Pages

Showing posts with label pembangunan mampan. Show all posts
Showing posts with label pembangunan mampan. Show all posts

Wednesday, 23 November 2011

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 4



2.3    Dasar Pengurusan Sisa Pepejal (DPSP)

DPSP membuka lembaran baru dalam pengurusan sisa pepejal secara sistematik dan mesra alam. Perbincangan selanjutnya akan tertumpu kepada dua daripada enam teras DPSP iaitu Teras 1 dan Teras 3.


2.3.1   Teras 1 : Pengurangan Sisa Pepejal Melalui 3R (Reduce, Reuse, Recycle) 

3R (Reduce, Reuse, Recycle) terkandung dalam Kempen Program Kitar Semula Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan pada 2 Disember 2000. Reduce bermaksud “memilih bahan yang digunakan dengan bijak bagi mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.” Reuse termasuklah “aktiviti menggunakan semula semua atau sebahagian daripada bahan yang masih boleh digunakan lagi.” Recycle pula membawa maksud “penggunaan barang-barang terpakai tersebut sebagai satu sumber bahan mentah.”

Pelaksanaan 3R didorong oleh statistik bahawa setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membelanjakan antara 40 peratus hingga 70 peratus perbelanjaan tahunannya untuk mengutip dan melupuskan sampah. Sekiranya tapak pelupusan sampah yang bersesuaian tidak dapat diperolehi, tahap kesihatan penduduk dan kualiti alam sekitar akan terancam akibat pembuangan sampah-sarap yang tidak terkawal.

Bagi menjayakan 3R, KPKT telah menempatkan 15 ribu tong kitar semula dan 700 pusat pengumpulan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara seperti sekolah, stesen minyak, kawasan perumahan dan pejabat-pejabat kerajaan. Tiga jenis tong dengan warna-warna tertentu disediakan berdasarkan jenis sampah seperti berikut :

i.      Biru – kertas

ii.    Jingga – tin aluminium, tin keluli, plastik

iii.   Coklat – kaca

Barangan kitar semula dari tong kitar semula dan pusat kitar semula akan diasingkan, dibersihkan, dihantar dan dijual kepada kilang-kilang yang dapat memproses barangan tersebut menjadi produk yang sama atau produk yang berlainan.

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 3


2.2      Rancangan Fizikal Negara (RFN)

RFN diwujudkan susulan daripada keputusan MPFN pada 26 April 2005. RFN dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan agensi Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan pembangunan guna tanah. KPKT dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan RFN dan mengadakan penilaian semula setiap lima tahun. Kemajuan yang dicapai perlu dilaporkan secara berkala kepada MPFN.

Salah satu daripada empat objektif utama RFN ialah “mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber asli untuk pembangunan mampan.” Selaras dengan objektif ini, beberapa pendekatan telah diambil, dan pendekatan yang berhubung kait secara langsung dengan pengurusan sisa pepejal ialah Perancangan Prasarana Yang Bersesuaian. Menerusi pendekatan ini, RFN mencadangkan agar prasarana dan perkhidmatan berkualiti membabitkan bekalan air, elektrik, telekomunikasi, pembetungan dan sistem pelupusan sisa pepejal disediakan menggunakan teknologi yang sesuai dengan tapak dan keperluan pembangunan.

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 2



2.0         LANGKAH-LANGKAH KERAJAAN MENERUSI KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN (KPKT)

2.1      Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN)

MPFN ditubuhkan mengikut Seksyen 2A(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129) bagi menyelaras semua dasar dan aktiviti berkaitan perancangan bandar dan desa untuk memastikan penggunaan sumber dan pembangunan yang lebih seimbang dan mampan.

MPFN dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Salah seorang ahli MPFN ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) bertindak selaku Setiausaha. MPFN diurus setiakan oleh JPBD dan bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun iaitu setiap empat bulan. Hasil mesyuarat pertama MPFN pada 23 Jun 2003, Jawatankuasa Kerja Majlis Perancang Fizikal Negara (JKK MPFN) diwujudkan.


2.1.1   Jawatankuasa Kerja Majlis Perancang Fizikal Negara (JKK MPFN)

JKK MPFN berperanan membantu menyelaras dan meneliti semua perkara di bawah bidang kuasa MPFN. Ahli jawatankuasa JKK MPFN akan membincangkan dan membuat pengesyoran sebelum dibawa untuk pertimbangan dan keputusan oleh MPFN.

Menerusi penubuhan JKK MPFN, Ketua Setiausaha KPKT dilantik sebagai Pengerusi manakala Ketua Pengarah JPBD sebagai Setiausaha. Ahli-ahli lain terdiri daripada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian yang menganggotai MPFN dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia.

Pembangunan Mapan dan Keberkesanan Langkah-Langkah Kerajaan: Episod 1


1.0         PENDAHULUAN
1.1      Definisi dan Konsep “Pembangunan Mampan”
Mapan bererti, “tidak berubah-ubah (sudah diterima umum)” dan “tidak goyah (sudah stabil, teguh, dikenali dsb)”. Mampan pula bermaksud, “mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik (berkenaan ekonomi, pembangunan dsb)” (Kamus Dewan, 2005). Justeru, tajuk perbincangan lebih wajar diselaraskan sebagai “pembangunan mampan” bagi menggantikan frasa “pembangunan mapan”.
Konsep “pembangunan mampan” bersusur-galur daripada Resolusi 38/161, "Process of Preparation of the Environmental Perspective to the Year 2000 and Beyond"  yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Perhimpunan Agung PBB) pada 19 Disember 1983. Bertitik-tolak daripada resolusi tersebut, sebuah suruhanjaya iaitu Brundtland Commission ditubuhkan.
Matlamat Brundtland Commission adalah mengutarakan kebimbangan tentang kemerosotan mendadak persekitaran manusia dan sumber asli serta kesannya terhadap pembangunan ekonomi dan sosial. Menerusi penubuhan suruhanjaya berkenaan, Perhimpunan Agung PBB mengiktiraf masalah alam sekitar sebagai masalah sejagat. Justeru, demi kemaslahatan bersama, dasar pembangunan mampan perlu diwujudkan.
Laporan Brundtland Commission bertajuk “Our Common Future” dibentangkan semasa Perhimpunan Agung PBB melalui Resolusi 42/187, “Report of the World Commission on Environment and Development” bertarikh 11 Disember 1987. Laporan berkenaan membincangkan pembangunan mampan dan keperluan perubahan politik bagi menjayakannya. Menerusi laporan tersebut, istilah “pembangunan mampan” didefinisikan sebagai “...pembangunan yang memenuhi ‘keperluan’ semasa tanpa mengabaikan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.”
Secara ringkas, konsep “pembangunan mampan” ialah pembangunan yang menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan keperluan-keperluan sosial dan alam sekitar.
1.2      Skop Perbincangan
Perbincangan akan tertumpu kepada usaha-usaha merealisasikan pembangunan mampan melibatkan peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara langsung dalam aspek pemeliharaan alam sekitar. Skop alam sekitar juga dikecilkan lagi kepada pengurusan sisa pepejal. Pendekatan ini diambil kerana skop pembangunan mampan terlalu luas, bukan sahaja melibatkan aspek alam  sekitar bahkan turut mencakupi aspek sosial dan ekonomi. Melalui tumpuan yang lebih spesifik, langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan menerusi KPKT dan tahap keberkesanannya dapat diperincikan seterusnya mencadangkan penambahbaikan yang wajar.