Pages

Showing posts with label Bangladesh. Show all posts
Showing posts with label Bangladesh. Show all posts

Saturday, 12 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 4

2.3       Amalan Caretaker Government di Perancis

2.3.1    Artikel 7, Perlembagaan Perancis: Presiden Interim

Perlembagaan Perancis tidak menyebut secara jelas tentang pembentukan dan peranan caretaker government apabila Parlimen dibubarkan.  Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan perlembagaan tentang Presiden Interim seperti dinyatakan menerusi Artikel 7 iaitu “sekiranya jawatan Presiden kosong kerana apa jua sebab, atau sekiranya Constitutional Council[i] selepas dirujuk oleh Kerajaan membuat keputusan majoriti mutlak bahawa Presiden tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya, maka tugas Presiden, kecuali tugas-tugas yang dinyatakan di Artikel 11 dan 12, perlu dilaksanakan buat sementara waktu oleh Presiden Senat.  Sekiranya Presiden Senat juga tidak berkeupayaan, tugas Presiden akan dilaksanakan oleh Kerajaan iaitu Kabinet.”

Sesetengah pakar Perlembagaan Perancis mentafsirkan keutamaan Kabinet didahului oleh Perdana Menteri, dan diikuti oleh ahli-ahli Kabinet yang lain.  Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah berlaku kerana kebiasaannya jika tiada Presiden Senat, maka Senate akan menamakan Presiden Senat yang baru untuk menjawat jawatan Presiden Interim.

Tempoh masa maksimum bagi seseorang Presiden Senat menjadi Presiden Interim ialah 50 hari. Tempoh tersebut dikira berdasarkan jangka masa mengadakan pilihan raya Presiden yang merangkumi pusingan pertama dan pusingan kedua.  Menurut Artikel 7, Perlembagaan Perancis juga, pusingan pertama pilihan raya Presiden mesti diadakan tidak kurang dari 20 hari dan tidak melebihi 35 hari sebelum tempoh perkhidmatan Presiden sedia ada tamat.  Sekiranya pemenang dalam pilihan raya Presiden tidak dapat ditentukan selepas berakhir pusingan pertama, maka pusingan kedua pilihan raya perlu diadakan 15 hari selepas berakhir pilihan raya pusingan pertama.

Walaupun tempoh maksimum memegang jawatan Presiden Interim ialah 50 hari, namun Artikel 7 turut menyatakan bahawa Constitutional Council boleh melanjutkan tempoh tersebut dengan syarat pengundian berlangsung tidak lewat daripada 35 hari selepas Constitutional Council membuat keputusan tentang kekosongan jawatan Presiden.  Sekiranya pelaksanaan peruntukan ini mengakibatkan penundaan tarikh pilihan raya sehingga melebihi tarikh tamat perkhidmatan seseorang Presiden, maka Presiden tersebut perlu meneruskan tugasnya sehingga penggantinya diisytiharkan secara rasmi. 

Sungguhpun demikian, pelantikan Presiden Senat sebagai Presiden Interim tidak berbangkit sekiranya pilihan raya Presiden diadakan pada penghujung tempoh perkhidmatan biasa bagi seorang Presiden.  Dalam keadaan ini, Presiden sedia ada akan kekal bertugas sehingga beliau dipilih semula menerusi kemenangan dalam pilihan raya atau digantikan dengan calon lain yang memenangi pilihan raya (Pickles 1972).
 





[i] Constitutional Council terdiri daripada sembilan orang ahli yang dilantik oleh Presiden Perancis, Presiden National Assembly dan Presiden Senat.  Presiden bagi Constitutional Council dilantik oleh Presiden Perancis di kalangan sembilan ahli sedia ada.  Tempoh perkhidmatan ialah sembilan tahun dan tidak akan diperbaharui.  Satu pertiga daripada mereka akan digantikan setiap tiga tahun.  Antara kuasa Constitutional Council ialah menyelesaikan pertikaian berkenaan pilihan raya dan referendum. (Title VII, The Constitutional Council, Perlembagaan Perancis).

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 3


2.2       Konsep Pembubaran Parlimen di Perancis

Pembubaran Parlimen di Perancis merujuk kepada pembubaran National Assembly. Dalam konteks Perancis, Presiden begitu berkuasa dan salah satu daripada kuasa Presiden, selaras dengan Artikel 12, Perlembagaan Perancis, adalah membubarkan National Assembly selepas berunding dengan Perdana Menteri dan Presiden-presiden bagi National Assembly dan Senate.  Sehubungan itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang dari 20 hari dan tidak melebihi 40 hari dari tarikh pembubaran National Assembly.  Dalam tempoh setahun selepas pilihan raya, National Assembly tidak boleh dibubarkan.

Pembubaran National Assembly adalah bertujuan mengadakan pilihan raya bagi memilih 577 ahli Parlimen.  Parti yang memenangi kerusi terbanyak akan mencalonkan salah seorang daripada ahli Parlimennya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Presiden Perancis, yang juga akan melantik beberapa Menteri sebagai anggota Kabinet.  Namun demikian, tidak seperti pelantikan Perdana Menteri, Menteri yang dilantik untuk menganggotai Kabinet tidak semestinya merupakan ahli Parlimen.  

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 2

 
 
2.         PERANAN CARETAKER GOVERNMENT: PENGALAMAN DI PERANCIS

2.1       Struktur Sistem Berparlimen di Perancis

Negara Perancis menggunakan sistem perundangan bicameral iaitu mempunyai dua dewan perundangan yang akan menggubal undang-undang.  Menurut Title 4, Article 24, Perlembagaan Perancis, Parlimen Perancis yang disebut juga sebagai “the Parliament of the Fifth Republic” merangkumi dua dewan (chambers) yang ketua masing-masing juga diberi gelaran ‘Presiden’.  Kedua-dua dewan tersebut ialah:

(i)                 National Assembly (Lower House)

Dewan ini mempunyai keanggotaan tidak melebihi 577 orang yang dipilih melalui pilihan raya untuk tempoh lima tahun (kecuali dibubarkan) oleh sistem pemilihan “universal direct suffrage”; dan

(ii)               Senate (Upper House)

Mempunyai keanggotaan tidak melebihi 348 perwakilan yang dilantik bagi tempoh sembilan tahun oleh pihak berkuasa tempatan berasaskan formula yang kompleks.  Satu pertiga daripada ahli dewan yang digelar Senator akan bersara setiap tiga tahun.  

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 1

 
 
1.                  PENGENALAN
1.1        Konsep Caretaker Government
“Caretaker government” atau “kerajaan sementara” juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti “interim government” dan “provisional government”.  Berdasarkan Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan, caretaker government merupakan “Kerajaan yang dibentuk untuk jangka masa tertentu sehingga kerajaan yang sah ditubuhkan.  Dalam konteks politik, keadaan ini merujuk kepada kerajaan yang dibentuk akibat daripada keadaan yang tidak stabil dalam sesebuah negara seperti berlakunya peperangan, kerajaan yang mendapat undi tidak percaya daripada parlimen ataupun parlimen telah dibubarkan.  Amalan kerajaan sementara ini sering berlaku dalam sistem kerajaan yang dibentuk berasaskan kepada gabungan beberapa parti.  Apabila berlaku perpecahan dalam gabungan tersebut, maka kerajaan yang sedia ada terpaksa dibubarkan.  Semasa menunggu pembentukan sesebuah kerajaan yang baharu, urusan pentadbiran negara tersebut akan diambil alih oleh pemerintah sementara ini.” (Halimah & Rohaida 2007).

Eagles et al. (2004) berpendapat, apabila kerajaan sedia ada telah berakhir tempoh perkhidmatannya, mereka akan kekal sebagai kerajaan dan berfungsi sebagai caretaker government sehingga kerajaan baru yang memenangi pilihan raya mengambil alih kuasa.   Peranan caretaker government ialah meneruskan dasar dan program sedia ada tanpa memperkenalkan dasar baru atau menggubal undang-undang baru. 

Selain itu, peranan caretaker government adalah hanya untuk melaksanakan urusan pentadbiran yang rutin dan tidak melibatkan pengenalan dasar baru yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.  Caretaker government akan bersikap neutral bagi memastikan pilihan raya umum berlangsung dengan bebas dan adil (Pakistan Institute of Legislative Development and Transparency 2006).

Menurut 2004 General Election Guidance on Caretaker Conventions yang diterbitkan oleh Jabatan Ketua Menteri Australia semasa pilihan raya umum tahun 2004, sesebuah kerajaan yang berfungsi sebagai caretaker government perlu menghindari perkara-perkara berikut semasa menjalankan tugasnya:
(i)                 Membuat keputusan membabitkan dasar utama yang boleh mengikat incoming government;(ii)               Membuat pelantikan bagi jawatan-jawatan penting;
(iii)            Terlibat dengan kontrak-kontrak besar atau sebarang perjanjian yang akan  mengikat incoming government; dan
(iv)             Mewakili Australian Capital Territory (ACT) dalam forum antara kerajaan kecuali tidak dapat dielakkan.  Sekiranya boleh, menteri dan agensi perlu memohon penangguhan bagi perjumpaan tersebut sehingga selepas pilihan raya.

Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan, secara ringkas caretaker government boleh ditakrifkan sebagai kerajaan sementara yang mentadbir sesebuah negara bermula dari tarikh pembubaran Parlimen sehingga tarikh kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara secara rasmi setelah memenangi pilihan raya.  Peranan caretaker government pada dasarnya ialah meneruskan dasar-dasar sedia ada tanpa memperkenalkan dasar-dasar baru dan tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.  Penulisan ini seterusnya akan mengupas peranan caretaker government selepas berlakunya pembubaran parlimen dengan merujuk kepada pengalaman Perancis dan Bangladesh.