Pages

Monday 24 October 2011

Advencer Si Pencari Sunti Priyayi (Episod 2): Bertemu Frank Martin

BMW 735i E38 hitam membrek jitu pada kelajuan 300 kilometer sejam. Unta, kuda dan haiwan-haiwan ternakan terkejut lantas lari bertempiaran. Manusia-manusia nomad yang lemah semangat terlepas kumuh di perkhemahan. Debu padang pasir berterbangan melitupi kenderaan. Sebaik debu berlalu, kelihatan seorang putih bersut hitam berbadan sasa menurunkan cermin kenderaan dan menjemput saya masuk. Buat pengetahuan anda, beliaulah Frank Martin yang akan membawa saya ke stesen kereta api Jaipur bagi meneruskan perjalanan saya ke Delhi.

Dua jam yang penuh aksi kereta terbang dan pemanduan berbahaya. Calang-calang orang memang akan termuntah terbelahak, tetapi saya tetap cool kerana sepanjang dua jam itu saya tidur tak ingat dunia. Frank Martin mengucapkan selamat jalan kepada saya. Hanya ucapan itu, tanpa meminta walau sesen pun daripada saya sebagai upah. Anda hairan? Oh, saya lupa memberitahu anda bahawa beliau terhutang budi dengan saya. Waktu beliau kenduri kahwin dahulu sayalah yang membiayainya, manakala beliau hanya mengeluarkan belanja untuk buku cenderahati tetamu yang kosnya tak sampai pun sepuluh ribu. Jadi sekarang ini kalau beliau hendak tunjuk ranggi dengan saya memang nahaslah beliau di akhirat sana. (Beliau memang nampak kaha' tapi beliau masih takut akan azab api neraka).

Hasrat di hati ingin menaiki kereta api Palace On Wheels; duduk di Alwar, Bharatpur, Jaisalmer atau mana-mana satu daripada 14 koc yang ada, yang dilengkapi bilik katil berkembar berhawa dingin, pantri mini, launj, bilik air, surat khabar, air mineral dan banyak lagi. Serta tidak dilupa khidmat tukang layan yang dipanggil "Khidmatgar". Namun apakan daya, sejak wang simpanan yang saya kumpul bertahun-tahun hasil usaha tidak menukar kereta berusia hampir satu dasawarsa mahupun membeli rumah tahu-tahu menyusut begitu sahaja dengan dahsyatnya dalam tempoh sebulan dua ini atas sebab-sebab keselamatan dan tertentu, saya juga sudah jarang singgah ke Secret Recipe. Jadi hasrat ber"Istana Di Atas Roda" terpaksa saya ucapkan sayonara meskipun hati saya meronta-ronta menjerit-jerit nota "double-octave high A sharp".

Lalu, menyedari betapa marhaennya diri ini, saya mengambil keputusan untuk menaiki Gujarat Mail, sebuah kereta api yang terkenal laju tetapi hanya memerlukan ongkos yang ciput macam Bas Mini Wilayah suatu ketika dahulu. Sungguhpun ada perkataan "Mail" pada namanya, kereta api ini tidaklah pula membawa surat, suatu kerjaya yang telah lama ditinggalkannya.

Betapa pun manusia mentadbir, Allah juga tetap mentaqdir. Di luar pengetahuan saya, tiket keretapi di India ini sangat laris mengalahkan masalavadai panas. Tiket Kelas Dua Berhawa Dingin pada petang itu sudah pun ditempah orang berminggu-minggu sebelumnya. Nasib baik petugas di kaunter memberitahu bahawa masih ada peluang untuk saya mencongak-congak nasib kalau-kalau mendapat tiket kuota pelancong atau kuota Tatkal. Masalah sekarang ialah paling cepat kuota tiket sebegitu hanya dapat diperolehi dalam masa dua hari, itu pun paling banyak 12 keping tiket teragih ke pelbagai kelas penumpang. Dalam tempoh dua hari ini di mana saya akan menginap. Saya tidak nampak cara lain. Telefon genggam dikeluarkan dari kocek. Menu "Log" dicari, seraya ditekan timbul "Recent calls".

"Frank, aku kat stesen lagi ni. Malam ni aku tido' rumah hang!".

No comments: