Daripada satu tempat cuci kereta, ke tempat cuci kereta yang lain. Masalah peniaga di kawasan ini, tak kiralah berasaskan makanan atau cuci kereta ialah waktu operasi yang tidak konsisten. Ada yang asal lalu saja tutup, asal lalu saja tutup. Ada yang hari tu pi ada, hari ni pi tak buka pula, hanya khidmat baiki kereta saja yang berjalan seperti biasa. Lalu aku ke tempat cuci kereta di kawasan kampung berdekatan.
Seorang pak cik nampaknya baru buka kedainya. Baguslah, ertinya aku orang pertama. Ditanya padaku cuti ke. Aku hanya mengiakan, memang dah masuk empat semester aku tak bekerja. Walaupun seorang, pak cik ni boleh kata A la dia punya kerja. Tompokan susu tepung yang melekat di kusyen belakang pun hilang dibuatnya, padahal dah berapa banyak tempat cuci kereta aku pi haram tak dak inisiatif pun nak buat macam tu. Pak cik ni bukan setakat bertanya, tompokan itu dihilangkannya juga.
Kereta terus dicuci. Kelihatan seorang pemandu teksi sebaya aku tiba sebagai pelanggan kedua. Nampaknya depa berdua dah kenal lama. Tapi yang tak boleh blah tu ialah semasa nak memarkir ke bawah bumbung, sempat lagi dia melontarkan persoalan yang merujuk keretaku yang katanya baru tapi dah bercalar. Tanya tuan dia la, kata pak cik berkenaan. Bengkek je aku dengar, ada la sebab-musabab calar kat bahagian bawah tu.
Ingatkan dia nak duduk di sofa (atau kusyen, faham-faham sajalah macam mana keadaannya, bukannya di pejabat). Rupa-rupanya diambil kerusi plastik tanpa penyandar dan duduk lebih sedepa dariku.
Masa terus berjalan, dekat-dekat pukul 12. Persembangan dia dan pak cik tu terus rancak. Aku yang bermata tajam pantas menyedari akan ada pencemaran udara bakal berlaku apabila dia mengeluarkan sepuntung nikotina dari kotak jenama mantan penaja bola sepak Malaysia. Malas aku nak mengurangkan kualiti hidup sendiri, lantas aku bergerak ke kawasan keretaku dicuci, buat-buat belek bahagian enjin dan sebagainya.
Tak lama kemudian dia mai, rokok berasap masih terjepit di jari, seraya memberitahu, plastik bentuk bulat dekat wiper keretaku dah tak ada. Terkejut aku, tapi aku ada masanya walaupun terkejut muka macam tak ada perasaan, sama saja. Kali ini pun serupa, sebab bagiku dah hilang, takkan nak meroyan pula kat depan tu, beli saja la yang baru. Cuma yang musykil sebab ada satu lagi menatang tu, tak diusik, walhal pasangan dia dah tinggal nat besi tu je. Aku tanya mamat teksi tu apa orang nak buat dengan curi benda tu. Entahlah, katanya, tapi banyak dah dia tengok menatang tu hilang dari kereta Honda. Pelik betul la, aku terfikir sendiri, kat manalah agaknya penyamun tarbus tu rembat dari kereta aku, walhal bukannya aku gerak ke mana-mana sangat pun, sekitar radius sini juga pun. Satu perkara yang menjadi teori aku ialah penyamun tarbus tu tak sempat nak rembat dua-dua sekali sebab line dah tak clear, mungkin masa tu aku dah keluar dari kedai (makan) menghampiri kereta.
Jadi kepada para pemilik kereta Honda di luar sana, tak kira la Accord ka, Civic ka, City ka, khususnya di Selangor Darul Ehsan, berhati-hatilah ye. Doa yang kita panjatkan semasa khutbah kedua supaya negeri ini menjadi "...negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan..." (ayat rasanya idea Hasan Ali masa jadi exco dulu) nampak gaya belum dimakbulkan.
Foto ihsan memimage.cardomain.com Spare part yang dicuri ialah yang bentuk bulat warna hitam di atas |