Pages

Monday, 25 June 2012

Perkhidmatan Awam Malaysia: Berkecuali Bukan Bererti Tidak Berpihak

"Question: It is said that some civil servants are being influenced by promises made by the opposition. What do you have to say about this?

Answer: They should know better. Don't be taken in by empty promises. As civil servants we must be loyal to the King and serve the government of the day. It is important that we know our role as civil servants and carry out our responsibilities well."

Pelbagai versi kecaman oleh pihak propembangkang kepada KSN.  Entah apa sebenarnya mesej yang sampai kepada mereka.  Entah mereka baca betul-betul atau tidak wawancara tersebut.  Melihat dari kecaman yang bermacam-macam, nampak sangat pakai tembak ikut dan.

Pada saat-saat PRU-13 semakin hampir, lawan kepada BN sekali lagi menyerlahkan sikap terburu-buru mereka yang sangat membingungkan.  Kali ini mencari musuh dengan penjawat awam.  Kalau mereka baca betul-betul, dan mereka berusaha sedikit (janganlah baloq liat sangat) untuk memahami prinsip perkhidmatan awam negara, tembakan rambang sedemikian tidak akan kedengaran.  Prinsip 'neutrality' yang didokong oleh perkhidmatan awam Malaysia selalu disalah tafsir oleh orang ramai, khususnya golongan politikus yang kerjanya mempolitikkan hatta perkara-perkara bukan isu sekalipun. 

Apa maksud prinsip 'neutrality' dalam konteks perkhidmatan awam Malaysia?  Sepatutnya para politikus ini sudah lama khatam maksudnya, tapi memandangkan mereka masih tidak faham-faham biar dijelaskan buat kali terakhir.  Dalam konteks perkhidmatan awam Malaysia, prinsip tersebut bukan bermakna "penjawat awam tidak dibenarkan sama-sekali berpihak kepada mana-mana parti."  Bahkan mereka "wajib berpihak."  Mengejutkan?  Tidak, bagi mereka yang mengerti. 

Penjawat awam wajib berpihak kepada kerajaan sedia ada yang sedang memerintah, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.  Oleh sebab kerajaan dibentuk oleh sesebuah/gabungan parti politik, maka kewajiban keberpihakan penjawat awam adalah juga kepada parti pemerintah tersebut.  Keberpihakan mereka bukan bermakna mereka wajib juga mengundi parti pemerintah dalam pilihan raya.  Itu sisi yang lain dan setiap penjawat awam sepertimana rakyat Malaysia yang lain bebas mengundi parti mana yang disukai.  Keberpihakan di sini bermakna penjawat awam wajib mendokong dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan sedia ada.  Sokongan adalah bersifat mutlak, padu dan bulat; tanpa ragu-ragu, berbelah-bahagi mahupun berpilih-pilih mengikut pertimbangan peribadi, keadaan, kesesuaian atau kecenderungan ideologi politik sendiri.  Benci macam mana sekalipun dengan perangai pak-pak menteri, bertentangan setara mana sekalipun dengan hati nurani, polisi dan arahan kerajaan yang memerintah mesti dilaksanakan.  Itulah intipati prinsip neutrality.  Komitmen terhadap prinsip inilah membuatkan penjawat awam mampu bekerja di bawah mana-mana pihak yang membentuk kerajaan. 

Itulah yang dimaksudkan oleh KSN sebagai "... serve the government of the day."  Mantra itu sangat lazim dalam lingkungan penjawat awam, selalu diulang-ulang, sampai jadi klise.  Dalam bahasa Melayu, "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung."  Kalau politikus terbabit dan seangkatan dengannya langsung tak pernah dengar terma seklise begitu, nampak sangatlah betapa jauuuhhh...nya mereka dengan segmen strategik kuasa dan kumpulan pengundi.  Kekurangan penghayatan dan penjiwaan terhadap perkhidmatan awam Malaysia ini dicerminkan menerusi tawaran gula-gula pemikat hati penjawat awam yang bersifat tangkap muat. 

Sebagai rekod, KSN hanya menyebut perihal kesetiaan kepada Agong, bukannya kesetiaan kepada BN pun.  Dari sudut ini sewajarnya kenyataan beliau diberi nilaian sebagai profesional.  Sungguhpun begitu, realitinya ialah mana-mana parti yang membentuk kerajaan pasti mahukan jaminan kesetiaan daripada agen pelaksananya, dalam konteks ini para penjawat awam.  Zaman Tun M dahulu diperkenalkan Akujanji sebagai ikrar taat setia yang perlu ditandatangani oleh penjawat awam dan diperakukan oleh ketua jabatan.  Kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah bererti kestabilan kepada kelangsungan kuasa politik.  Tanpa kesetiaan penjawat awam, kerajaan yang memerintah hanya menunggu masa untuk rebah.  
 
Sepertimana BN perlukan jaminan dokongan penjawat awam di peringkat persekutuan, begitu jugalah halnya PR perlukan jaminan dokongan penjawat awam di negeri-negeri yang diperintahnya.  Sekiranya premis "taat setia hanya kepada Agong, bukan kepada BN" menjadi hujah, bagaimana pula jika di negeri-negeri PR penjawat awam mengambil ketetapan untuk "taat setia hanya kepada Sultan/YDP, bukan kepada PR".  Bukankah kacau jadinya dek pentadbiran kerajaan penuh dengan unsur-unsur sabotaj daripada penjawat awam sendiri.  Sedangkan Agong/Sultan/YDP ialah semata-mata simbolik, kuasa sebenar dipegang oleh pihak eksekutif, yakni sama ada BN atau PR.  

Bayangkan kalau prinsip neutrality seperti fahaman politikus dangkal dan sewaktu dengannya ini diamalkan.  Mengikut fahaman tersebut, adalah "salah bagi mana-mana penjawat awam untuk berpihak kepada mana-mana parti hatta parti pemerintah."  Sedangkan dasar-dasar kerajaan negeri PR sendiri terang-terang merupakan dasar yang diusul dan dicatur oleh parti.  Andainya masih mahu berpegang kepada definisi tersebut, janganlah salahkan penjawat awam di negeri-negeri terbabit sekiranya ada dasar kerajaan negeri PR yang tak bergerak-gerak.  Mereka 'kan hanya ingin berkecuali. 

Justeru, kepada politikus yang ketandusan isu, bersegeralah mencari air penerang hati kalau masih tak reti-reti, guna memahami bagaimana perkhidmatan awam Malaysia berfungsi.  Jangan semberono menyerang sesuatu perkara yang anda sendiri nantinya amat perlukan.  Mencari fasal dengan KSN yang menaungi semua penjawat awam semata-mata kerana kejahilan anda hanya mengundang petaka.  Sebagaimana pendulum yang boleh sahaja terhayun kembali mengena kepala.  Sebagaimana penjawat awam Selangor menghukum kerajaan penyandang sebelumnya gara-gara penyapu tahana.

Menyertai Semula Perlumbaan Tikus

Bulan hadapan, aku akan kembali bersama tikus-tikus yang lain dalam perlumbaan mengejar duniawi.  Oh, sayang sekali terpaksa meninggalkan alam kehidupan seorang pelajar yang keseluruhannya jauh lebih aman kecuali apabila perlu menyiapkan tugasan dan menghadapi musim peperiksaan.  Kedamaian itu diperkuatkan lagi dengan ingatan terhadap sabda nabi, yang berbekas di minda sejak zaman menadah telinga secara sambilan di hujung minggu universiti malaya, mafhumnya, barang sesiapa yang mencari jalan yang padanya ada ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ka sorga.  Bahagia bukan terngiang-ngiang sentiasa.

Demi menyertai perlumbaan kaum tikus, aku pun tidak tahu ke mana agaknya bakal tercampak.  Harap-harap dapat tempat yang sejahtera dan berkebajikan, sebagai lazim doa khutbah negeri selangor darul ehsan.   

Apa yang aku kejar dalam perlumbaan sesama tikus ini?  Aku tidak bercita-cita besar, kerana demi memenangi perlumbaan ini sangat ramai tikus-tikus yang gemar menonjolkan diri.  Mempromosi diri sendiri untuk sesuatu matlamat peribadi bukan caraku.  Belum dikira lagi tikus-tikus yang gerit sana gerit sini apabila makin hampir ke penamat perlumbaan.  Makin hampir ke penghujung makin dahsyat permainan.  Aku berlindung dengan Allah mohon dijauhkan dari segala kejahatan yang ada.  Cita-citaku sekadar bertahan sebelum benar-benar selamat dan terjamin untuk menarik diri.  Semoga Allah memberi kekuatan. Amin.