Pages

Wednesday, 16 November 2011

The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order: Nasib China Baik Walaupun Berlaku Tragedi Tiananmen

Seusai rakan-rakan sekuliah membentangkan ulasan bab yang terkandung di dalam buku "The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order" oleh Samuel P. Huntington, sebelum kelas ditamatkan, Dr. L membuka kesempatan untuk pertanyaan. Aku mengambil peluang itu untuk mengemukakan satu persoalan.
"Dr., saya ada satu kemusykilan. Menerusi pembentangan oleh rakan-rakan pembentang tadi, dinyatakan bahawa China merupakan salah satu pesaing utama Amerika Syarikat. Mengapa Amerika Syarikat tidak mengambil kesempatan daripada peristiwa Medan Tiananmen untuk membenam tentangan China sedari awal sebaliknya membiarkan China berkembang pesat sehingga hari ini? Kalaupun tidak mengambil tindakan ketenteraan, sekurang-kurangya sekatan ekonomi seperti dikenakan ke atas Korea Utara dan Iran.".

Pertanyaanku mulai dijawab oleh Dr. L dalam nada bertanya, "Bilakah peristiwa di Medan Tiananmen?"

Dijawab oleh sebahagian ahli kuliah, "1989".

Sambil mengingatkan semula tentang imej anak muda yang berhadapan dengan kereta kebal sambil meregang lastik, Dr. L menyatakan bahawa Perang Dingin hanya berakhir pada 1991. Sehubungan itu, Amerika Syarikat keberatan untuk mengambil tindakan sama ada berbentuk ketenteraan atau sekatan ekonomi. Sebab pada ketika itu, sekiranya tindakan tersebut diteruskan, Amerika Syarikat perlu berhadapan bukan sahaja China bahkan negara-negara Blok Timur lain yang turut mengandungi, selain Soviet Union, negara-negara sekutu seperti Poland dan sebagainya.

Pada hematku, ada lagi penjelasan (atau perkiraan) yang lain, seperti mana mungkin tindakan diambil ke atas salah sebuah negara yang memegang kuasa veto di Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tapi pepatah ada menyebut, "dengan bertanya orang belajar". Mendengar versi jawapan daripada mulut mahaguru sendiri juga satu kepuasan peribadi, supaya tidak lagi berteka-teki tentang sesuatu yang tak pasti.

No comments: