Pages

Showing posts with label episod 3. Show all posts
Showing posts with label episod 3. Show all posts

Wednesday, 23 November 2011

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 3


2.2      Rancangan Fizikal Negara (RFN)

RFN diwujudkan susulan daripada keputusan MPFN pada 26 April 2005. RFN dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan agensi Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan pembangunan guna tanah. KPKT dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan RFN dan mengadakan penilaian semula setiap lima tahun. Kemajuan yang dicapai perlu dilaporkan secara berkala kepada MPFN.

Salah satu daripada empat objektif utama RFN ialah “mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber asli untuk pembangunan mampan.” Selaras dengan objektif ini, beberapa pendekatan telah diambil, dan pendekatan yang berhubung kait secara langsung dengan pengurusan sisa pepejal ialah Perancangan Prasarana Yang Bersesuaian. Menerusi pendekatan ini, RFN mencadangkan agar prasarana dan perkhidmatan berkualiti membabitkan bekalan air, elektrik, telekomunikasi, pembetungan dan sistem pelupusan sisa pepejal disediakan menggunakan teknologi yang sesuai dengan tapak dan keperluan pembangunan.

Saturday, 12 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 3


2.2       Konsep Pembubaran Parlimen di Perancis

Pembubaran Parlimen di Perancis merujuk kepada pembubaran National Assembly. Dalam konteks Perancis, Presiden begitu berkuasa dan salah satu daripada kuasa Presiden, selaras dengan Artikel 12, Perlembagaan Perancis, adalah membubarkan National Assembly selepas berunding dengan Perdana Menteri dan Presiden-presiden bagi National Assembly dan Senate.  Sehubungan itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang dari 20 hari dan tidak melebihi 40 hari dari tarikh pembubaran National Assembly.  Dalam tempoh setahun selepas pilihan raya, National Assembly tidak boleh dibubarkan.

Pembubaran National Assembly adalah bertujuan mengadakan pilihan raya bagi memilih 577 ahli Parlimen.  Parti yang memenangi kerusi terbanyak akan mencalonkan salah seorang daripada ahli Parlimennya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Presiden Perancis, yang juga akan melantik beberapa Menteri sebagai anggota Kabinet.  Namun demikian, tidak seperti pelantikan Perdana Menteri, Menteri yang dilantik untuk menganggotai Kabinet tidak semestinya merupakan ahli Parlimen.  

Thursday, 10 November 2011

Advencer Si Pencari Sunti Priyayi (Episod 3): Berjumpa Raj Di Dalam Kereta Api


Dipendekkan cerita, saya berjaya juga menaiki kereta api ke Delhi. Frank Martin sempat menghantar saya ke stesen, sebelum bergegas ke lokasi penggambaran filem "Pengangkut".

Koc Kelas Dua berhawa dingin. Kereta api jenama Ala Hazrat Express. Setahu saya perkataan hazrat merupakan gelaran hormat, biasanya untuk alim ulama di India, Pakistan dan sewaktu dengannya. Saya pula memang sangat mudah tertarik dengan sesuatu yang bernuansakan islami secara maildi, bukannya hadkori.

Anda tentu tertanya-tanya, dalam episod terdahulu bukankah saya mengharapkan kuota pelancong atau kuota Tatkal bagi kereta api jenama Gujarat Mail. Memanglah saya berharap, tapi kuota-kuota itu langsung tak boleh harap. Masih nihil ruang untuk saya. Nasib baik saya menggunakan kepintaran tersendiri (ushar kereta la bro) dengan menempah tiket secara online. Kata responden dalam laman web itu, tempahan tiket secara online menjimatkan 50% kos tambang kereta api beliau kerana tidak perlu lagi menghulur duit kopi kepada tukang jual tiket. Jadinya, pengembaraan bersambung, paling cepat kereta api akan bertolak pada pukul 8.15 pagi waktu tempatan. Itu kalau mengikut jaduallah.

Masalahnya janji palsu ini bukan hanya boleh didapati daripada ras tertentu, tetapi sudah menjadi satu isu global bagi negara-negara kurang membangun dan membangun. Cuba pergi ke negara-negara maju, Jepun umpamanya, ketepatan masa sangat maksimum. Sebab itu shinkansen mereka boleh bergerak pada minit yang pelik-pelik. Contohnya, Nozomi 41 dari Tokyo ke Shin-Osaka boleh bertolak pukul 2.10 petang dan sampai 4.43 petang, kemudian shinkansen yang lain, Rail-star Hikari menyambung pecutan ke Okayama pada pukul 4.59 petang dan tiba pada pukul 5.45 petang. Amacam, ada beran? (Oh, ya, sebuah syarikat bas di Hentian Duta ada mengaplikasikan masa bergerak spesies ini. Hanyasanya, aplikasi tersebut lebih kepada penyelarasan kepada hari tiket yang dijual. Sebagai contoh, pada tiket bas tertera waktu bertolak ke Parit Buntar pukul 11.59 malam. Maklumlah, kalau diletaknya pukul 12.00 malam sudah memasuki hari berikutnya dan mencelarukan sistem jualan tiket. Setakat itulah sahaja amalan murni yang dipraktikkan, bas memang akan sampai pada pagi hari berikutnya juga; setengah jam lewat itu biasa, berjam-jam lewat sebab bas dari Puduraya rosak sudah menjadi KPI mereka.)

Berbalik kepada cerita kereta api, apakan daya, saya sedang menggunakan perkhidmatan kereta api di India. Memanglah mereka tiada beran. Yang saya nampak berberan-beran hanyalah beg-beg yang diangkut oleh para penumpang ke dalam kereta api. Kereta api yang sepatutnya berjeda seketika sekira-kira 20 minit telah terbabas waktunya sehingga dekat setengah jam. Sudahlah tiba dari Phulera pun lewat, bertolak pun lewat. Appa punya turrr la.Berbeza dengan persepsi umum, kereta api ini menempatkan penumpang di dalam koc. Ulang suara, di dalam koc. Makanya tidak kedapatan penumpang berchaiyachaiyachaiya di atas bumbung kereta api.

Dalam perjalanan, saya berbual panjang dengan seorang budak kanyiar berjaket hitam, Raj namanya. Yang banyak bicara takkan tak tahu kot, siapa lagi kalau bukan si Raj. Saya seperti biasa menjadi pendengar setia. Kata Raj, dia dalam rangka advencer, untuk menemui kekasih hatinya bernama Simran. Sungguhpun misi beliau begitu mencabar, Raj masih boleh berlawak Bedtime Stories kartunis Lambok. Ada 3 perkara dilakukan beliau tidak semena-mena.

Wednesday, 26 October 2011

Ringkasan Bab 2, The End of History and the Last Man - Episod 3


Bab Kecil 4

1.     Sains tidak semestinya menjurus kepada kapitalisme dalam bidang ekonomi, atau demokrasi liberal dalam bidang politik.

2.     Ada negara yang telah melalui peringkat pertama pengindustrian dan maju dari segi ekonomi, mengalami pembandaran, dan bersifat sekular, di samping memiliki struktur negara yang kuat dan sepadu serta penduduk yang berpendidikan agak baik tetapi bukan kapitalis mahupun demokratik.

o   Contoh: Soviet Union era Stalin dari 1928 sehingga lewat 1930-an bertukar dari negara pertanian kepada perindustrian tanpa memberi rakyatnya kebebasan ekonomi dan politik.

3.     Menurut Fukuyama, kapitalisme merupakan satu-satunya sistem ekonomi yang berdaya maju kerana terbukti jauh lebih cekap daripada sistem ekonomi terancang secara terpusat dalam aspek-aspek berikut:

(i)                Membangun dan menerap teknologi

(ii)              Menyesuai dengan suasana pembahagian buruh yang berubah sangat pantas di seluruh dunia.

Syaratnya: Ekonomi perindustrian sudah matang.

4.      Faktor-faktor kegagalan sistem ekonomi perancangan terpusat:

(i)                Masalah inovasi teknologi.

§      Penyelidikan saintifik berlangsung paling baik dalam suasana bebas, apabila orang dibenarkan berfikir dan berhubung dengan bebas, dan diberi ganjaran kerana inovasi mereka – sesuatu yang tidak lumrah di Soviet Union dan China.

§      Diskriminasi lain - insentif lumayan hanya diberi kepada sektor tertentu seperti bidang fizik nuklear yang mengukuhkan kedudukan kerajaan secara langsung, manakala sektor lain yang kurang menarik diabaikan.

(ii)              Belum berjaya membuat keputusan pelaburan rasional, atau dalam menggabungkan teknologi baru secara berkesan ke dalam proses pengeluaran.

§       Autonomi yang lebih kepada pengurus untuk membuat keputusan tidak begitu berkesan tanpa sistem penentuan harga rasional (ditentukan oleh pasaran)

(iii)             Ekonomi moden yang kompleks.

§  Sekalipun dengan kemajuan keupayaan teknikal, tidak mungkin dapat menetapkan senarai harga dengan cekap bagi jumlah barangan yang terlalu banyak.

§  Contoh: 1 kapal terbang = beratus ribu komponen berasingan

(iv)              Tidak mencapai ekonomi skala

§  Barangan dibuat sendiri tetapi lebih mahal dan kurang berkualiti

§  Contoh: Kereta Trabant (pencemaran), cip Erich Honecker (mahal)

(v)                Etika kerja terjejas

§      Dasar sosial & ekonomi yang tidak memberi individu insentif peribadi untuk bekerja; upah seragam untuk semua -> kurang motivasi untuk bekerja lebih dari sepatutnya.

Monday, 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 3

1.3  Pembangunan Politik

Leefers (2004: 1) menerusi The Course of Political Development in Uganda and Its Effect on Economic Development menyebut bahawa pada kebiasaannya pembangunan politik didefinisikan sebagai pergerakan ke arah sistem yang lebih bersifat demokrasi liberal berasaskan pilihan raya yang bebas dan adil, dan perlidungan hak-hak sivil rakyat. Laluan ke arah pembangunan politik lazimnya sukar untuk dijelaskan kerana setiap negara mempunyai sejarah dan kaedahnya yang tersendiri bagi mencapai matlamat tersebut. Ramai di kalangan sarjana Barat mencadangkan supaya negara mengukuhkan institusi-institusi yang berperanan mempromosikan demokrasi, mengadakan pilihan raya dan mengamalkan sistem pelbagai parti.  Walau bagaimanapun, kejayaan sesebuah negara dalam usahanya melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjana Barat ini masih diperdebatkan.

Huntington (1965: 387-388) menjelaskan pembangunan politik selalu dikaitkan dengan pemodenan masyarakat.  Sesuai dengan definisi tersebut, empat kategori pembangunan politik telah diutarakan iaitu rasionalisasi, nasionalisme dan integrasi nasional, pendemokrasian, dan mobilisasi atau penglibatan.  Di antara keempat-empat kategori ini, mobilisasi yang selalu diberi penekanan.  Hujah Huntington, “pemodenan bererti mobilisasi besar-besaran, mobilisasi besar-besaran bererti peningkatan penyertaan politik, dan peningkatan penyertaan politik ialah kunci kepada pembangunan politik”.


1.4  Aspek Positif & Negatif Legitimasi dan Demokrasi

Sama ada legitimasi atau demokrasi, kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri.  Yu Keping (2009: 3) dalam buku beliau Democracy is a Good Thing: Essays on Politics, Society, and Culture in Contemporary China mengakui hakikat ini.  Pada beliau, demokrasi menyebabkan seseorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat bertindak dengan lebih berhati-hati kerana pemimpin tersebut diangkat ke kedudukannya setelah dipilih dan mendapat sokongan majoriti rakyat. 

Yu (2009: 3) turut memberikan beberapa contoh bagaimana demokrasi juga mempunyai sisi negatif.  Antara lain, menurut beliau demokrasi boleh membawa kepada ketidakstabilan politik di sesebuah negara kerana rakyat dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan dan berdemonstrasi di jalan raya.  Demokrasi juga boleh menyebabkan proses pembuatan keputusan menjadi sangat birokratik dan lambat sekaligus mengurangkan kecekapan pentadbiran.  Ujar beliau lagi, hal ini disebabkan demokrasi mengehendaki perundingan dan perbincangan dilakukan berulang-kali sehingga keputusan akhir dapat dicapai.  

Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (2008) pula menepis tanggapan umum dalam politik dunia bahawa negara yang tidak mengamalkan demokrasi merupakan negara yang bersifat diktator dan tidak menghiraukan kepentingan orang ramai.  Merujuk kepada sistem demokrasi berparlimen, beliau membawakan perspektif Islam bahawa sistem demokrasi cenderung untuk mengangkat suara majoriti dalam pembuatan sesuatu keputusan walaupun keputusan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.  Dalam erti kata lain, suara minoriti walaupun mewakili kebenaran tidak akan mendapat tempat dalam sistem demokrasi. 

Sesetengah pihak pula berpendapat legitimasi lebih berupaya membawa kestabilan politik kepada sesebuah negara berbanding demokrasi.  Menurut Leake, Jr. (1990: 77), semasa Sultan Brunei ditemubual oleh majalah Newsweek, sejurus selepas kemerdekaan Brunei pada tahun 1984, sama ada baginda akan membenarkan semula kebebasan berpolitik, baginda bertitah:
“We have tried it. We had elections before 1962 and we had a few political parties, but people competed against each other and chaos resulted.”