Pages

Wednesday 23 November 2011

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 4



2.3    Dasar Pengurusan Sisa Pepejal (DPSP)

DPSP membuka lembaran baru dalam pengurusan sisa pepejal secara sistematik dan mesra alam. Perbincangan selanjutnya akan tertumpu kepada dua daripada enam teras DPSP iaitu Teras 1 dan Teras 3.


2.3.1   Teras 1 : Pengurangan Sisa Pepejal Melalui 3R (Reduce, Reuse, Recycle) 

3R (Reduce, Reuse, Recycle) terkandung dalam Kempen Program Kitar Semula Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan pada 2 Disember 2000. Reduce bermaksud “memilih bahan yang digunakan dengan bijak bagi mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.” Reuse termasuklah “aktiviti menggunakan semula semua atau sebahagian daripada bahan yang masih boleh digunakan lagi.” Recycle pula membawa maksud “penggunaan barang-barang terpakai tersebut sebagai satu sumber bahan mentah.”

Pelaksanaan 3R didorong oleh statistik bahawa setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membelanjakan antara 40 peratus hingga 70 peratus perbelanjaan tahunannya untuk mengutip dan melupuskan sampah. Sekiranya tapak pelupusan sampah yang bersesuaian tidak dapat diperolehi, tahap kesihatan penduduk dan kualiti alam sekitar akan terancam akibat pembuangan sampah-sarap yang tidak terkawal.

Bagi menjayakan 3R, KPKT telah menempatkan 15 ribu tong kitar semula dan 700 pusat pengumpulan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara seperti sekolah, stesen minyak, kawasan perumahan dan pejabat-pejabat kerajaan. Tiga jenis tong dengan warna-warna tertentu disediakan berdasarkan jenis sampah seperti berikut :

i.      Biru – kertas

ii.    Jingga – tin aluminium, tin keluli, plastik

iii.   Coklat – kaca

Barangan kitar semula dari tong kitar semula dan pusat kitar semula akan diasingkan, dibersihkan, dihantar dan dijual kepada kilang-kilang yang dapat memproses barangan tersebut menjadi produk yang sama atau produk yang berlainan.

No comments: