Pages

Wednesday 16 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 7

2.3.5    Inisiatif-Inisiatif Alain Poher Semasa Menjadi Presiden Interim

Semasa menjadi Presiden Interim, Alain Poher telah mempelopori beberapa perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Presiden sebelumnya.  Inisiatif-inisiatif beliau, khususnya semasa menjadi Presiden Interim buat kali pertama, adalah seperti berikut:

(i)                 Menjadikan Media Massa Sebagai Non-Partisan

Semasa zaman pemerintahan Charles de Gaulle, media massa telah dijadikan alat politik yang bersikap partisan.  Walau bagaimanapun, semasa Alain Poher menjadi Presiden Interim, beliau telah memberi arahan kepada Pengarah rangkaian radio dan televisyen milik negara, Office de la Radio et Télévision Française (O.R.T.F.) supaya bersikap tidak memihak sepanjang tempoh kempen pilihan raya Presiden berlangsung  (Time 1969).  Walhal, semasa memegang jawatan Presiden Interim beliau turut bertanding dalam pilihan raya Presiden dan beliau boleh menggunakan kedudukannya yang sangat berkuasa pada ketika itu untuk berkempen menerusi radio dan televisyen milik negara bagi meraih sokongan rakyat dalam usaha memenangi pilihan raya.  Walau bagaimanapun, sikap profesional Alain Poher begitu terserlah apabila beliau tidak menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Presiden Interim untuk berkempen.  Beliau mengehadkan penampilan beliau di kaca televisyen sepanjang tempoh berkempen dan hanya memperhebatkan kempen beliau pada hari Jumaat iaitu hari terakhir kempen (Williams et al. 1970);

(ii)               Mengurangkan Bilangan Anggota Polis Anti Rusuhan

Seterusnya, Alain Poher mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Raymond Marcellin untuk mengurangkan bilangan anggota polis yang bersiap sedia di Paris bagi menghadapi rusuhan.  Beliau berpendapat terdapat unsur partisan juga dalam perkara tersebut, seolah-olah bersetuju dengan telahan Charles de Gaulle bahawa selepas perletakan jawatannya, huru-hara akan berlaku (Time 1969); dan

(iii)             Menyingkirkan Jacques Foccart, Setiausaha Agung Hal Ehwal Afrika  

Tindakan beliau disambut baik oleh rakyat Perancis kerana Jacques Foccart sebenarnya mengetuai pasukan polis rahsia dan pemberi maklumat bergelar “Barbouzes” yang bersikap samseng (Time 1969).

No comments: