Pages

Wednesday 16 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 6


2.3.3    Alain Poher Sebagai Presiden Interim Kali Pertama (29 April 1969 - 20 Jun 1969)

Pada Februari 1969, Charles de Gaulle mengumumkan hasratnya untuk mengadakan referendum[i] bagi memperakukan penubuhan unit kerajaan wilayah yang baru dan penstrukturan semula Dewan Senat.  Berdasarkan perancangan beliau, Dewan Senat yang baru akan menggabungkan perwakilan kerajaan tempatan dengan perwakilan pertubuhan profesional dalam usaha membawa perspektif baru bagi proses perundangan[ii].

Walau bagaimanapun, usaha beliau ditentang oleh Presiden Senat, Alain Poher yang baru sahaja menggantikan Gaston Monnerville pada Oktober 1968.  Pada hemat Alain Poher, hasrat Charles de Gaulle sekiranya diteruskan juga akan mengakibatkan Dewan Senat hanya berfungsi sebagai badan perundingan semata-mata.

Charles de Gaulle telah mengumumkan lebih awal sebelum proses pengundian berlangsung bahawa beliau akan meletak jawatan sekiranya referendum beliau ditolak oleh rakyat Perancis (Pierce 1973).  Justeru apabila keputusan pada 27 April 1969 menyaksikan referendum tersebut ditolak[iii] oleh rakyat Perancis dengan 53.2% menentang sementara 46.8% menyokong, Charles de Gaulle benar-benar mengotakan janjinya dengan meletak jawatan sebagai Presiden Perancis.  Sehubungan itu, selaras dengan Perlembagaan Perancis yang menetapkan bahawa Presiden Senat akan menyandang jawatan Presiden Perancis buat sementara waktu sehingga seorang Presiden yang baru dipilih menerusi pilihan raya Presiden, maka atas kapasitinya sebagai Presiden Senat, Alain Poher telah memangku jawatan Presiden Perancis yang dikosongkan oleh Charles de Gaulle (Ambler & Scheinman 1971; Williams et al. 1970).  Alain Poher memulakan tugasnya sebagai Presiden Interim secara rasmi pada pukul 3 p.m. pada hari yang sama Charles de Gaulle meletak jawatan dengan berpindah masuk ke kediaman rasmi Presiden Perancis, Èlysèe Palace yang terletak di Paris (Berstein & Rioux 2000).

2.3.4    Alain Poher Sebagai Presiden Interim Kali Kedua (2 April 1974 - 27 Mei 1974)

Berikutan kematian Georges Pompidou pada 2 April 1974, Alain Poher telah memangku jawatan Presiden Perancis buat sementara waktu.  Walau bagaimanapun, tidak seperti semasa menjadi Presiden Interim sebelumnya, kali ini beliau tidak bertanding dalam pilihan raya Presiden yang diadakan di antara 5 Mei 1974 sehingga 12 Mei 1974.  Pada 27 Mei 1974, beliau menyerahkan semula jawatan yang dipangkunya kepada Valéry Giscard d’Estaing yang telah memenangi pilihan raya Presiden pada 19 Mei 1974 (Thody 1998).




2 Semasa era pemerintahan Charles de Gaulle, referendum merupakan elemen penting kerana ia merupakan alternatif selain Parlimen sebagai agensi yang mengabsahkan dasar awam.  Berdasarkan analisis Charles de Gaulle terhadap politik Perancis, parti-parti politik diibaratkan lebih sebagai skrin berbanding sebagai penghubung antara rakyat dan polisi.  Memandangkan Parlimen merupakan arena untuk perwakilan yang bersifat partisan, maka adalah penting untuk pihak eksekutif mempunyai kemampuan untuk bypass Parlimen semasa pelaksanaan proses menggubal dasar sekiranya mereka berpendapat mereka mampu meraih kemenangan menerusi undi popular tetapi tidak bagi undian di Parlimen (Pierce 1973: 62-63).

[ii] Bilangan ahli Dewan Senat yang terdiri daripada ahli politik wilayah dan tempatan akan dikurangkan kepada separuh, manakala separuh lagi ahli Dewan Senat terdiri daripada kesatuan sekerja, pertubuhan peladang, dan kumpulan perniagaan.  Fungsi baru Dewan Senat yang dicadangkan oleh Charles de Gaulle adalah terhad kepada kebenaran untuk menggubal undang-undang secara bersama bagi perkara-perkara sosial, ekonomi dan budaya (Safran 1977: 187).
[iii] Subjek referendum pada tahun 1969 tersebut mengandungi kelemahan-kelemahan seperti terlalu panjang lebar dan kurang jelas tentang isu utama berbanding  referendum sebelumnya berkenaan dasar Perancis di Algeria dan kaedah pilihan raya presiden.  Referendum tersebut mengandungi lebih daripada 8,000 perkataan, menyeru ke arah pengubahsuaian bagi 19 daripada 92 Artikel Perlembagaan Perancis, dan menangani secara serentak dua masalah besar (penubuhan majlis wilayah dan penyusunan semula struktur Dewan Senat) serta beberapa masalah lain yang kurang penting.  Selain itu, kritikan terhadap referendum tersebut adalah disebabkan penyediaannya dibuat tanpa berunding secukupnya dengan Parlimen dan kerana pengundi dikehendaki memberi satu jawapan sahaja sedangkan terdapat dua soalan (Pierce 1973: 72-75).

No comments: