Pages

Wednesday, 4 April 2012

Feudalisme dan Budaya Berpersatuan

Masalah ini tidak kedengaran berlaku di negara-negara maju sungguhpun sesetengahnya masih mengekalkan institusi beraja sama ada monarki mutlak atau berperlembagaan.

Sudah menjadi budaya kebanyakan orang Melayu, mereka sukar memisahkan kapasiti seseorang yang berketurunan bangsawan atau kerabat diraja, sungguhpun orang itu menjadi pemimpin organisasi yang sepatutnya tiada kaitan sama sekali dengan feudalisme. Orang itu tetap diangkat sembah seolah-olah mereka masuk mengadapnya di balairong seri, walhal pertemuan, mesyuarat atau persidangan berlangsung di bangunan persatuan sahaja, misalnya persatuan sukan. Budaya inilah, bukannya individu itu sendiri secara peribadi, yang menjadi masalah dalam proses sumbang saran (brainstorming) bagi memajukan sesebuah organisasi, termasuk organisasi yang ada kena-mengena dengan sukan. Apabila orang-orang kanan atau bawahan masih menganggapnya sebagai sultan atau anak raja, sampai bila-bila pun sukar bagi menyampaikan pandangan berbeza. Membangkang atau mengkritik apatah lagi, malah selalu sangat pihak yang membangkang dan mengkritik dilabel sebagai penderhaka, walaupun yang dibangkang dan yang dikritik ialah idea, sistem, pelan tindakan, perancangan strategik dan sebagainya, bukan batang tubuh VVIP itu. Konteks bangkangan dan kritikan juga disinonimkan sebagai bangkangan dan kritikan hamba rakyat kepada sultan atau anak raja yang memerintah negeri, walhal yang dikritik dan dibangkang adalah atas kapasiti baginda sebagai pemimpin persatuan sukan. Belum memadai setakat label penderhaka, natijahnya alamat dicantas saja.

Dengan trend sultan atau kerabat diraja menerajui atau menawarkan diri bagi memimpin persatuan sukan berterusan (sesetengahnya akibat lobi dan hasil cadangan pemimpin persatuan kecil atau pihak tertentu yang berkepentingan [tenggelam punca pun iya juga, maklumlah mengharapkan kemasukan sumber kewangan]), dengan budaya feudalisme sedia ada, elemen profesionalisme akan terhakis, bahkan yang mendominasi keadaan ialah sindrom bisu. Kalau bersuara pun, lebih kepada menjaga hati supaya tidak menyinggung perasaan baginda, yang dikhuatiri menyempitkan pula pintu peluang dan rezeki seperti pingat dan darjah kebesaran atau perkara-perkara lain.

Nabi ada bersabda, mahfhumnya "apabila sesuatu amanah itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran". Masalahnya, tak semua orang menginsafi kemampuan diri sendiri dan kecemerlangan pencapaian persatuan sukan lain yang diterajui bukan bangsawan, jauh sekalilah menginsafi sabda Nabi akan mala petaka yang bakal menimpa disebabkan keegoan mereka.

Nota:
Ada juga persatuan sukan yang diterajui bukan kerabat diraja tetapi kekal mandom, namun sekurang-kurangnya orang tak segan-silu membangkang, mengkritik malah mencabar jawatan mereka. Nampak bezanya, kan?