Pages

Friday 21 October 2011

Scam: Cintai Holidays (Malaysia) Sdn Bhd

Aku bukan salah seorang mangsa scam ini, tapi aku terpanggil untuk bersuara.
Situasinya begini. Ada seorang mangsa yang ditipu menggunakan modus operandi yang sama; terima panggilan dan dimaklumkan bahawa kad sedia ada telah dinaik taraf kepada Platinum tanpa diminta pun olehnya. Mangsa dikehendaki membayar kepada syarikat berkenaan, kalau tak bayar tetap akan dicaj tahunan RM500 yang perlu dibayar kepada syarikat lain yang entah mana entah. Mangsa kununnya tak boleh keluar dari status keahlian seumur hidup. Nasib baik mangsa tidak lagi menggunakan kad kredit yang sama. Apabila diugut untuk membuat laporan polis, si wakil syarikat tu siap perli suruh buat report kat balai polis depan ofis depa. Apa mesej yang dia cuba sampaikan tu? Mesejnya seolah-olah polis ni corrupt.

Inilah masalah dengan sistem dan jabatan / agensi penguatkuasaan di Malaysia, hingga scammers yang menyusahkan hidup orang ramai ini bermaharajalela. Siap tanpa segan silu petik ayat yang ramai di kalangan polis sendiri menjadi pelanggan depa. Tu apa niat dia tu? Niat dia nak haba’ bagi ialah depa seduit pun tak takut sebab polis pun geng depa. Betapa cokianya imej polis di mata depa. Gerun pun tidak, hormat apatah lagi. Kalau sampai tegha tu pun Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM dan lain-lain yang berkaitan buleh  buat derk juga lagi memang nampak sangat tak ada perasaan. Tak tau la orang ramai nak harapkan siapa lagi. Kalau semua nak tunggu tuntut di akhirat apa guna ada undang-undang di dunia.

Kepada jabatan / agensi berkenaan, takkan semuanya nak tunggu orang buat laporan baru nak bertindak. Cubalah luangkan masa teliti keluh-kesah dan rungutan orang ramai di forum-forum Internet, tu kira maklumat dah la tu. Lepas tu ambil la tindakan, under cover ke hapa. Kalau masalahnya dari segi bidang kuasa, pakat-pakat la duduk berbincang, selaraskan bidang kuasa masing-masing supaya gerak kerja jadi bersepadu. Tau apa persepsi orang ramai dengan kerenah birokrasi yang keterlaluan dalam kes-kes macam ni? Orang ramai frust la nak haba’ mai. Pasai seolah-olah buat kerja sekerat-sekerat, walhal perkara sebenarnya ialah banyak jabatan / agensi yang terlibat dan masing-masing ada batasan kuasa tertentu. Aku faham, tapi orang ramai yang tertipu dah cukup keletihan dari segi emosi dan mental. Depa akan jadi bertambah letih apabila setiap kali dirujuk setiap kali itulah jabatan / agensi berkenaan bagi maklum balas stereotype, oh ini bukan bidang kuasa kami, oh kuasa kami setakat ini sahaja. Kalau semua pakat tolak pi tolak mai, habis yang mangsa ni macam mana? Apa yang depa nak tengok ialah keadilan ditegakkan, dan penyamun tarbus semua ni dikenakan hukuman yang paling maksimum.

PDRM antara polis paling cekap di dunia dalam menyelesaikan sesuatu kes. Atas semangat tidak ingin PDRM terus-terusan dihina sehingga ke tahap dipandang lekeh oleh penjenayah durjana, tolong bertindak segera. Mangsa-mangsa ni semua bukan high-profilers, tapi depa juga rakyat Malaysia. Tolong.

#ChurpChurp Updates

Over 50 million people in Asia are getting the latest updates from #ChurpChurp! Don't miss out on the fun here!

Dae Jang Geum: Jewel in the Palace


Pandai TV Al-Hijrah dalam pemilihan bahan tayangan. Bercitarasa tinggi, tapi tetap mengambil kira trend semasa. Juga luwes terhadap garis panduan berpakaian, khususnya produk antarabangsa yang cukup sekadar bersopan. Di tengah-tengah demam K-Pop, dihadirkan drama bersiri, Jewel in the Palace. Kisah seorang murbawan; dari seorang tukang masak akhirnya berjaya menjadi doktor peribadi maharaja. Set penggambaran dikekalkan menjadi tarikan pelancongan.

Pengajaran dari drama bersiri itu yang baru mencecah siri ke-16.
  • Kalau orang kata Hang Tuah itu sekadar mitos yang tidak dapat dibuktikan secara sahih, budaya asing lain pun sama juga, seperti kisah Jang Geum itu. Belum tentu mereka tidak pernah wujud.
  • Sistem beraja tidak akan kekal selamanya, atas pelbagai faktor, antaranya tingkah laku raja-raja itu sendiri. Sekarang mana ada lagi maharaja di Semenanjung Korea, yang ada cuma istana, itupun kepunyaan Presiden.
  • Keyakinan dan kemegahan terhadap bahasa dan budaya sendiri (berkostum tradisi hanbok misalnya) bukan halangan untuk popular dan berjaya pada peringkat antarabangsa. Pendek kata, serlahkan jati diri kebangsaan kita; jadi diri sendiri, jangan jadi orang lain. Orang ingin lihat sesuatu yang unik, bukan sesuatu yang mereka sudah selalu sangat lihat di sekeliling mereka.
  • Usaha tangga kejayaan.
  • Kalau sudah ditakdirkan, hasad dengki dan tipu muslihat manusia hanya mampu menangguhkan tapi tak bisa mengelakkan.
  • Yang benar akan menang, yang batil dan zalim pasti tumbang.
  • Usah goyah kalau kita yakin kita di pihak yang benar.
  • Ada keberkatan apabila menghormati dan mempertahankan guru (yang baik-baik) waktu senang dan susah.

Agaknya bila novel Faisal Tehrani, Ketupat Cinta nak didramabersirikan? Hat tu pun karya yang berkisar tentang masakan dan makanan serta intrig politik. Hanyasanya menu bersifat tempatan dan watak-watak dan ayat-ayat yang “macam pernah ku dengar tapi di mana ya?”.

Wednesday 19 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 6

2.2 Tahap Pembangunan Politik

Sewaktu Brunei masih di bawah pentadbiran Britan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan 1959, rakyat diberi peluang untuk memilih sendiri wakil mereka menerusi pilihan raya.  Dalam konteks perlembagaan tersebut, pilihan raya merujuk kepada pilihan raya Majlis Mesyuarat Daerah (MMD) yang menawarkan 55 kerusi.  Ahli-ahli MMD seterusnya akan memilih di kalangan mereka seramai 16 orang untuk mengganggotai Majlis Mesyuarat Negeri (MMN).  Sultan Omar ‘Ali kemudiannya akan melantik seramai 6 orang di kalangan 16 ahli MMN ini sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
 
Walau bagaimanapun, pilihan raya MMD yang sepatutnya diadakan pada September 1961 iaitu dua tahun selepas perlembagaan diisytiharkan telah ditangguhkan. Menurut Harun (2007: 59), sebab penangguhan ialah Sultan Omar ‘Ali mahu supaya Undang-Undang Taraf Kerakyatan dibereskan terlebih dahulu bagi menentukan siapa yang layak mengundi dan proses tersebut hanya dijangka selesai pada penghujung tahun 1961. Menurut Zaini (1989: 89) seorang bekas pemimpin utama PRB pula, satu lagi sebab ialah proses pembentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun beliau sendiri musykil tentang tempoh yang terlalu lama bagi menubuhkan SPR. Beliau cuma dapat membuat andaian bahawa kelewatan penubuhan SPR ada kaitan dengan persediaan lain yang belum selesai seperti Undang-Undang Taraf Kerakyatan dan Perintah Suruhanjaya Pilihan Raya.  

Menurut Awang Matassim (2004: 161-162), menjelang pilihan raya tahun 1962, terdapat tiga parti politik utama iaitu Parti Rakyat Brunei (PRB), Brunei National Organisation (BNO) dan Brunei United Party (BUP). Di antara ketiga-tiga parti tersebut, PRB ditubuhkan paling awal iaitu pada tahun 1956 dengan matlamat membina sebuah kesatuan negara Melayu yang kuat dan bersatu-padu, bebas daripada belenggu penjajahan yang dibentuk melalui konsep Melayu Raya yang diserapkan kepada Republik Indonesia. Dalam erti kata lain, perjuangan PRB ialah anti persekutuan Malaysia. Dua parti lagi iaitu BNO dan BUP, yang turut dipimpin oleh bekas-bekas pemimpin PRB, masing-masing menyokong kemasukan Brunei ke dalam persekutuan Malaysia. BNO ditubuhkan pada Ogos 1960 dan mengambil sempena nama United Malays National Organisation (UMNO) di Malaya ketika itu, manakala BUP ditubuhkan pada Disember 1961.

PRB mengeksploitasi tempoh penangguhan pilihan raya dengan menganjurkan siri rapat umum bermula dari 17 Jun 1961 yang membawa kepada perhimpunan besar-besaran pada 6 Ogos 1961 (Harun 2007:59). Susulan daripada momentum yang dibina oleh PRB menerusi perhimpunan-perhimpunan tersebut menyumbang kepada kejayaannya memenangi sebanyak 54 daripada 55 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya MMD sekaligus menduduki 16 kerusi di dalam MMN. Walau bagaimanapun, kemenangan besar tersebut tidak membolehkan PRB mengambil alih kerajaan kerana tidak memiliki majoriti kerusi di MMN dan tidak mempunyai kuasa secara perlembagaan yang mengatasi kuasa Sultan Omar ‘Ali (Harun 2007: 69-70).
Berikutan beberapa peristiwa yang tidak disenangi, antaranya kecenderungan Sultan Omar ‘Ali untuk membawa Brunei menyertai persekutuan Malaysia, PRB telah melancarkan revolusi bersenjata pada 8 Disember 1962.  Revolusi ini sebenarnya telah lama dirancang oleh PRB dalam usahanya menubuhkan Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang dianggotai oleh Brunei, Sarawak, Sabah dan Kalimantan Utara di Indonesia.  Namun demikian, revolusi ini berjaya ditumpaskan dengan bantuan ketenteraan dari Britain, Malaya, Australia dan New Zealand (James & Sheil-Shall 1979: 47).

Akibat revolusi tersebut, Sultan Omar ‘Ali mengisytiharkan darurat di seluruh negara.  Serentak dengan perisyiharan itu juga, MMK, MMN dan MMD dibubarkan (Borneo Bulletin 1962).  PRB pula telah diharamkan penubuhannya pada 10 Disember 1962 (Utusan Melayu 1962).

Sehingga ke hari ini, Brunei terus berada di bawah Undang-Undang Darurat menyebabkan pilihan raya a la tahun 1962 tidak pernah diadakan lagi.  Oleh sebab itu, parti-parti politik pasca-Revolusi 8 Disember 1962 tidak dapat berfungsi sebagai sebuah parti politik yang sebenar sebagaimana lazim dalam sistem demokrasi.  Ketiadaan pilihan raya yang dapat disertai mengakibatkan peranan mereka tidak ada bezanya dengan badan bukan kerajaan.  Ini ditambah pula dengan larangan terhadap penjawat awam daripada menjadi ahli mana-mana parti politik.  Disebabkan bilangan rakyat yang menjadi penjawat awam kira-kira 70 peratus, larangan ini nyata memberi kesan yang mendalam kepada survival parti politik di Brunei.  Secara ringkas, sistem yang diguna pakai di Brunei itu sendiri tidak mengalu-alukan kewujudan mereka.  Contohnya, Pendaftar Pertubuhan telah mengharamkan Parti Kesedaran Rakyat Brunei (PAKAR) dan pada masa yang sama memaksa presiden Parti Perpaduan Kebangsaan Brunei (PPKB) untuk meletak jawatan.  PPKB kemudiannya telah diharamkan tanpa sebarang penjelasan pada tahun 2008.  Oleh yang demikian, satu-satunya parti yang masih wujud sehingga kini ialah National Development Party (NDP) yang diketuai oleh bekas tahanan politik.  NDP diluluskan pendaftarannya pada tahun 2005 selepas berikrar untuk menjadi sahabat kepada kerajaan dan taat setia kepada Sultan.  Fakta ini dibuktikan hasil semakan terhadap salah satu misi yang dipaparkan di laman webnya, http://www.aspirasi-ndp.com/kenalan/misi.htm
“Pewaris Takhta Kesultanan Negara Brunei Darussalam:
Mempertahankan Kedudukan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai pewaris takhta Kesultanan Negara Brunei Darussalam buat selama- lamanya.”
Parti-parti politik di Brunei seakan-akan mendapat suntikan semangat baru pada tahun 2004.  MMN dihidupkan semula secara rasmi pada 25 September 2004 susulan titah Sultan sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 15 Julai 2004 (Horton 2004: 181, Muhammad Hadi 2007: 23).  MMN ditukar sedikit namanya kepada Majlis Mesyuarat Negara dan bertanggungjawab menjalankan fungsi-fungsi berikut:
 
(i)        Merundingkan dan meluluskan undang-undang; dan
(ii)       Mengenakan sekatan-sekatan kewangan, dan meneliti polisi-polisi Kerajaan dan lain-lain perkara berkaitan dengan perjalanan Majlis Mesyuarat Negara.
                   (Sumber: http://www.majlis-mesyuarat.gov.bn/majlismnegara.htm)
Seperti maklumat yang tercatat pada laman web sama, MMN ini terdiri daripada seorang Yang Di-Pertua selaku Speaker iaitu anggota kerabat diraja yang dinamakan oleh Sultan.  Keahlian MMN ditingkatkan daripada 33 kepada seramai 45 orang; 30 daripadanya merupakan lantikan Sultan dan terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet, Peguam Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ahli perniagaan terkemuka dan pemimpin masyarakat.  Kesemua ahli terdiri daripada lelaki dan hanya seorang bukan beragama Islam.  Baki 15 ahli lagi akan dipilih melalui pilihan raya MMD bagi mewakili daerah Brunei-Muara, Belait, Tutong dan Temburong.
 
Walau bagaimanapun, harapan tinggi parti-parti politik di Brunei untuk turut sama dalam pilihan raya MMD tidak kesampaian kerana melalui persidangan MMN pada September 2005, Sultan telah menitahkan pula bahawa bilangan keahlian hanya setakat 29 ahli termasuk 5 ahli yang dipilih secara tidak langsung bagi mewakili MMD.  Sultan bertitah bahawa pilihan raya MMD akan diadakan pada tarikh yang tidak ditetapkan apabila ”infrastruktur telah tersedia” (Horton 2004: 181).

Pada masa ini, satu-satunya ruang yang ada pada rakyat untuk memilih sendiri pemimpin mereka secara langsung hanya menerusi pemilihan ketua kampung di daerah masing-masing.  Ketua kampung ini akan berperanan menyampaikan hasrat penduduk menerusi beberapa saluran, antaranya mesyuarat berkala yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri bersama pegawai-pegawai lantikan Sultan.  Menerusi kaedah pemilihan terbaru yang diperkenalkan pada tahun 1992, ketua kampung dipilih melalui undian yang dibuat secara rahsia semasa perjumpaan yang dihadiri oleh golongan dewasa yang layak mengundi.  Sekali terpilih, seseorang ketua kampung akan berkhidmat seumur hidup.  Malangnya, ruang pemilihan pada tahap ini pun masih disempitkan oleh kerajaan.  Buktinya, seperti tercatat dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh 31 Januari 1994 bertajuk Brunei Human Rights Practices 1993, sekali lagi penglibatan parti politik disekat kerana salah satu syarat untuk menjadi calon ketua kampung ialah tidak mempunyai sejarah penglibatan dengan mana-mana parti politik.  Dengan bentuk kekangan sebegini, parti politik tidak mempunyai peluang langsung untuk mencalonkan wakil mereka sekaligus tidak berpeluang bersemuka dengan pihak kerajaan sebagai wakil rasmi rakyat.

Ganu Nelang, Penang Malang

The first leg of Malaysia Cup semi-final just capped hours ago. Terengganu senior nailed down the Red Giants 2-0 at the latter’s home turf, or shall I say, paddy field after harvest. That’s our state-level football field, gentlemen. Nothing to be proud of. High time for FAS to ponder about synthetic field. That sentul stuff aside, Terengganu deserves to win. I wonder if Irfan Bakti will be considered as Harimau Malaya next head coach after his Midas touch with the Turtles, something our King fails to unearth with the same bunch of players.
Why did I support Terengganu? Apart from personal matter, Pulau Pinang are too far bottom league dweller in Premier League this season, the same repeated feat during Super League last season. They even have to play in the league third-tier, Liga FAM, next season. No way for them to make a comeback to a higher tier in the soonest time possible, as long as the not so creative fella at helm. If he’s so creative, he would not propose the idea of using sin taxes for football development. “KITA serupa”, there goes a song by Headwind.

Like Father, Like Daughter



It’s not easy to update your blog when your little daughter begins to explore her ideo-motor, e.g. playing, walking, touching. What more when you open your lappy (yea, I know this is the era of tabby). Her eagerness and determination to beat you definitely no match to Harimau Malaya (especially when they got thrashed 0-5 by Socceroos recently). Most of the time I need to close my laptop, or else the keyboard will need to endured the extraordinary weight heavier than my fingers. Sometime, somehow, maybe she might be able to log in to my accounts. Never underestimate kids of these days, they are no longer from our yesteryears. Even so when she’s of insomniac, just like her father.

Monday 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 5

2.2  Tahap Demokrasi

Antara kayu ukur yang sering digunakan apabila membincangkan tahap demokrasi sesebuah negara adalah menerusi kajian oleh badan-badan antarabangsa yang berwibawa, antaranya The Economist Intelligence Unit.  Berdasarkan Democracy Index 2010: Democracy In Retreat yang diterbitkan oleh badan tersebut, sebanyak 167 buah negara telah dinilai tahap pelaksanaan demokrasi masing-masing yang terbahagi kepada empat kategori bergantung kepada ciri-ciri tertentu.  Tahap demokrasi terbaik menurut kajian tersebut ialah full democracies, disusuli oleh flawed democracies, seterusnya hybrid regimes dan paling buruk ialah negara yang bersifat authoritarian regimes.  Walau bagaimanapun, Brunei merupakan salah sebuah negara yang tidak diliputi oleh kajian ini kerana dianggap termasuk di dalam kelompok negara-negara kecil.  Namun demikian, dengan mengambil kira tahap demokrasi di negara-negara yang mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak seperti Qatar (tempat ke-137) dan Arab Saudi (tempat ke-160), saya menjangkakan sekiranya Brunei turut disenaraikan maka pencapaiannya juga tidak jauh berbeza dengan Qatar dan Arab Saudi iaitu sama-sama termasuk di dalam kategori authoritarian regimes1.

Selain The Economist Intelligence Unit, sebuah lagi badan antarabangsa yang menjalankan kajian berkaitan demokrasi ialah Freedom House.  Menerusi kajian bertajuk Freedom in the World 2010 yang melibatkan 194 buah negara, Freedom House telah memberi rating bagi dua aspek utama yang menyumbang kepada amalan demokrasi sesebuah negara iaitu hak politik (political rights) dan kebebasan sivil (civil liberties).  Gabungan rating bagi hak politik dan kebebasan sivil yang diperolehi oleh sesebuah negara akan menentukan tarafnya dalam kajian ini sama ada Bebas, Separa Bebas atau Tidak Bebas.  Julat rating adalah di antara 1 (Sangat Bebas) sehingga 7 (Sangat Tidak Bebas).  Dalam kajian ini, Brunei telah diberikan rating 6 bagi hak politik dan rating 5 bagi kebebasan sivil seterusnya dikategorikan sebagai negara “Tidak Bebas”.  Hasil penelitian saya terhadap laporan terperinci Freedom House mendapati bahawa Brunei diberi penarafan sedemikian disebabkan beberapa perkara yang dianggap mengekang hak politik dan kebebasan sivil.  Contohnya, ketiadaan pilihan raya bagi membolehkan rakyat mengundi bagi memilih perwakilan ke dewan legislatif, kewujudan undang-undang yang membenarkan penamatan penerbitan akhbar tanpa perlu memberi sebarang alasan, mengenakan denda dan memenjara wartawan kerana menulis artikel yang dianggap palsu dan berniat jahat, dan mengharamkan sebarang kritikan terhadap Sultan dan ideologi kebangsaan.

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 4

2.       KAJIAN KES DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM: AMALAN LEGITIMASI, TAHAP DEMOKRASI & TAHAP PEMBANGUNAN POLITIK

2.1     Amalan Legitimasi

Negara Brunei Darussalam (selepas ini disebut sebagai Brunei) merupakan sebuah negara yang terletak di rantau Asia Tenggara dengan keluasan 5,765 kilometer persegi. Menurut data yang dipaparkan di laman sesawang Brunei Tourism, setakat tahun 2007 penduduk Brunei dianggarkan sejumlah 390 ribu orang terdiri daripada kaum Melayu (259,600), Cina (43,100) dan kaum-kaum lain seramai 87,300.  Bancian terkini yang akan dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Brunei dari 20 Jun 2011 sehingga 3 Julai 2011 menjangkakan penduduk Brunei akan mencecah 400 ribu.  Brunei berada di bawah pentabiran Britain sebelum mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

Pada masa ini, Brunei diperintah oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (selepas ini dirujuk sebagai Sultan) yang menggantikan ayahanda baginda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (selepas ini disebut Sultan Omar ‘Ali) yang turun takhta secara sukarela pada malam 4 Oktober 1967 bagi memberi laluan kepada anakandanya yang baru berusia 22 tahun ketika itu (Harun 2007: 169, Awang Mohd. Jamil Al-Sufri 1987: 20).  Pengkaji berbeza pandangan tentang salasilah Sultan, ada yang mengatakan bahawa Sultan merupakan keturunan ke-29 (Saunders 1994:43) manakala ada yang mendakwa Sultan merupakan keturunan ke-30 (Bala 2005:178) dengan mengambil kira Sultan Abdul Majid Hassan, seorang sultan zaman purba Brunei ke dalam salasilah kesultanan Brunei.  Namun demikian, kesemua pengkaji sependapat bahawa kesultanan Brunei bermula dari zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah walaupun mereka tidak mencapai kata sepakat berhubung kurun dan tahun permulaan kesultanan yang tepat.

Dari segi sistem politik, secara teorinya menurut Harun Abdul Majid (2007: 1) Brunei merupakan negara kesultanan berperlembagaan manakala dari segi realitinya mengamalkan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak (absolute monarchy).  Sultan turut menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan sambil dibantu oleh jemaah menteri yang lain.

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 3

1.3  Pembangunan Politik

Leefers (2004: 1) menerusi The Course of Political Development in Uganda and Its Effect on Economic Development menyebut bahawa pada kebiasaannya pembangunan politik didefinisikan sebagai pergerakan ke arah sistem yang lebih bersifat demokrasi liberal berasaskan pilihan raya yang bebas dan adil, dan perlidungan hak-hak sivil rakyat. Laluan ke arah pembangunan politik lazimnya sukar untuk dijelaskan kerana setiap negara mempunyai sejarah dan kaedahnya yang tersendiri bagi mencapai matlamat tersebut. Ramai di kalangan sarjana Barat mencadangkan supaya negara mengukuhkan institusi-institusi yang berperanan mempromosikan demokrasi, mengadakan pilihan raya dan mengamalkan sistem pelbagai parti.  Walau bagaimanapun, kejayaan sesebuah negara dalam usahanya melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjana Barat ini masih diperdebatkan.

Huntington (1965: 387-388) menjelaskan pembangunan politik selalu dikaitkan dengan pemodenan masyarakat.  Sesuai dengan definisi tersebut, empat kategori pembangunan politik telah diutarakan iaitu rasionalisasi, nasionalisme dan integrasi nasional, pendemokrasian, dan mobilisasi atau penglibatan.  Di antara keempat-empat kategori ini, mobilisasi yang selalu diberi penekanan.  Hujah Huntington, “pemodenan bererti mobilisasi besar-besaran, mobilisasi besar-besaran bererti peningkatan penyertaan politik, dan peningkatan penyertaan politik ialah kunci kepada pembangunan politik”.


1.4  Aspek Positif & Negatif Legitimasi dan Demokrasi

Sama ada legitimasi atau demokrasi, kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri.  Yu Keping (2009: 3) dalam buku beliau Democracy is a Good Thing: Essays on Politics, Society, and Culture in Contemporary China mengakui hakikat ini.  Pada beliau, demokrasi menyebabkan seseorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat bertindak dengan lebih berhati-hati kerana pemimpin tersebut diangkat ke kedudukannya setelah dipilih dan mendapat sokongan majoriti rakyat. 

Yu (2009: 3) turut memberikan beberapa contoh bagaimana demokrasi juga mempunyai sisi negatif.  Antara lain, menurut beliau demokrasi boleh membawa kepada ketidakstabilan politik di sesebuah negara kerana rakyat dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan dan berdemonstrasi di jalan raya.  Demokrasi juga boleh menyebabkan proses pembuatan keputusan menjadi sangat birokratik dan lambat sekaligus mengurangkan kecekapan pentadbiran.  Ujar beliau lagi, hal ini disebabkan demokrasi mengehendaki perundingan dan perbincangan dilakukan berulang-kali sehingga keputusan akhir dapat dicapai.  

Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (2008) pula menepis tanggapan umum dalam politik dunia bahawa negara yang tidak mengamalkan demokrasi merupakan negara yang bersifat diktator dan tidak menghiraukan kepentingan orang ramai.  Merujuk kepada sistem demokrasi berparlimen, beliau membawakan perspektif Islam bahawa sistem demokrasi cenderung untuk mengangkat suara majoriti dalam pembuatan sesuatu keputusan walaupun keputusan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.  Dalam erti kata lain, suara minoriti walaupun mewakili kebenaran tidak akan mendapat tempat dalam sistem demokrasi. 

Sesetengah pihak pula berpendapat legitimasi lebih berupaya membawa kestabilan politik kepada sesebuah negara berbanding demokrasi.  Menurut Leake, Jr. (1990: 77), semasa Sultan Brunei ditemubual oleh majalah Newsweek, sejurus selepas kemerdekaan Brunei pada tahun 1984, sama ada baginda akan membenarkan semula kebebasan berpolitik, baginda bertitah:
“We have tried it. We had elections before 1962 and we had a few political parties, but people competed against each other and chaos resulted.”

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 2

1.2      Demokrasi
Sebagaimana legitimasi, terdapat berbagai-bagai tafsiran berhubung maksud sebenar demokrasi.  Perkara ini diakui oleh The Economist Intelligence Unit (2010: 28) dalam laporan Democracy Index 2010: Democracy In Retreat.  Badan berkenaan kemudiannya menggariskan ciri-ciri penting sesebuah negara yang dianggap demokratik iaitu “...the fundamental features of a democracy include government based on majority rule and the consent of the governed, the existence of free and fair elections, the protection of minority rights and respect for basic human rights”.

Dahl (1971: 2) dalam bukunya Polyarchy mendefinisikan demokrasi sebagai “sistem politik yang salah satu cirinya ialah bersikap responsif secara sepenuhnya atau hampir sepenuhnya terhadap rakyat.  Dahl (1971: 2) menambah bahawa dalam usaha sesebuah kerajaan bersikap responsif, rakyat perlu diberi hak untuk menyatakan pilihan mereka.  Pada beliau, hak tersebut mustahak kerana ia membolehkan rakyat menyampaikan keperluan dan tuntutan mereka kepada kerajaan.  Elemen-eleman yang patut ada dalam sebuah masyarakat demokratik adalah seperti berikut:
(i)              Kebebasan untuk menubuhkan dan menyertai sebarang organisasi;
(ii)             Kebebasan bersuara;
(iii)           Hak mengundi;
(iv)           Layak untuk menubuhkan kerajaan;
(v)             Pemimpin politik berhak bersaing untuk mendapat sokongan dan undi;
(vi)           Sumber maklumat alternatif;
(vii)         Pilihan raya yang bebas dan adil; dan
(viii)        Institusi kerajaan yang menggubal polisi bergantung kepada undi dan mekanisme seumpamanya.

Ljiphart (1984) pula mengemukakan dua model bagi sesebuah sistem politik yang mengamalkan demokrasi iaitu ‘model Westminster’ dan ‘model konsensus’.  Menurut beliau, model Westminster berdasarkan sistem berparlimen Britain dan ia merujuk kepada penguasaan kumpulan majoriti.  Sebaliknya, model konsensus yang berdasarkan amalan Switzerland dan Belgium bertujuan mencapai persetujuan di kalangan kumpulan sosial utama dalam sesebuah negara.  Sungguhpun demikian, model konsensus tidak semestinya bermaksud persetujuan sebulat suara.

Schumpeter dalam mahakaryanya pada tahun 1943 bertajuk Capitalism, Socialism and Democracy yang diterbitkan buat kali ketiga belas pada tahun 1974 melihat demokrasi dari sudut ‘kepimpinan politik’.  Pada pandangan beliau, individu akan berusaha mendapatkan kuasa dengan cara bersaing bagi mendapatkan undi daripada rakyat bagi membolehkan mereka membuat keputusan-keputusan politik.  Undian pada pandangan Schumpeter bertujuan ‘menghasilkan’ kerajaan.  Walau bagaimanapun, pada hemat beliau hanya sistem pengundian di Amerika Syarikat sahaja membolehkan pengundi berbuat demikian secara langsung manakala sistem pengundian di negara lain seperti Britain hanya menghasilkan kerajaan menerusi medium perantaraan yang digelar ‘parlimen’.

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 1

1.    PENDAHULUAN: DEFINISI DAN KONSEP

1.1     Legitimasi


Menurut Weber (1978), setiap sistem kekuasaan cuba untuk mengukuhkan keyakinan terhadap legitimasi tertentu dengan cara menuntut ketaatan dan pembangunan alat pentadbiran. Weber (1978) seterusnya menghubungkaitkan legitimasi dengan authority yang dikelaskan kepada tiga iaitu legal authority, traditional authority dan charismatic authority.

Legal authority diasaskan kepada rasional iaitu ketaatan ahli masyarakat kepada seseorang individu bukan disebabkan authority yang dimilikinya tetapi prinsip legality.  Contohnya, seseorang pegawai dalam sesebuah organisasi dipilih dan dilantik kerana memiliki kelayakan dan kemahiran yang diperlukan.
Traditional authority pula berlawanan dengan legal authority kerana ketaatan diberi berdasarkan faktor peribadi dan seseorang yang menjadi ketua adalah disebabkan tradisi pemerintahan tertentu.  Corak ketaatan secara traditional authority ini memunculkan konsep ‘tuan’ dan bukannya ‘orang atasan’ lalu corak pemerintahan dan pemilihan anggota pentadbiran juga berdasarkan amalan tradisi dan budi bicara ‘tuan’ itu tadi.  Oleh yang demikian, ramai di kalangan sanak-saudara dan orang kepercayaan yang dilantik menjadi sebahagian anggota kerajaan.  Menerusi charismatic authority pula, ketaatan diberi atas faktor kualiti istimewa pada seseorang yang dijadikan ketua.
Menurut Beetham (1991) pula, terdapat tiga komponen utama bagi legitimasi dalam sesebuah masyarakat demokrasi liberal iaitu prestasi institusi, pematuhan kepada nilai-nilai demokrasi iaitu consent, perwakilan dan kebertanggungjawaban, dan identiti politik.  Tanpa ketiga-tiga komponen ini, ujar Beetham (1991) lagi, masyarakat akan mempersoalkan hak sesebuah kumpulan untuk membuat keputusan bagi pihak mereka meskipun polisi yang digubal bermanfaat dan prosedur yang dibentuk begitu sempurna.
Scharpf (1997) pula berpendapat sama ada legitimasi boleh diperolehi atau sebaliknya bergantung kepada input dan output kerajaan.  Pada beliau, input kerajaan diperolehi antara lain melalui pemilihan wakil rakyat secara demokrasi, persetujuan pengundi terhadap sesuatu program dan perundingan yang melibatkan rakyat.  Output kerajaan pula diperolehi dengan cara menepati kehendak dan nilai rakyat, dan memastikan setiap polisi yang dijalankan sentiasa mengambil kira pendapat umum.