Pages

Sunday, 23 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 7

3.         FAKTOR-FAKTOR PENENTU PENGGANTIAN LEGITIMASI DENGAN DEMOKRASI BAGI PEMBANGUNAN POLITIK DI BRUNEI

Berdasarkan hasil penulisan dan kajian daripada para sarjana yang menyentuh tentang legitimasi dan demokrasi, sama ada secara umum atau khusus menyentuh tentang Brunei, pada hemat saya berdasarkan tahap pembangunan politik di Brunei sekarang, potensi pengekalan status quo iaitu legitimasi banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor utama.  Bagi tujuan penulisan ini, saya hanya akan memilih dua faktor untuk diperhalusi namun tidak bermakna faktor-faktor lain yang tidak dibincangkan di sini merupakan faktor yang tidak penting.  Faktor-faktor penentu yang saya maksudkan adalah penghormatan dan taat setia yang sangat tinggi kepada Sultan, dan dasar-dasar kebajikan kepada rakyat yang dibiayai oleh hasil minyak.

3.1 Ideologi Melayu Islam Beraja (MIB) Pemangkin Ketaatan Kepada Sultan

Semasa mengisytiharkan kemerdekaan Brunei pada 1 Januari 1984, jam 12.02 pagi, Sultan telah bertitah:

“... Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kornia Allah Subhanahu Wata’ala, akan untok sa-lama2-nya kekal menjadi sa-buah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran2 Ugama Islam menurut Ahlis Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan, dan dengan petunjok serta keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala juga ...”

                                                                                                 (Awang Mohd. Jamil Al-Sufri 1992 :207)

Pada asasnya, MIB merupakan ideologi Brunei sejak permulaan kesultanan Brunei lagi.  Langkah Sultan menyebut terminologi MIB dalam perisytiharan kemerdekaan Brunei sewajarnya dilihat sebagai usaha memaktubkan MIB secara rasmi sebagai asas pembentukan negara.   

MIB terdiri daripada tiga komponen penting iaitu ‘Melayu’, ‘Islam’ dan ‘Beraja’ yang menjadi teras kepada Brunei.  Secara ringkasnya, istilah ‘Melayu’ merujuk kepada Brunei sebagai negara Melayu yang mengamalkan nilai-nilai tradisi atau kebudayaan Melayu sesuai dengan bilangan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti’.  ‘Islam’ pula merujuk kepada agama Islam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sebagai agama rasmi negara selaras dengan Perlembagaan Brunei 1959 (Awang Muhammad et al. 1994: 225). Penulisan ini seterusnya akan memperincikan istilah ‘Beraja’ dalam MIB yang mempunyai kaitan langsung dengan praktis legitimasi di Brunei berbanding dua istilah terdahulu iaitu Melayu dan Islam.

Sistem ‘Beraja’ merujuk kepada sistem tradisi Melayu yang wujud sejak terdirinya Kerajaan Melayu Brunei.  Menurut Awang Muhammad et al. (1994: 225), sistem pemerintahan Beraja tidak semestinya menyebabkan berlakunya eksploitasi pemerintah terhadap rakyat jelata.  Menurut beliau, perkara penting ialah penerimaan rakyat terhadap sistem tersebut dan kedudukan rakyat sama ada better off atau worse off.

Sistem Beraja juga dianggap telah menyelamatkan Brunei daripada huru-hara akibat pemberontakan PRB pada tahun 1962 oleh penulis seperti Md Zain (1998: 255-256).  Di sini, penulis memberi gambaran yang membezakan praktis sistem beraja di Brunei dengan sistem yang sama di Russia dan Perancis suatu ketika dahulu.  Beliau juga berpendapat wujud divine intervention menyebabkan sistem beraja di Brunei sentiasa diberkati dan dinaungi oleh Allah kerana menjunjung ajaran agama Islam sebagai ideologi negara.

MIB berfungsi menyemarakkan rasa hormat dan taat setia rakyat kepada Sultan. Sehubungan itu, kerajaan telah mengambil langkah strategik dan bersifat jangka panjang dengan mewajibkan pengajaran MIB di sekolah-sekolah dan disyaratkan supaya wajib lulus.  Setakat ini, belum terdapat penyelidik yang mengkaji perkaitan antara pembelajaran MIB dengan tahap ketaatan rakyat kepada Sultan, namun sudah tentu apabila para pelajar perlu mempelajarinya bersungguh-sungguh walaupun dengan tujuan utama untuk lulus peperiksaan, akan terbit juga perasaan hormat dan sayang kepada Sultan.  Inilah yang diharapkan oleh kerajaan Brunei dalam usaha meneruskan kesinambungan legitimasi sedia ada.

Penyebab kepada timbulnya rasa hormat dan taat setia rakyat kepada Sultan diserlahkan melalui buku-buku terbitan Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Tulisan sejarawan Awang Muhammad et al. (1994: 226) misalnya memberi tafsiran tersendiri tentang konsep taat setia kepada Sultan dengan mengaitkannya dengan beberapa perkara bersifat fundamental.  Misalnya, konsep taat setia dihubungkaitkan dengan ajaran Islam bahawa Sultan merupakan khalifah Allah di bumi dan Sultan juga mempunyai berkat daulat.  Beliau juga menyamakan konsep ketaatan kepada Sultan sebagai kecintaan kepada negara.  Dalam erti kata lain, tingkah-laku yang dianggap menderhakai Sultan sinonim dengan penderhakaan kepada negara.

Selari dengan pendapat para sejarawan lain, Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (2004: 8) telah menyifatkan MIB sebagai yang terbaik untuk rakyat dan tidak perlu dipersoalkan lagi.  Ujar beliau, kemakmuran dan perlindungan yang dinikmati oleh rakyat merupakan manfaat ideologi MIB yang diterapkan ke dalam pemerintahan negara.

Dari satu segi saya melihat penulisan daripada tokoh-tokoh sejarawan berkenaan sebagai propaganda halus untuk mengolah persetujuan rakyat supaya legitimasi Sultan berterusan.  Tambahan pula, penerbit buku-buku tersebut merupakan sebuah agensi kerajaan.  Namun, dari perspektif yang lain pula, saya berpandangan penulisan tokoh-tokoh sejarawan tersebut merupakan pernyataan jujur tentang realiti sosio-budaya orang Melayu sebagai kaum teras di Brunei terhadap status Sultan yang tidak boleh diganggu-gugat.

Tidak seperti di Malaysia yang terdapat pungutan suara atau tinjauan pendapat daripada pelbagai badan penyelidik misalnya Zentrum Future Studies dan Merdeka Centre (sekadar menyebut beberapa nama), di Brunei tahap sebenar penerimaan rakyat terhadap Sultan sukar diukur secara objektif.  Walau bagaimanapun, beberapa sarjana berpendapat secara umumnya rakyat Brunei meletakkan penghormatan yang tinggi kepada Sultan (Leake, Jr. 1990:78).  Hal ini disebabkan keprihatinan Sultan sendiri terutama sering melawat dan meninjau keadaan rakyat di setiap pelosok negeri.  Menurut Case (1996: 130), dalam setiap lawatan baginda sentiasa bersedia menerima surat aduan daripada rakyat dan menyelesaikannya dengan kadar segera.  Contoh yang dikemukakan oleh Case (1996: 130) adalah tindakan pantas pemindahan penduduk yang terlibat dengan kebakaran di Kampong Ayer pada tahun 1995 ke unit kediaman baru di Kampong Bolkiah.  Sebagaimana rakyat di negeri-negeri tertentu di Malaysia berasa terharu dan berbesar hati apabila sultan masing-masing mencemar duli mengadakan lawatan dan mengumum / menyampaikan bantuan, begitulah juga halnya dengan rakyat Brunei.  Dari aspek psikologi, Sultan akan dianggap “raja berjiwa rakyat” sedangkan proses pelaksanaan sesuatu tindakan susulan hasil aduan yang diterima bukan dilakukan oleh Sultan sendiri. Begitu juga dengan peruntukan kewangan yang disalurkan pun bukan datangnya dari duit poket Sultan sebaliknya dari hasil-mahsul minyak negara.

2 comments:

rebellion said...

pandai dalam memahami perlembagaan, aku memang kurang kalo bab perundangan ni, nice info dan semoga brunei berjaya mengakkan hukum syariat islam di sana secara sepenuhnya

adamghedodin said...

Tak sepandai mana sebenarnya, lebih kepada perkongsian dapatan di bawah tajuk yang hampir sama. Setakat rujukan sedikit-sebanyak inilah dianya. Insya-Allah, tapi kalau nak laksanakan syariat Islam sepenuhnya di Brunei mesti terpakai untuk semua, termasuk yang ber"darah biru". Kalau tak, kenyataan baginda akan dianggap retorik semata-mata.