1.0 PENDAHULUAN
1.1 Definisi dan Konsep “Pembangunan Mampan”
Mapan bererti, “tidak berubah-ubah (sudah diterima umum)” dan “tidak goyah (sudah stabil, teguh, dikenali dsb)”. Mampan pula bermaksud, “mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik (berkenaan ekonomi, pembangunan dsb)” (Kamus Dewan, 2005). Justeru, tajuk perbincangan lebih wajar diselaraskan sebagai “pembangunan mampan” bagi menggantikan frasa “pembangunan mapan”.
Konsep “pembangunan mampan” bersusur-galur daripada Resolusi 38/161, "Process of Preparation of the Environmental Perspective to the Year 2000 and Beyond" yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Perhimpunan Agung PBB) pada 19 Disember 1983. Bertitik-tolak daripada resolusi tersebut, sebuah suruhanjaya iaitu Brundtland Commission ditubuhkan.
Matlamat Brundtland Commission adalah mengutarakan kebimbangan tentang kemerosotan mendadak persekitaran manusia dan sumber asli serta kesannya terhadap pembangunan ekonomi dan sosial. Menerusi penubuhan suruhanjaya berkenaan, Perhimpunan Agung PBB mengiktiraf masalah alam sekitar sebagai masalah sejagat. Justeru, demi kemaslahatan bersama, dasar pembangunan mampan perlu diwujudkan.
Laporan Brundtland Commission bertajuk “Our Common Future” dibentangkan semasa Perhimpunan Agung PBB melalui Resolusi 42/187, “Report of the World Commission on Environment and Development” bertarikh 11 Disember 1987. Laporan berkenaan membincangkan pembangunan mampan dan keperluan perubahan politik bagi menjayakannya. Menerusi laporan tersebut, istilah “pembangunan mampan” didefinisikan sebagai “...pembangunan yang memenuhi ‘keperluan’ semasa tanpa mengabaikan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.”
Secara ringkas, konsep “pembangunan mampan” ialah pembangunan yang menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan keperluan-keperluan sosial dan alam sekitar.
1.2 Skop Perbincangan
Perbincangan akan tertumpu kepada usaha-usaha merealisasikan pembangunan mampan melibatkan peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara langsung dalam aspek pemeliharaan alam sekitar. Skop alam sekitar juga dikecilkan lagi kepada pengurusan sisa pepejal. Pendekatan ini diambil kerana skop pembangunan mampan terlalu luas, bukan sahaja melibatkan aspek alam sekitar bahkan turut mencakupi aspek sosial dan ekonomi. Melalui tumpuan yang lebih spesifik, langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan menerusi KPKT dan tahap keberkesanannya dapat diperincikan seterusnya mencadangkan penambahbaikan yang wajar.
No comments:
Post a Comment