Pages

Monday, 21 November 2011

Harimau Muda di Tengah Gelora: Musuhnya Habis Binasa!


Aku akan menonton menerusi TV3. Sebabnya aku sukakan kelainan dari segi ulasan secara langsung. Setelah sekian lama mendengar ulasan legenda pengulas sukan RTM, Dato' Hasbullah Awang (DHA), kini tiba masanya mendengar ulasan gaya tersendiri Abu Bakar Atan (ABA) pula, yang julung-julung kali kembali mengulas perlawanan bola sepak. "Mungkin nota terakhir" dan "jalan berliku", antara kata-kata hikmat beliau setakat ini. Barangkali nostalgia bekerja di ofis lama di Jalan Liku, Bangsar masih bermain di ingatan. Apapun, aku memang terhibur dengan intonasinya, serta komentar yang sering mengisi hampir setiap saat perlawanan berlangsung, macam ulasan selari pengulas dulu-dulu. Kedengaran seperti mendengar ulasan dari corong radio pun ada juga. Kontra dengan nada DHA yang kedengaran "controlled" sedikit, a la Zainal Din Zainal sewaktu menjadi juruhebah Radio 3 Ibu Kota pada suatu ketika. Paling bersemangat mendengar ABA menjerit gol. Semangat giler.

Siaran Buletin Utama menyemarakkan mood aku, dan ramai lagi penyokong Malaysia malam ini. Heh, ketinggalan lagi RTM nampak gayanya. Pembaca berita TV3, kedua-duanya otai, Nasaruddin Tajuddin dan gandingan wanitanya tampil mengujakan dengan jersi kuning hitam belang-belang Harimau Malaya. Salut! RTM tetap dengan pakaian konvensionalnya; suit, tali leher dan lencana 1Malaysia. 1 TV3, 0 RTM, hehehe.

Sedikit selingan, di kuliah tadi seorang kawan lewat masuk. Ku pelawa duduk di kerusi sebelahku yang memang tiada orang menghuninya. Kalau di Indonesia aku tak tahulah bagaimana mahasiswa Malaysia di sana, entah-entah takut hendak hadir kuliah. Di Malaysia kawanku itu tidak pula menerima hostile reception, walaupun ada juga jenaka-jenaka dari kawan-kawan lelaki lain yang sahih penyokong tegar Malaysia. Aku pun tumpang sekaki, kataku kalau dia ingin menonton jangan ke kedai mamak, lebih selamat di Wong Solo. Nasihat ikhlas, kalau dia pergi juga pun takkan dibantai penyokong Malaysia, melainkan terang-terang memprovokasi, kalau tak apa ada hal tengoklah sama-sama. Sebelum bersurai, ku tanya padanya, "Malam ini nonton di mana?". "Di rumah saja jawabnya". Esok petang waktu yang sama, aku  dan kawan-kawan sekuliah yang lain akan menghadap si dosen pula, seperti kawan yang tadi juga dari Indonesia.


Kemas Kini (1):

Kedengaran lebuh raya di sekitar ibu kota seperti di Sungai Besi sesak teruk, semua berebut nak balik tengok tivi. 

Kedudukan terikat 1-1. Malaysia belum pernah ketinggalan, tapi kalau terbukti mampu bangkit semula, alamat malapetaka tahap merah untuk Indonesia. Cuma jangan terbawa-bawa dengan emosi, kalau 11 lawan 11 harapan cerah untuk Malaysia skor gol berikutnya.  Jangan lupa juga cover inspiring Captain Malaysia, Baddrol Bakhtiar, Indonesia nak patahkan kaki dia.


Kemas Kini (2):

Malaysia sepatutnya tamatkan perlawanan ini pada masa sepatutnya dengan peluang-peluang terhidang. Tapi pada masa itulah juga nak tergelincir, teragak-agak nak pusing badan dan meledak volley, berebut nak skor padahal keeper Indonesia dah terpaku dan sebagainya. Lazimnya kalau sesuatu yang tak diingini berlaku, kesempatan-kesempatan keemasan begitu akan sangat-sangat dikesali. Harap-harap Malaysia berangkat pulang dan tidur lena dengan senyuman. Dan aku pun akan sangat bersemangat hadir ke kuliah esok.


Kemas Kini (3):

Jersi kuning no. 13 nyaris-nyaris menjadi from zero to hero to zero, again. Serius aku di rumah ini pun gementar, jantung duk-dak-duk-dak dengan detik-detik cemas, terutama apabila dia sepak terlalu lemah. Sudahlah sebelum itu yang ambil penalty kick untuk Malaysia semuanya defenders, memang hebatlah walaupun defenders tapi bab penalty kick pandai placing. Aku jangkakan bola tinggi melepasi palang dah setiap kali depa sepak, bayangan Roberto Baggio USA 1994 terbayang. Nampaknya pemain Malaysia ada nilai tambah, kebanyakannya utility players yang boleh digunakan mengikut kesesuaian keadaan e.g. kecederaan pemain utama.

Satu perkara yang aku rakamkan ialah sepanjang temasya sukan ini tuan rumah selalu menyelubunginya dengan kontroversi demi kontroversi tahap sentul. Bukan sahaja Malaysia terkena, tapi juga negara-negara ASEAN lain. Semua orang mahu menang, tapi biarlah dengan cara penuh semangat kesukanan. Malam ini, sepakan Captain Malaysia menutup semua kesentulan yang disajikan oleh Indonesia dengan sepakan penalti yang dikira masuk dengan cara sentul tahap maksimum, lebih membengkekkan hati pada malam penutup bagi semua acara Sukan SEA 2011. Sakit hati, kan?

Tabah Syazwan mengulas sebaik tamat perlawanan begitu lancar tanpa terikat skrip seperti selalu, menderu-deru seperti air terjun meluncur laju. Wajahnya nampak merah, barangkali perasaan yang bercampur-baur, antara makan-minum tak menentu dan kerenah penganjur yang bukan-bukan serta caci maki kejian terhadap Malaysia meliputi wartawan juga seakan-akan diluahkan sepuas hati.

Salut Harimau Muda!


Kemas Kini (4):

Buat julung-julung kali dalam masa beberapa tahun ini, kami bertiga termasuk anakku yang baru nak masuk setahun bulan Disember ini, berdiri di depan kaca tivi dan menyanyikan Negaraku bersama-sama pasukan Malaysia di Gelora Bung Karno, dengan perasaan terharu tapi megah! Menyanyi lagu kebangsaan sambil melihat bendera kebanggaan setiap warganegara dinaikkan. Perasaan itu sukar diungkapkan. Hampir-hampir terasa meremang dan terkelua' aya' mata.

Negaraku dan Jalur Gemilang akhirnya mendapat penghormatan selayaknya!

No comments: