Pages

Monday, 24 October 2011

Advencer Si Pencari Sunti Priyayi (Episod 1): Tersadai Di Gurun


Pada usia yang masih muda, saya telah dikesan menghidap sejenis penyakit yang dinamakan "Daman Towilan". Penyakit ini terus berlarutan sehinggalah umur saya menginjak jadi belia. Kata Dr. Stickman, tabib yang mula-mula sekali menemui penyakit ini, antara simptom-simptom ketara penderitanya ialah apabila berasa satu macam tatkala terpandang nama pengirim SMS tertentu, hendak-hendak datangnya dari golongan tertentu dari kantor sewaktu penghidap penyakit masih bercuti. Sudahlah susah ya amat mahu dapat cuti, tengah bercuti pun diganggu juga. Appa punya uuud la.

Enggan menyerah semata-mata kepada takdir, saya cuba mencari penawar. Kata Haji Harun Permatang Pauh dan Haji Man Kuala Ketil, penawarnya ada pada seorang sunti priyayi. Berbekalkan nasihat mereka, saya mula menggalas ransel di pundak. Ransel kuning jenama Unta tahan lasak itu saya isi dengan beberapa keperluan, salah satu gayung hijau tua. Peranti itu tidak boleh tidak ada. Tanpanya saya bisa sahaja samsara.

Demikianlah bermula kembara saya naik turun bas melalui jalan raya merentas gurun yang tersangat panas. Iyalah, nama pun gurun, tentulah sangat panas. Kalau sejuk sudah barang tentu dipanggil orang Genting Highlands. Sungguhpun begitu saya masih bersyukur. Sepanas-panas gurun belum lagi memaksa saya bersolat di atas hamparan kain serban corak kekotak. Siap dilengkapi kipas angin lagi. R & R Gurunlah katakan.

Entah bagaimana, sepanjang menaiki bas merentas gurun, tahu-tahu saya terlihat kabilah dengan kawanan unta. Pakaian mereka seumpama warga nomad; tapi mahu dikata badwi bukan badwi, dan bukan juga suku mongolia. Rupa mereka dari spesies Asia Selatan. Saat itu hati kecil saya berkata bahawa saya telah jauh meninggalkan negara saya.
Saya agak-agak luas gurun saujana mata memandang ini kurang lebih 77 ribu batu persegi. Melalui perbualan dengan salah seorang kaum musafir itu yang secara agak-agak kerana bahasa mereka hampir sama dengan bahasa Hindi yang saya ketahui serba-sedikit sejak berguru dengan Andy Hakim melalui THR Hindi Power beberapa tahun lalu, baru saya ketahui bahawa gurun ini digelar Gurun Thar, letaknya dalam Negeri Rajashtan. Negeri Rajashtan? Saya tertanya-tanya dalam hati, macam pernah saya dengar nama itu tapi di mana ya?

Sesudah jenuh menggoogle dalam kotak memori sendiri, akhirnya saya sudah ingat di mana. Dalam kotak memori saya Rajashtan dipadankan dengan seorang keturunan Khan bernama Salman yang pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh dua ekor chinkara, sejenis rusa spesies terancam. Kesalahan dilakukan semasa penggambaran filem "We Stand United".
Suatu malam, selepas beberapa hari tidur baring di Gurun Thar kerana bas yang meragam masih gagal dibaiki, saya mendapat mimpi bahawa penawar penyakit Daman Towilan yang saya cari-cari berada di Delhi. Kalau dari Gurun Thar ke Delhi dengan berunta berkuda begini mahu makan berhari-hari. Maka saya memikir-mikir alternatif yang sesuai dengan belanjawan berhemat saya. Aha! Mengapa tidak saya cuba berkereta api? Hanyasanya masalahnya bagaimana hendak ke stesen kereta api. Aha (sekali lagi)! Frank Martin! Anda kenal nama itu?

No comments: