Pages

Showing posts with label episod 4. Show all posts
Showing posts with label episod 4. Show all posts

Wednesday, 23 November 2011

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 4



2.3    Dasar Pengurusan Sisa Pepejal (DPSP)

DPSP membuka lembaran baru dalam pengurusan sisa pepejal secara sistematik dan mesra alam. Perbincangan selanjutnya akan tertumpu kepada dua daripada enam teras DPSP iaitu Teras 1 dan Teras 3.


2.3.1   Teras 1 : Pengurangan Sisa Pepejal Melalui 3R (Reduce, Reuse, Recycle) 

3R (Reduce, Reuse, Recycle) terkandung dalam Kempen Program Kitar Semula Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan pada 2 Disember 2000. Reduce bermaksud “memilih bahan yang digunakan dengan bijak bagi mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.” Reuse termasuklah “aktiviti menggunakan semula semua atau sebahagian daripada bahan yang masih boleh digunakan lagi.” Recycle pula membawa maksud “penggunaan barang-barang terpakai tersebut sebagai satu sumber bahan mentah.”

Pelaksanaan 3R didorong oleh statistik bahawa setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membelanjakan antara 40 peratus hingga 70 peratus perbelanjaan tahunannya untuk mengutip dan melupuskan sampah. Sekiranya tapak pelupusan sampah yang bersesuaian tidak dapat diperolehi, tahap kesihatan penduduk dan kualiti alam sekitar akan terancam akibat pembuangan sampah-sarap yang tidak terkawal.

Bagi menjayakan 3R, KPKT telah menempatkan 15 ribu tong kitar semula dan 700 pusat pengumpulan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara seperti sekolah, stesen minyak, kawasan perumahan dan pejabat-pejabat kerajaan. Tiga jenis tong dengan warna-warna tertentu disediakan berdasarkan jenis sampah seperti berikut :

i.      Biru – kertas

ii.    Jingga – tin aluminium, tin keluli, plastik

iii.   Coklat – kaca

Barangan kitar semula dari tong kitar semula dan pusat kitar semula akan diasingkan, dibersihkan, dihantar dan dijual kepada kilang-kilang yang dapat memproses barangan tersebut menjadi produk yang sama atau produk yang berlainan.

Saturday, 12 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 4

2.3       Amalan Caretaker Government di Perancis

2.3.1    Artikel 7, Perlembagaan Perancis: Presiden Interim

Perlembagaan Perancis tidak menyebut secara jelas tentang pembentukan dan peranan caretaker government apabila Parlimen dibubarkan.  Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan perlembagaan tentang Presiden Interim seperti dinyatakan menerusi Artikel 7 iaitu “sekiranya jawatan Presiden kosong kerana apa jua sebab, atau sekiranya Constitutional Council[i] selepas dirujuk oleh Kerajaan membuat keputusan majoriti mutlak bahawa Presiden tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya, maka tugas Presiden, kecuali tugas-tugas yang dinyatakan di Artikel 11 dan 12, perlu dilaksanakan buat sementara waktu oleh Presiden Senat.  Sekiranya Presiden Senat juga tidak berkeupayaan, tugas Presiden akan dilaksanakan oleh Kerajaan iaitu Kabinet.”

Sesetengah pakar Perlembagaan Perancis mentafsirkan keutamaan Kabinet didahului oleh Perdana Menteri, dan diikuti oleh ahli-ahli Kabinet yang lain.  Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah berlaku kerana kebiasaannya jika tiada Presiden Senat, maka Senate akan menamakan Presiden Senat yang baru untuk menjawat jawatan Presiden Interim.

Tempoh masa maksimum bagi seseorang Presiden Senat menjadi Presiden Interim ialah 50 hari. Tempoh tersebut dikira berdasarkan jangka masa mengadakan pilihan raya Presiden yang merangkumi pusingan pertama dan pusingan kedua.  Menurut Artikel 7, Perlembagaan Perancis juga, pusingan pertama pilihan raya Presiden mesti diadakan tidak kurang dari 20 hari dan tidak melebihi 35 hari sebelum tempoh perkhidmatan Presiden sedia ada tamat.  Sekiranya pemenang dalam pilihan raya Presiden tidak dapat ditentukan selepas berakhir pusingan pertama, maka pusingan kedua pilihan raya perlu diadakan 15 hari selepas berakhir pilihan raya pusingan pertama.

Walaupun tempoh maksimum memegang jawatan Presiden Interim ialah 50 hari, namun Artikel 7 turut menyatakan bahawa Constitutional Council boleh melanjutkan tempoh tersebut dengan syarat pengundian berlangsung tidak lewat daripada 35 hari selepas Constitutional Council membuat keputusan tentang kekosongan jawatan Presiden.  Sekiranya pelaksanaan peruntukan ini mengakibatkan penundaan tarikh pilihan raya sehingga melebihi tarikh tamat perkhidmatan seseorang Presiden, maka Presiden tersebut perlu meneruskan tugasnya sehingga penggantinya diisytiharkan secara rasmi. 

Sungguhpun demikian, pelantikan Presiden Senat sebagai Presiden Interim tidak berbangkit sekiranya pilihan raya Presiden diadakan pada penghujung tempoh perkhidmatan biasa bagi seorang Presiden.  Dalam keadaan ini, Presiden sedia ada akan kekal bertugas sehingga beliau dipilih semula menerusi kemenangan dalam pilihan raya atau digantikan dengan calon lain yang memenangi pilihan raya (Pickles 1972).
 





[i] Constitutional Council terdiri daripada sembilan orang ahli yang dilantik oleh Presiden Perancis, Presiden National Assembly dan Presiden Senat.  Presiden bagi Constitutional Council dilantik oleh Presiden Perancis di kalangan sembilan ahli sedia ada.  Tempoh perkhidmatan ialah sembilan tahun dan tidak akan diperbaharui.  Satu pertiga daripada mereka akan digantikan setiap tiga tahun.  Antara kuasa Constitutional Council ialah menyelesaikan pertikaian berkenaan pilihan raya dan referendum. (Title VII, The Constitutional Council, Perlembagaan Perancis).

Wednesday, 26 October 2011

Ringkasan Bab 2, The End of History and the Last Man - Episod 4


Bab Kecil 5

1.     Teori Kebergantungan diasaskan oleh Lenin menerusi risalahnya, “Imperialism: The Highest Stage of Capitalism” (1914).

o     Kapitalisme akan tumbang bukan disebabkan perjuangan kelas di dalam dunia maju tetapi disebabkan pertembungan di antara negara-negara Utara yang membangun dengan “proletariat sejagat” di dunia kurang maju.

2.      Asas aliran Teori Kebergantungan (Dependencia) di Amerika Selatan:

o   Raul Prebisch, ahli ekonomi Argentina.

§    Pertumbuhan lembap di kawasan Dunia Ketiga seperti Amerika Selatan disebabkan susunan ekonomi kapitalis sejagat -> “pembangunan tanggungan” buat selama-lamanya.

§       Kekayaan Utara berkait langsung dengan kemiskinan Selatan.

3.      Prinsip-prinsip asas Teori Kebergantungan.

o      Pembangunan lewat menyebabkan negara mundur selama-lamanya.

o      Syarat-syarat perdagangan dunia dikawal negara maju.

o   Melalui MNC (Multinational Corporation) negara maju memaksa Dunia Ketiga memasuki “pembangunan tidak seimbang” – eksport bahan mentah dan komoditi yang mengandungi kandungan pemprosesan yang rendah.

4.      Kaedah Penyelesaian oleh Teori Kebergantungan.

o   Sederhana: Menggalakkan industri tempatan dengan mewujudkan tarif tinggi = “penggantian import”

o     Radikal: Melemahkan susunan ekonomi dunia; revolusi, menarik diri daripada sistem perdagangan kapitalis & bergabung dengan blok Soviet Union seperti Cuba.

5.      Sanggahan kepada Teori Kebergantungan: NIC (Newly Industrialised Country) di Asia.

o      Negara yang lewat melalui pemodenan sebenarnya mempunyai kelebihan berbanding kuasa perindustrian yang lebih mantap.

o     Contoh:

§    Jepun beli teknologi termoden dari Amerika Syarikat dan Eropah, tanpa dibebani infrastruktur lapuk dan tidak cekap, & mampu bersaing dalam bidang teknologi tinggi bagi tempoh yang lama.

§      Malaysia & Thailand yang lewat membangun berbanding Jepun & Korea Selatan tidak mengalami kekurangan relatif.

6.      Faktor-faktor Kegagalan Ekonomi Berorientasi Pasaran di Amerika Selatan.

(i)                 Budaya

§    Tabiat, adat resam, agama dan struktur sosial bangsa yang menghalang pencapaian tahap pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

§       Amerika Selatan mewarisi institusi feudal Sepanyol & Portugis abad ke-17 & 18; kuasa negara digunakan untuk mengawal aktiviti ekonomi untuk kepentingan ekonomi kelas atasan -> merkantilisme.

§     Golongan elit dilindungi daripada persaingan antarabangsa melalui penggantian import; pengeluar tempatan terbatas kepada pasaran dalam negara yang kecil, ekonomi skala tidak tercapai.

(ii)               Dasar

§  Pelaksanaan kapitalisme tidak dicuba bersungguh-sungguh.

§  Contoh:

·        Hernando de Soto, “The Other Path”.

·        Permohonan membuka kilang: 11 prosedur birokrasi + 289 hari + $1,231 yuran & upah hilang termasuk 2 bayaran rasuah.

§       Semua sektor ekonomi utama ada sektor “tidak formal” -> 1/3 atau 1/4 KNK (Keluaran Negara Kasar).

§       Kegiatan ekonomi yang dipaksa memasuki saluran tidak sah = ketidakcekapan ekonomi.

Monday, 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 4

2.       KAJIAN KES DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM: AMALAN LEGITIMASI, TAHAP DEMOKRASI & TAHAP PEMBANGUNAN POLITIK

2.1     Amalan Legitimasi

Negara Brunei Darussalam (selepas ini disebut sebagai Brunei) merupakan sebuah negara yang terletak di rantau Asia Tenggara dengan keluasan 5,765 kilometer persegi. Menurut data yang dipaparkan di laman sesawang Brunei Tourism, setakat tahun 2007 penduduk Brunei dianggarkan sejumlah 390 ribu orang terdiri daripada kaum Melayu (259,600), Cina (43,100) dan kaum-kaum lain seramai 87,300.  Bancian terkini yang akan dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Brunei dari 20 Jun 2011 sehingga 3 Julai 2011 menjangkakan penduduk Brunei akan mencecah 400 ribu.  Brunei berada di bawah pentabiran Britain sebelum mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

Pada masa ini, Brunei diperintah oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (selepas ini dirujuk sebagai Sultan) yang menggantikan ayahanda baginda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (selepas ini disebut Sultan Omar ‘Ali) yang turun takhta secara sukarela pada malam 4 Oktober 1967 bagi memberi laluan kepada anakandanya yang baru berusia 22 tahun ketika itu (Harun 2007: 169, Awang Mohd. Jamil Al-Sufri 1987: 20).  Pengkaji berbeza pandangan tentang salasilah Sultan, ada yang mengatakan bahawa Sultan merupakan keturunan ke-29 (Saunders 1994:43) manakala ada yang mendakwa Sultan merupakan keturunan ke-30 (Bala 2005:178) dengan mengambil kira Sultan Abdul Majid Hassan, seorang sultan zaman purba Brunei ke dalam salasilah kesultanan Brunei.  Namun demikian, kesemua pengkaji sependapat bahawa kesultanan Brunei bermula dari zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah walaupun mereka tidak mencapai kata sepakat berhubung kurun dan tahun permulaan kesultanan yang tepat.

Dari segi sistem politik, secara teorinya menurut Harun Abdul Majid (2007: 1) Brunei merupakan negara kesultanan berperlembagaan manakala dari segi realitinya mengamalkan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak (absolute monarchy).  Sultan turut menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan sambil dibantu oleh jemaah menteri yang lain.