Pages

Thursday 27 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 8


3.2  Hasil Minyak dan Shell-Fare State2

Menerusi Index Of Oil-Reliant States dalam artikel bertajuk Does Oil Hinder Democracy, Ross (2001: 326) telah membahagikan “nilai eskport berasaskan minyak dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)” bagi 25 negara pengeluar minyak dunia. Hasil pengiraan tersebut, Brunei memperolehi 47.58 mata sekaligus muncul sebagai negara yang paling bergantung kepada hasil minyak mengatasi negara-negara pengeluar minyak lain seperti Arab Saudi (33.85 mata, tempat ke-9).  Walaupun dapatan kajian bagi Brunei menggunakan data tahun 1994 sedangkan kebanyakan negara lain menggunakan data Bank Dunia bagi tahun 1995, namun perkara utama iaitu pergantungan Brunei yang keterlaluan terhadap hasil minyak tetap tidak boleh dipertikaikan.  Fakta ini selaras dengan sumbangan hasil minyak Brunei kepada pendapatan negara.  Terkini, pendapatan negara bagi tahun 2011/1012 ialah B$5.899 billion dan daripada jumlah tersebut, sebanyak B$5.174 billion datangnya daripada pendapatan minyak dan gas yang bersamaan hampir 90 peratus.  Data ini jelas membuktikan tahap kebergantungan Brunei yang sangat tinggi terhadap hasil minyaknya.

Berbalik kepada artikel yang sama, Ross (2001: 332) telah menjalankan ujian-ujian untuk mengesan sama ada wujud kaitan, dipanggil sebagai mekanisme penyebab (causal mechanisms), di antara hasil minyak dengan tahap demokrasi di negara-negara pengeluar minyak.  Tiga mekanisme penyebab yang dimaksudkan ialah rentier effect, repression effect dan modernization effect.

Ross (2001: 332) mengakui bahawa hasil ujian yang beliau jalankan menunjukkan hubung kait yang konsisten, walaupun bersifat lemah, di antara ketiga-tiga mekanisme penyebab disebabkan data yang diperolehi tidak lengkap dan berpotensi untuk menjadi berat sebelah.  Walau bagaimanapun, Ross (2001: 356) masih berpendirian bahawa keputusan ujian tersebut mampu berfungsi sebagai bukti kuantitatif bagi ketiga-tiga mekanisme penyebab.

Dalam konteks penulisan ini, saya pula akan melihat sama ada mekanisme penyebab yang diutarakan oleh Ross (2001) turut berlaku di Brunei dan sejauh manakah pelaksanaannya boleh menjejaskan proses demokrasi sekaligus mengukuhkan rejim pemerintahan sedia ada.  Namun begitu, saya hanya akan menumpukan kepada rentier effect dalam perbincangan seterusnya.

Menurut Ross (2001: 332), sebagai salah satu mekanisme penyebab, rentier effect berlaku apabila sesebuah kerajaan menggunakan hasil minyak bagi tujuan mengalihkan tekanan sosial yang diterimanya supaya bersikap lebih bertanggungjawab (accountability). Terdapat tiga kaedah yang diambil oleh sesebuah negara pengeluar minyak bagi memastikan rentier effect berlaku iaitu menggunakan taxation effect, spending effect dan group formation.  Walau bagaimanapun, penulisan ini akan mengecualikan perbincangan tentang group formation3 yang telah disentuh di bawah tajuk “Tahap Pembangunan Politik” (hlm. 7-11) bagi memberi tumpuan yang lebih kepada taxation effect dan spending effect.

No comments: