Pages

Friday, 28 October 2011

Memahami Singapura: Pelajaran Untuk Malaysia


Berdasarkan maklum balas dan tindak balas Singapura terhadap konflik-konflik yang berbangkit, dapat dikesan bahawa Singapura sentiasa bersikap tegas dan berkeyakinan tinggi terhadap pendiriannya terutama apabila melibatkan konflik serantau dan antarabangsa. Singapura tidak dibelenggu rasa rendah diri walaupun berdepan dengan kuasa besar dunia. Misalnya, meskipun China mendesak supaya lawatan ke Taiwan oleh Lee Hsien Loong pada tahun 2004 dibatalkan kerana didakwa tidak selaras dengan dasar One China Policy, namun lawatan tersebut tetap diteruskan. Justeru, tidak hairanlah konflik dengan negara kurang berpengaruh lebih mudah ditangani. Umpamanya, apabila Malaysia menuntut kenaikan terhadap harga air per seribu gelen yang lebih munasabah berbanding harga sedia ada iaitu tiga sen, Singapura tidak akur dengan tuntutan tersebut. Sebaliknya, isu dialihkan dengan berhujah bahawa kadar harga baru perlu dipersetujui bersama selaras dengan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Singapura juga tidak sewenang-wenangnya berganjak apabila mereka telah membuat sesuatu keputusan. Contohnya, sungguhpun kepimpinan baru menerajui Malaysia pasca-Mahathir lebih berdiplomasi dalam menyelesaikan konflik, namun Singapura tidak menarik semula proses perundangan yang telah dimulakan.

Namun demikian, dalam menangani konflik dalaman tertentu, Singapura mempamerkan sedikit sikap bertolak-ansur dan bersedia untuk memenuhi tuntutan yang pada hematnya tidak keterlaluan dan sudah sampai masa untuk diberi perhatian sewajarnya. Contohnya, dalam isu layanan tidak sama rata terhadap kaum wanita, pada tahun 2004 Singapura akhirnya menghapuskan kuota mahasiswa wanita yang menuntut di National University of Singapore dalam jurusan perubatan. Faedah perubatan kepada keluarga dan anak-anak yang selama ini hanya dinikmati oleh pekerja lelaki sahaja turut diperluaskan kepada pekerja wanita.

Asas pertimbangan Singapura dalam konteks hubungan antarabangsa ialah pendekatan strategik. Oleh yang demikian, Singapura bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik yang erat dengan Amerika Syarikat bahkan dengan China. Hubungan dingin di antara Amerika Syarikat dan China tidak dipedulikan oleh Singapura asalkan hasratnya untuk mengekalkan tahap keselamatan bagi mencapai kemakmuran ekonomi berjaya. Walau bagaimanapun, hubungan akrab yang dijalin dengan negara-negara kuasa besar tersebut tidak menjadikan Singapura "pak turut" kepada mereka. Malah, Singapura sering menegaskan keperluan negara dan pihak lain untuk menghormati pendiriannya. Perkara utama yang selalu ditekankan oleh Singapura ialah mempertahankan kedaulatannya dengan menjadikan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain termasuk kuasa-kuasa besar dunia sebagai hubungan dua negara yang setaraf. Pendekatan unik Singapura inilah yang kebiasaannya tidak difahami oleh pelbagai pihak lalu cenderung melabelkan Singapura sebagai pro negara-negara tertentu. Hakikatnya, Singapura akan menyokong sesiapa dan apa sahaja asalkan selari dengan kepentingannya.

Rujukan:
Simon Tay, S.C. 2004. Singapore: Review of major policy statements. 2004 Singapore Year Book of International Law and Contributors. hlm. 219-234.

No comments: