Pages

Saturday 12 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 4

2.3       Amalan Caretaker Government di Perancis

2.3.1    Artikel 7, Perlembagaan Perancis: Presiden Interim

Perlembagaan Perancis tidak menyebut secara jelas tentang pembentukan dan peranan caretaker government apabila Parlimen dibubarkan.  Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan perlembagaan tentang Presiden Interim seperti dinyatakan menerusi Artikel 7 iaitu “sekiranya jawatan Presiden kosong kerana apa jua sebab, atau sekiranya Constitutional Council[i] selepas dirujuk oleh Kerajaan membuat keputusan majoriti mutlak bahawa Presiden tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya, maka tugas Presiden, kecuali tugas-tugas yang dinyatakan di Artikel 11 dan 12, perlu dilaksanakan buat sementara waktu oleh Presiden Senat.  Sekiranya Presiden Senat juga tidak berkeupayaan, tugas Presiden akan dilaksanakan oleh Kerajaan iaitu Kabinet.”

Sesetengah pakar Perlembagaan Perancis mentafsirkan keutamaan Kabinet didahului oleh Perdana Menteri, dan diikuti oleh ahli-ahli Kabinet yang lain.  Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah berlaku kerana kebiasaannya jika tiada Presiden Senat, maka Senate akan menamakan Presiden Senat yang baru untuk menjawat jawatan Presiden Interim.

Tempoh masa maksimum bagi seseorang Presiden Senat menjadi Presiden Interim ialah 50 hari. Tempoh tersebut dikira berdasarkan jangka masa mengadakan pilihan raya Presiden yang merangkumi pusingan pertama dan pusingan kedua.  Menurut Artikel 7, Perlembagaan Perancis juga, pusingan pertama pilihan raya Presiden mesti diadakan tidak kurang dari 20 hari dan tidak melebihi 35 hari sebelum tempoh perkhidmatan Presiden sedia ada tamat.  Sekiranya pemenang dalam pilihan raya Presiden tidak dapat ditentukan selepas berakhir pusingan pertama, maka pusingan kedua pilihan raya perlu diadakan 15 hari selepas berakhir pilihan raya pusingan pertama.

Walaupun tempoh maksimum memegang jawatan Presiden Interim ialah 50 hari, namun Artikel 7 turut menyatakan bahawa Constitutional Council boleh melanjutkan tempoh tersebut dengan syarat pengundian berlangsung tidak lewat daripada 35 hari selepas Constitutional Council membuat keputusan tentang kekosongan jawatan Presiden.  Sekiranya pelaksanaan peruntukan ini mengakibatkan penundaan tarikh pilihan raya sehingga melebihi tarikh tamat perkhidmatan seseorang Presiden, maka Presiden tersebut perlu meneruskan tugasnya sehingga penggantinya diisytiharkan secara rasmi. 

Sungguhpun demikian, pelantikan Presiden Senat sebagai Presiden Interim tidak berbangkit sekiranya pilihan raya Presiden diadakan pada penghujung tempoh perkhidmatan biasa bagi seorang Presiden.  Dalam keadaan ini, Presiden sedia ada akan kekal bertugas sehingga beliau dipilih semula menerusi kemenangan dalam pilihan raya atau digantikan dengan calon lain yang memenangi pilihan raya (Pickles 1972).
 





[i] Constitutional Council terdiri daripada sembilan orang ahli yang dilantik oleh Presiden Perancis, Presiden National Assembly dan Presiden Senat.  Presiden bagi Constitutional Council dilantik oleh Presiden Perancis di kalangan sembilan ahli sedia ada.  Tempoh perkhidmatan ialah sembilan tahun dan tidak akan diperbaharui.  Satu pertiga daripada mereka akan digantikan setiap tiga tahun.  Antara kuasa Constitutional Council ialah menyelesaikan pertikaian berkenaan pilihan raya dan referendum. (Title VII, The Constitutional Council, Perlembagaan Perancis).

No comments: