Pages

Friday, 28 October 2011

Memahami Singapura: Pelajaran Untuk Malaysia


Berdasarkan maklum balas dan tindak balas Singapura terhadap konflik-konflik yang berbangkit, dapat dikesan bahawa Singapura sentiasa bersikap tegas dan berkeyakinan tinggi terhadap pendiriannya terutama apabila melibatkan konflik serantau dan antarabangsa. Singapura tidak dibelenggu rasa rendah diri walaupun berdepan dengan kuasa besar dunia. Misalnya, meskipun China mendesak supaya lawatan ke Taiwan oleh Lee Hsien Loong pada tahun 2004 dibatalkan kerana didakwa tidak selaras dengan dasar One China Policy, namun lawatan tersebut tetap diteruskan. Justeru, tidak hairanlah konflik dengan negara kurang berpengaruh lebih mudah ditangani. Umpamanya, apabila Malaysia menuntut kenaikan terhadap harga air per seribu gelen yang lebih munasabah berbanding harga sedia ada iaitu tiga sen, Singapura tidak akur dengan tuntutan tersebut. Sebaliknya, isu dialihkan dengan berhujah bahawa kadar harga baru perlu dipersetujui bersama selaras dengan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Singapura juga tidak sewenang-wenangnya berganjak apabila mereka telah membuat sesuatu keputusan. Contohnya, sungguhpun kepimpinan baru menerajui Malaysia pasca-Mahathir lebih berdiplomasi dalam menyelesaikan konflik, namun Singapura tidak menarik semula proses perundangan yang telah dimulakan.

Namun demikian, dalam menangani konflik dalaman tertentu, Singapura mempamerkan sedikit sikap bertolak-ansur dan bersedia untuk memenuhi tuntutan yang pada hematnya tidak keterlaluan dan sudah sampai masa untuk diberi perhatian sewajarnya. Contohnya, dalam isu layanan tidak sama rata terhadap kaum wanita, pada tahun 2004 Singapura akhirnya menghapuskan kuota mahasiswa wanita yang menuntut di National University of Singapore dalam jurusan perubatan. Faedah perubatan kepada keluarga dan anak-anak yang selama ini hanya dinikmati oleh pekerja lelaki sahaja turut diperluaskan kepada pekerja wanita.

Asas pertimbangan Singapura dalam konteks hubungan antarabangsa ialah pendekatan strategik. Oleh yang demikian, Singapura bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Amerika Syarikat bahkan dengan China. Hubungan dingin di antara Amerika Syarikat dan China tidak dipedulikan oleh Singapura asalkan hasratnya untuk mengekalkan tahap keselamatan bagi mencapai kemakmuran ekonomi berjaya. Walau bagaimanapun, hubungan akrab yang dijalin dengan negara-negara kuasa besar tersebut tidak menjadikan Singapura "pak turut" kepada mereka. Malah, Singapura sering menegaskan keperluan negara dan pihak lain untuk menghormati pendiriannya. Perkara utama yang selalu ditekankan oleh Singapura ialah mempertahankan kedaulatannya dengan menjadikan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain termasuk kuasa-kuasa besar dunia sebagai hubungan dua negara yang setaraf. Pendekatan unik Singapura inilah yang kebiasaannya tidak difahami oleh pelbagai pihak lalu cenderung melabelkan Singapura sebagai pro negara-negara tertentu. Hakikatnya, Singapura akan menyokong sesiapa dan apa sahaja asalkan selari dengan kepentingannya.

Rujukan:
Simon Tay, S.C. 2004. Singapore: Review of major policy statements. 2004 Singapore Year Book of International Law and Contributors. hlm. 219-234.

Thursday, 27 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod Akhir

 
4.    KESIMPULAN

Setakat ini, berdasarkan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan Brunei di bawah sistem monarki sedia ada, pada pengamatan saya legitimasi akan terus mendominasi pembangunan politik di Brunei.  Legitimasi juga bertambah kukuh disebabkan rakyat terlalu menyanjungi dan menghormati Sultan walaupun ironinya mereka sepatutnya bersikap kritis terhadap gaya hidup bermewah-mewahan Sultan dan kaum kerabatnya sedangkan masih ramai rakyat berada dalam kancah kemiskinan. 

Walau bagaimanapun, saya meramalkan amalan demokrasi yang lebih terbuka akan beransur-ansur bukan sahaja menjadi ancaman bahkan menjadi alternatif kepada legitimasi dalam konteks pembangunan politik sekiranya hasil minyak Brunei semakin merosot dan menjejaskan belanjawan negara.  Hal ini disebabkan ekonomi Brunei sangat bergantung kepada hasil minyak yang kemudian dioptimumkan untuk melaksanakan polisi-polisi mekanisme penyebab rentier effect bertujuan mencegah desakan rakyat supaya kerajaan membuka lebih banyak ruang demokrasi. 

Perkembangan terkini menunjukkan jangkaan saya itu berpotensi menjadi kenyataan sebagaimana diakui sendiri oleh Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2011) Perbekalan 2011/2012 pada hari kedua Majlis Mesyuarat Negara 2011.  Menurut beliau, kesan positif daripada kenaikan harga minyak dunia tahun 2010 masih terhad disebabkan kadar pengeluaran minyak negara yang rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya di samping kos pengeluaran minyak yang semakin meningkat dan juga nilai mata wang Dollar Amerika Syarikat yang semakin menurun.

Apabila nantinya hasil minyak Brunei semakin merosot sehingga menjejaskan belanjawan negara, rakyat akan menerima kesan langsung kerana semua keistimewaan dalam bentuk subsidi, elaun khas, pengecualian cukai pendapatan individu, pengecualian duti import kenderaan dan pelbagai faedah lain yang dinikmati sekarang akan dikaji dan distruktur semula oleh kerajaan.  Saya berkeyakinan bahawa rakyat Brunei yang pada masa itu mula merasai bebanan ekonomi sebagaimana dialami rakyat Malaysia sekarang akan semakin lantang menuntut sesuatu daripada kerajaan sebagai ‘pampasan’ kepada kesulitan hidup mereka.  Dari kaca mata saya, pampasan yang dikehendaki tidak semestinya berbentuk faedah nyata, bahkan jauh lebih penting adalah menuntut pertanggungjawaban daripada Sultan, sekurang-kurangnya baginda perlu turut serta membentang dan mempertahankan polisi-polisi kerajaan semasa sidang MMN.  Ketika itu, Brunei berada di landasan yang betul ke arah sebuah negara demokrasi.


Nota
__________________________________
1            Menurut takrifan The Economist Intelligence Unit, antara ciri negara di bawah kategori authoritarian regimes adalah kebanyakannya tidak mempunyai (atau terhad) dari segi kepelbagaian politik, bercorak kediktatoran, pilihan raya (sekiranya ada) tidak bebas dan adil, media massa sama ada dimiliki oleh pemerintah atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pemerintah, kritikan terhadap pemerintah disekat dan mengamalkan penapisan keterlaluan.   
2            Shell-fare State merujuk kepada Brunei sebagai negara kebajikan (welfare state) yang menyediakan pelbagai manfaat kepada rakyat menggunakan hasil daripada carigali minyak oleh Royal Dutch Shell.
3             Group formation merujuk kepada penggunaan hasil minyak oleh sesebuah kerajaan untuk mencegah pembentukan kumpulan sosial yang bebas daripada kerajaan dan cenderung untuk menuntut hak-hak politik.
4            Semua jenis kenderaan yang diimport oleh rakyat Brunei tidak dikenakan duti import selaras dengan “Tambahan Kepada Warta Kerajaan Bahagian II” bertarikh 13 Februari 2008.  Polisi Kerajaan Brunei ini mendorong rakyat membeli kenderaan baru, tambahan pula alat ganti kenderaan dikenakan duti import sebanyak 20% setiap kilogram.
5            Antara bidang-bidang kritikal yang layak diberikan status pioneer industries oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama dan masih belum diceburi oleh mana-mana syarikat ialah kaca, plastik dan sintetik, baja dan racun serangga, dan gas.
6            Bagi syarikat bermodal tetap sebanyak B$500 ribu tetapi kurang dari B$2.5 juta, cukai dikecualikan selama lima tahun manakala syarikat bermodal tetap melebihi B$2.5 juta dikecualikan cukai selama lapan tahun.
7            Bagi mengelakkan majikan menanggung bebanan caruman yang berlebihan, amaun maksimum caruman oleh majikan sebanyak 3.5 peratus adalah berasaskan maksimum gaji pekerja yang dihadkan pada B$2,800.  Oleh yang demikian, walaupun pekerja memperolehi gaji melebihi B$2,800, kadar caruman majikan hanya setakat 3.5 peratus x B$2,800.
8            Perenggan ke-14 Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam menyatakan bahawa manfaat survivorship bertujuan menjamin kesejahteraan hidup bagi tanggungan-tanggungan peserta SCP apabila peserta tersebut meninggal dunia.  Manfaat ini mempunyai dua komponen iaitu manfaat perlindungan survivorship dan manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan.
9            Perenggan ke-12 Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam menyatakan, bagi generasi peralihan iaitu mereka yang menyertai Skim TAP sebelum Skim SCP diperkenalkan, mereka dikehendaki mencarum sebaik sahaja Skim SCP diperkenalkan.  Mereka juga akan layak menerima insentif catch-up atau bayaran caruman secara kebelakangan.
10          Perenggan kelima Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam mentakrifkan sektor informal sebagai warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun ke atas yang telah bekerja atau berniaga secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan diri sendiri atau untuk menyara ahli keluarga seperti nelayan, petani dan peniaga / pengusaha kecil persendirian (self-employed). 

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 9

 
 
3.2.1 Rentier Effect 1: Taxation Effect
 
Apabila kerajaan mendapat hasil jualan minyak yang mencukupi, kadar cukai yang akan dikenakan oleh kerajaan akan dikurangkan atau ditiadakan langsung.  Langkah ini bertujuan menutup ruang-ruang demokrasi iaitu mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menuntut pertanggungjawaban daripada kerajaan.  Langkah ini juga berfungsi mengendurkan tuntutan rakyat untuk mempunyai perwakilan dalam kerajaan.
 
Dalam konteks Brunei, taxation effect dipraktikkan dengan cara mengecualikan rakyat daripada cukai pendapatan individu, dan cukai-cukai lain seperti cukai eksport, jualan, gaji dan pembuatan.  Kadar cukai jalan bagi kenderaan pula ialah B$4.50 bagi setiap 100 cc manakala duti import tidak dikenakan bagi sebarang jenis kenderaan4.  Bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS), cukai pendapatan korporat telah dikurangkan dari 23.5 peratus kepada 22 peratus pada tahun 2011.  Bagi pioneer industries pula iaitu penglibatan syarikat korporat dalam bidang-bidang tertentu yang diiktiraf oleh kerajaan Brunei menerusi Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama sebagai kritikal5, pengecualian cukai bergantung kepada jumlah pelaburan modal6.
 
3.2.2 Rentier Effect 2: Spending Effect
 
Menurut Ross (2001: 333) lagi, kerajaan akan menggunakan hasil minyak untuk meningkatkan perbelanjaan bagi tujuan memberi naungan (spending on patronage). Seperti juga taxation effect, pelaksanaan spending effect juga bertujuan melunturkan desakan rakyat yang mahukan kerajaan membuka lebih banyak ruang demokrasi.
 
Dalam konteks Brunei, kerajaan memberi pelbagai insentif menerusi skim perlindungan sosial kepada rakyat sama ada yang bertaraf warganegara mahupun penduduk tetap (permanent resident).  Menurut Sainah (2009:134), insentif terpenting melibatkan sistem pendidikan, kediaman, sistem kesihatan, faedah persaraan, dan pencen untuk golongan uzur dan kurang upaya seperti berikut:
 
(i)    Sistem Pendidikan
 
Berdasarkan artikel Sainah (2009: 138), kerajaan Brunei menyediakan pendidikan percuma bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.  Biasiswa penuh pula diberikan kepada pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat universiti.  Dari segi angka, sebagai contoh daripada sejumlah $B4.5 billion bagi Kumpulan Wang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2006/2007 yang diluluskan oleh MMN, sebanyak B$700 juta disalurkan untuk butiran pendidikan (Muhammad Hadi 2007: 103-104).
 
(ii)               Penyediaan Kediaman
 
Skim Perumahan Negara telah diwujudkan oleh kerajaan sejak pertengahan tahun 1970-an bagi memastikan semua rakyat memiliki kediaman sendiri.  Menurut Sainah (2009: 139), semua warganegara Brunei yang berusia 18 tahun ke atas layak dipertimbangkan untuk Skim Perumahan Negara tertakluk kepada latar belakang keluarga. Bagi menjayakan skim ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN).  Misalnya, menerusi Rancangan Kemajuan Negara Kelapan (RKN Ke-8), skim tersebut telah diperuntukkan sebanyak B$82 juta (Muhammad Hadi 2007: 103).
 
Di bawah skim tersebut, sebanyak 6 ribu unit rumah baru telah dibina dalam tempoh 1972-2009. Usaha ini digerakkan menerusi dua skim iaitu skim perumahan untuk rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri dan juga skim penempatan semula.  Bermula dari tahun 2000 pula, pinjaman perumahan tanpa faedah ditawarkan.  Warganegara yang berpendapatan rendah akan diberikan rumah kos rendah dilengkapi kemudahan infrastruktur yang diberi subsidi sepenuhnya oleh kerajaan dengan  tempoh pajakan selama 99 tahun.  Bagi warganegara yang lebih berkemampuan pula, mereka ditawarkan sebidang tanah berharga B$13 ribu dan boleh dipindah milik kepada waris terdekat. (Sainah 2009: 139).
 
(iii)             Sistem Kesihatan
 
Seperti bidang-bidang lain, kerajaan juga memperuntukkan dana yang besar bagi memantapkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.  Misalnya, sejumlah B$111.6 juta disalurkan untuk perubatan dan kesihatan menerusi Belanjawan Tahun 2011/2012. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diberi secara percuma sama ada kepada warganegara mahupun penduduk tetap.  Walau bagaimanapun, warganegara mendapat lebih keistimewaan berbanding penduduk tetap kerana sekiranya mereka memerlukan rawatan pakar di luar negara (Malaysia atau Singapura), kos rawatan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan (Muhammad Hadi 2007: 104-105).
 
(iv)             Faedah Persaraan
 
a.       Supplemental Contributory Pension (SCP)
 
Selain SCP, terdapat juga faedah-faedah persaraan lain seperti Faedah Langsung dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).  Walau bagaimanapun, bagi maksud penulisan ini saya berpendapat adalah memadai untuk memperincikan SCP sahaja sebagai contoh faedah persaraan yang diberikan oleh kerajaan Brunei kepada rakyatnya. 
 
Berdasarkan Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam, berkuatkuasa pada 1 Januari 2010 SCP dilaksanakan sebagai skim caruman tambahan kepada TAP. Menerusi SCP, semua peserta yang mencarum akan menerima sekurang-kurangnya B$150 sebulan apabila telah mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun.  Kadar caruman bulanan minimum ialah 3.5 peratus bagi peserta dan 3.5 peratus juga bagi majikan7.  Jumlah caruman sebanyak 7 peratus sebulan akan disalurkan kepada akaun peserta (6 peratus) dan pembayaran perlindungan survivorship8 (1 peratus). Peserta perlu mencarum secara konsisten selama sekurang-kurangnya 35 tahun9 bagi melayakkan mereka menerima manfaat SCP.  Bagi peserta dalam sektor informal10 pula, mereka dimestikan mencarum sekurang-kurangnya B$17.50 sebulan dan amaun yang sama akan ditampung oleh kerajaan menjadikan jumlah terkumpul caruman mereka setiap bulan sekurang-kurangnya $B35.00.
 
(v)                Pencen Untuk Golongan Uzur dan Kurang Upaya
 
a.        Old Age Pension (OAP)
 
Selaras dengan peruntukan di bawah Old Age, Disability and Survivorship Act 1954 (Revised 1992), setiap rakyat Brunei akan menerima elaun bulanan sebanyak $B150 apabila mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun.  Insentif ini turut dinikmati oleh Sultan sejak ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 pada tahun 2006 (Muhammad Hadi 2007: 110).
 
b.    Bayaran Pencen Kurang Upaya
 
Terdapat juga bayaran pencen khas bagi golongan kurang penglihatan, ibu tunggal, anak yatim, dan orang kurang upaya.  Mereka yang telah diperakukan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat akan menerima sebanyak B$250 setiap bulan tanpa perlu membuat caruman (Sainah 2009: 147).

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 8


3.2  Hasil Minyak dan Shell-Fare State2

Menerusi Index Of Oil-Reliant States dalam artikel bertajuk Does Oil Hinder Democracy, Ross (2001: 326) telah membahagikan “nilai eskport berasaskan minyak dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)” bagi 25 negara pengeluar minyak dunia. Hasil pengiraan tersebut, Brunei memperolehi 47.58 mata sekaligus muncul sebagai negara yang paling bergantung kepada hasil minyak mengatasi negara-negara pengeluar minyak lain seperti Arab Saudi (33.85 mata, tempat ke-9).  Walaupun dapatan kajian bagi Brunei menggunakan data tahun 1994 sedangkan kebanyakan negara lain menggunakan data Bank Dunia bagi tahun 1995, namun perkara utama iaitu pergantungan Brunei yang keterlaluan terhadap hasil minyak tetap tidak boleh dipertikaikan.  Fakta ini selaras dengan sumbangan hasil minyak Brunei kepada pendapatan negara.  Terkini, pendapatan negara bagi tahun 2011/1012 ialah B$5.899 billion dan daripada jumlah tersebut, sebanyak B$5.174 billion datangnya daripada pendapatan minyak dan gas yang bersamaan hampir 90 peratus.  Data ini jelas membuktikan tahap kebergantungan Brunei yang sangat tinggi terhadap hasil minyaknya.

Berbalik kepada artikel yang sama, Ross (2001: 332) telah menjalankan ujian-ujian untuk mengesan sama ada wujud kaitan, dipanggil sebagai mekanisme penyebab (causal mechanisms), di antara hasil minyak dengan tahap demokrasi di negara-negara pengeluar minyak.  Tiga mekanisme penyebab yang dimaksudkan ialah rentier effect, repression effect dan modernization effect.

Ross (2001: 332) mengakui bahawa hasil ujian yang beliau jalankan menunjukkan hubung kait yang konsisten, walaupun bersifat lemah, di antara ketiga-tiga mekanisme penyebab disebabkan data yang diperolehi tidak lengkap dan berpotensi untuk menjadi berat sebelah.  Walau bagaimanapun, Ross (2001: 356) masih berpendirian bahawa keputusan ujian tersebut mampu berfungsi sebagai bukti kuantitatif bagi ketiga-tiga mekanisme penyebab.

Dalam konteks penulisan ini, saya pula akan melihat sama ada mekanisme penyebab yang diutarakan oleh Ross (2001) turut berlaku di Brunei dan sejauh manakah pelaksanaannya boleh menjejaskan proses demokrasi sekaligus mengukuhkan rejim pemerintahan sedia ada.  Namun begitu, saya hanya akan menumpukan kepada rentier effect dalam perbincangan seterusnya.

Menurut Ross (2001: 332), sebagai salah satu mekanisme penyebab, rentier effect berlaku apabila sesebuah kerajaan menggunakan hasil minyak bagi tujuan mengalihkan tekanan sosial yang diterimanya supaya bersikap lebih bertanggungjawab (accountability). Terdapat tiga kaedah yang diambil oleh sesebuah negara pengeluar minyak bagi memastikan rentier effect berlaku iaitu menggunakan taxation effect, spending effect dan group formation.  Walau bagaimanapun, penulisan ini akan mengecualikan perbincangan tentang group formation3 yang telah disentuh di bawah tajuk “Tahap Pembangunan Politik” (hlm. 7-11) bagi memberi tumpuan yang lebih kepada taxation effect dan spending effect.

Wednesday, 26 October 2011

Ringkasan Bab 2, The End of History and the Last Man - Episod Akhir



Bab Kecil 6

1.      Terdapat hubungan di antara pembangunan ekonomi, tahap pendidikan dan demokrasi.

o   Contoh:

§  Eropah Selatan: Kajian Kes Sepanyol

·        Ekonomi: 1958 - liberalisasi, 1960-an – 7% setahun.

·        Pendidikan: meningkat kesan daripada pembandaran pesat; 1950 – 18% di bandar, 1970 – 34% di bandar.

·        Kesan daripada ekonomi pesat + tahap pendidikan meningkat, Sepanyol bergerak ke arah demokrasi selepas kematian Jeneral Francisco Franco.

§        Asia: Jepun, Korea Selatan & Taiwan.

§      Afrika Selatan: 1948-1988 - komuniti Afrikaner berubah menjadi masyarakat kolar putih (tinggal di bandar, berpendidikan & mahir dalam keusahawanan).

o    Pengecualian: Negara Timur Tengah; demokrasi tak stabil tetapi pendapatan per kapita setanding Eropah & Asia, faktor minyak.

2.      3 hujah mengapa pengindustrian maju sepatutnya menghasilkan demokrasi liberal.

(i)                 Penghujahan Fungsi

§     Berbanding sistem diktator, hanya demokrasi mampu menjadi pengantara dalam jaringan rumit akibat kepentingan bercanggah yang dicipta oleh ekonomi moden.

§       Banyak konflik yang wujud antara kumpulan sosial yang baru muncul terpaksa diadili dalam sistem undang-undang dan akhirnya sistem politik.

§       Pasaran per se tidak mampu menangani konflik tersebut, perlu rujuk kepada sistem yang adil dan saksama = demokrasi.

§       Contoh: Isu Alam Sekitar

·       Tanpa demokrasi, kerajaan akan sentiasa menyebelahi firma gergasi yang merosakkan alam sekitar, kerana tiada ruang untuk penduduk / NGO dll. membantah.

(ii)             Kecenderungan sistem diktator / satu parti merosot dalam jangka masa tertentu, & lebih pantas apabila terpaksa mengendalikan masyarakat berteknologi maju.

§      Apabila pengasas meninggal dunia, tiada jaminan penggantinya setanding & cekap menguruskan negara.

§     Jika diktator memerintah lama, personaliti pelik terhasil. Contoh: sewaktu Ceaucescu memerintah Romania, beliau memiliki lampu chandelier 40 ribu watt sedangkan bekalan elektrik negara dicatu.

(iii)            Pengindustrian yang berjaya menghasilkan masyarakat kelas pertengahan yang mahukan penyertaan politik dan kesamaan hak. 

3.      Kekecualian Keberkesanan Demokrasi Liberal

(i)               Kurang berkesan bagi masyarakat yang sangat terbahagi mengikut perbezaan kelas sosial, warganegara atau agama. Contoh: Elit tradisional vs. kelas lain di Filipina & Peru.

(ii)             Kurang cekap menyelesaikan pertelingkahan antara kumpulan etnik atau bangsa yang berlainan. Contoh: kedaulatan sesebuah wilayah yang menjadi rebutan tidak akan dikompromi oleh pihak-pihak berkenaan seperti Armenia & Azerbaijan.

Ringkasan Bab 2, The End of History and the Last Man - Episod 4


Bab Kecil 5

1.     Teori Kebergantungan diasaskan oleh Lenin menerusi risalahnya, “Imperialism: The Highest Stage of Capitalism” (1914).

o     Kapitalisme akan tumbang bukan disebabkan perjuangan kelas di dalam dunia maju tetapi disebabkan pertembungan di antara negara-negara Utara yang membangun dengan “proletariat sejagat” di dunia kurang maju.

2.      Asas aliran Teori Kebergantungan (Dependencia) di Amerika Selatan:

o   Raul Prebisch, ahli ekonomi Argentina.

§    Pertumbuhan lembap di kawasan Dunia Ketiga seperti Amerika Selatan disebabkan susunan ekonomi kapitalis sejagat -> “pembangunan tanggungan” buat selama-lamanya.

§       Kekayaan Utara berkait langsung dengan kemiskinan Selatan.

3.      Prinsip-prinsip asas Teori Kebergantungan.

o      Pembangunan lewat menyebabkan negara mundur selama-lamanya.

o      Syarat-syarat perdagangan dunia dikawal negara maju.

o   Melalui MNC (Multinational Corporation) negara maju memaksa Dunia Ketiga memasuki “pembangunan tidak seimbang” – eksport bahan mentah dan komoditi yang mengandungi kandungan pemprosesan yang rendah.

4.      Kaedah Penyelesaian oleh Teori Kebergantungan.

o   Sederhana: Menggalakkan industri tempatan dengan mewujudkan tarif tinggi = “penggantian import”

o     Radikal: Melemahkan susunan ekonomi dunia; revolusi, menarik diri daripada sistem perdagangan kapitalis & bergabung dengan blok Soviet Union seperti Cuba.

5.      Sanggahan kepada Teori Kebergantungan: NIC (Newly Industrialised Country) di Asia.

o      Negara yang lewat melalui pemodenan sebenarnya mempunyai kelebihan berbanding kuasa perindustrian yang lebih mantap.

o     Contoh:

§    Jepun beli teknologi termoden dari Amerika Syarikat dan Eropah, tanpa dibebani infrastruktur lapuk dan tidak cekap, & mampu bersaing dalam bidang teknologi tinggi bagi tempoh yang lama.

§      Malaysia & Thailand yang lewat membangun berbanding Jepun & Korea Selatan tidak mengalami kekurangan relatif.

6.      Faktor-faktor Kegagalan Ekonomi Berorientasi Pasaran di Amerika Selatan.

(i)                 Budaya

§    Tabiat, adat resam, agama dan struktur sosial bangsa yang menghalang pencapaian tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

§       Amerika Selatan mewarisi institusi feudal Sepanyol & Portugis abad ke-17 & 18; kuasa negara digunakan untuk mengawal aktiviti ekonomi untuk kepentingan ekonomi kelas atasan -> merkantilisme.

§     Golongan elit dilindungi daripada persaingan antarabangsa melalui penggantian import; pengeluar tempatan terbatas kepada pasaran dalam negara yang kecil, ekonomi skala tidak tercapai.

(ii)               Dasar

§  Pelaksanaan kapitalisme tidak dicuba bersungguh-sungguh.

§  Contoh:

·        Hernando de Soto, “The Other Path”.

·        Permohonan membuka kilang: 11 prosedur birokrasi + 289 hari + $1,231 yuran & upah hilang termasuk 2 bayaran rasuah.

§       Semua sektor ekonomi utama ada sektor “tidak formal” -> 1/3 atau 1/4 KNK (Keluaran Negara Kasar).

§       Kegiatan ekonomi yang dipaksa memasuki saluran tidak sah = ketidakcekapan ekonomi.