sikit cukup la, bukan sepanjang masa pun depa stay back lewat macam tu di Parlimen. Kebanyakan masa mai sat-sat, belek dokumen tu dokumen ni kat meja masing-masing, pastu buat riuh-rendah masa sesi soal jawab atau perbahasan, pastu angguk kat Speaker, pastu blah. Ada sorang tu masa sesi sebelum-sebelum ni, ya-ya mencadangkan sesi dilanjutkan, sekali time sesi dah dilanjutkan dia bukan ada pun. Hampeh bertingkek-tingkek.

O.k., berbalik kepada hal-ehwal PCA tu. Pembangkang pun bukan bersungguh sangat nak tentang. Aku merujuk kepada bilangan pembangkang yang ada dalam dewan. Kalau sungguh depa betul-betul fight, jumlah depa dalam dewan ialah 89 orang, bukan setakat 66 orang. 89 orang tu lah jumlah sebenar Ahli Parlimen pembangkang yang menang di kawasan masing-masing dalam PRU-13. Tegha BN pun, sungguhpun hanya 115 orang daripada 133 orang yang hadir, nampak lebih bersungguh nak luluskan PCA. Bayangkan PM dan TPM pun turun. Jadi betullah kata peribahasa Arab, “man jadda wajada”; “siapa berusaha dia berjaya”.

Menyentuh tentang PCA, teringat aku syarahan lecturer beberapa tahun lalu. Katanya, aku rephrase guna ayat aku sendiri, dalam sesebuah negara tu ada beberapa jenis manusia. Ada yang jenis dengar kata tu senang la nak urus. Orang kata jangan, dia tak buat. Tapi ada jugak sebahagian manusia jenis tak dengar kata. Yang orang kata jangan tu yang dia nak buat sangat. Sebab tu perlu adanya peraturan, atau dalam konteks ni undang-undang yang menggerunkan. O.k., aku tak mau bahas dari sudut hududullah, hat tu mana boleh dibandingkan dengan undang-undang manusia, tapi dalam konteks kemampuan dan keterbatasan yang ada, PCA ni kira buleh dah la. Tanpa PCA, polis dan orang awam yang jadi mangsa penjenayah akan rasa sakit hati sebab penjenayah yang licik ni akan upah peguam yang akan attack aspek technicalities supaya penjenayah terlepas. Bayangkan, untuk tangkap seseorang atau sekumpulan penjenayah, berapa lama masa diambil oleh pasukan polis untuk dapat maklumat, undercover dan lain-lain. Tau-tau bila bawak ke mahkamah terlepas pulak dari hukuman. Aku pernah dengar cerita sebelum buat serbuan tentang kegiatan dadah di kawasan kilang haram di tempat aku, polis Bukit Aman tu terpaksa mengintip dari kandang babi. Takkan pengorbanan depa ni disia-siakan macam tu saja kerana kelemahan sistem perundangan. Sebab itulah undang-undang seperti PCA sangat perlu.

Orang kata, kalau betul suspek tu buat jenayah, buktikanlah di mahkamah. Tak sebegitu mudah. Sistem perundangan kita ni banyak loopholes yang sangat dimaklumi oleh peguam yang membela penjenayah. Dengan adanya PCA, masyarakat dan negara sekurang-kurangnya akan aman dari aktiviti penjenayahan si suspek selama empat tahun (2 + 2). Andaikan dalam tempoh empat tahun itu si suspek yang memang diketahui sangat memang dia tu penjenayah dilepas bebas, berapa banyak aktiviti jenayah dia akan buat, dan berapa ramai lagi mangsanya. Mencegah lebih baik daripada menangani benda yang dah jadi. Pada akhirnya KPI yang rakyat Malaysia nak tengok ialah jenayah dibanteras dan rakyat rasa selamat.

Cuma yang perlu diambil perhatian ialah supaya PCA ini tidak menjadi seperti ISA dulu. Maksudnya, kalau disebabkan perbezaan pandangan politik, tak perlu seseorang itu diPCAkan. Melainkan ahli politik berkenaan sebenarnya penjenayah atau godfather kepada aktiviti jenayah.

Wednesday 2 October 2013

Kakitangan Kerajaan Amerika Tiada Gaji: Malaysia Pun Hampir Senasib Hari Itu

Picture Credit: BBC
Hari itu 16 Disember 2009.  Hari Rabu.  Buat julung-julung kalinya BN ketiadaan majoriti dua pertiga sejak memerintah sekian lama. 

Hari itu sangat penting sebenarnya.  Tapi BN belum berpengalaman dalam blitzkrieg licik sedemikian.  Maklumlah dah lama sangat selesa sebagai kerajaan. 

Sekali tiba saat pengundian, kira punya kira bilangan Ahli Parlimen PR mengatasi bilangan Ahli Parlimen BN.  Lalu usaha membeli masa pun dijalankan.  Bersidanglah Dewan Rakyat sampai ke malam menunggu sekalian menteri kabinet termasuk Perdana Menteri masuk ke dewan.

Setelah keadaan diyakini terkawal, barulah sesi pengundian dijalankan.  BN akhirnya menang juga, sungguhpun tak banyak, setakat 3 undi sahaja.  Bacaan lanjut di mstar.

Sekalian ramai orang termasuk aku sebenarnya teruja hendak melihat rejim BN beroleh pengajaran sekiranya kalah dalam sesi pengundian tersebut.  Tapi apabila kemudiannya dianalisis apa akan jadi sekiranya BN kalah, antara kesan utama ialah kakitangan kerajaan bakal tidak bergaji untuk tahun 2010, sekurang-kurangnya beberapa bulan.  Pergh, ngeri kalau jadi kenyataan.  Silap-silap jadi anarki.  Sebab di Malaysia sektor kerajaan merangkumi juga klinik hospital dan pihak keselamatan seperti polis dan askar.  Macam mana depa nak bertugas dengan perasaan tenteram kalau diri sendiri dan kaum keluarga takdak duit nak makan.

Oleh itu, mengambil iktibar dari kes di Amerika sekarang, dan kes di Malaysia tahun 2009 lalu, ahli-ahli politik yang mewakili rakyat di dewan perundangan negara masing-masing perlu lah mengambil kira maslahah dan kebajikan rakyat juga, jangan dok ketega' ikut kepala sendiri saja.  Benar, pihak kerajaan yang membentangkan bajet ada kelemahan-kelemahan tertentu.  Tapi sehingga kesan langsung dan pantas akibat kegagalan meluluskan sesuatu bajet dapat ditangani, luluskanlah bajet tersebut.  Kalau tak, jadilah macam Amerika hari ini.

Tuesday 1 October 2013

Pasca KUD 2013: Apa Yang Wajar Dipuji, Apa Yang Boleh Diperbaiki?

Picture Credit:  thursinar.com
Mungkin ada yang terperasan dengan iklan disertai Mak Ros, Kak Engku dan Zizan?

Mungkin ada yang telah membuat kunjungan?

Mungkin ada yang turut berjualan?

Saya ada pandangan tersendiri, nanti saya kongsikan.  Sebelum itu apa pula kata anda?