Pages

Thursday, 27 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod Akhir

 
4.    KESIMPULAN

Setakat ini, berdasarkan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan Brunei di bawah sistem monarki sedia ada, pada pengamatan saya legitimasi akan terus mendominasi pembangunan politik di Brunei.  Legitimasi juga bertambah kukuh disebabkan rakyat terlalu menyanjungi dan menghormati Sultan walaupun ironinya mereka sepatutnya bersikap kritis terhadap gaya hidup bermewah-mewahan Sultan dan kaum kerabatnya sedangkan masih ramai rakyat berada dalam kancah kemiskinan. 

Walau bagaimanapun, saya meramalkan amalan demokrasi yang lebih terbuka akan beransur-ansur bukan sahaja menjadi ancaman bahkan menjadi alternatif kepada legitimasi dalam konteks pembangunan politik sekiranya hasil minyak Brunei semakin merosot dan menjejaskan belanjawan negara.  Hal ini disebabkan ekonomi Brunei sangat bergantung kepada hasil minyak yang kemudian dioptimumkan untuk melaksanakan polisi-polisi mekanisme penyebab rentier effect bertujuan mencegah desakan rakyat supaya kerajaan membuka lebih banyak ruang demokrasi. 

Perkembangan terkini menunjukkan jangkaan saya itu berpotensi menjadi kenyataan sebagaimana diakui sendiri oleh Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2011) Perbekalan 2011/2012 pada hari kedua Majlis Mesyuarat Negara 2011.  Menurut beliau, kesan positif daripada kenaikan harga minyak dunia tahun 2010 masih terhad disebabkan kadar pengeluaran minyak negara yang rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya di samping kos pengeluaran minyak yang semakin meningkat dan juga nilai mata wang Dollar Amerika Syarikat yang semakin menurun.

Apabila nantinya hasil minyak Brunei semakin merosot sehingga menjejaskan belanjawan negara, rakyat akan menerima kesan langsung kerana semua keistimewaan dalam bentuk subsidi, elaun khas, pengecualian cukai pendapatan individu, pengecualian duti import kenderaan dan pelbagai faedah lain yang dinikmati sekarang akan dikaji dan distruktur semula oleh kerajaan.  Saya berkeyakinan bahawa rakyat Brunei yang pada masa itu mula merasai bebanan ekonomi sebagaimana dialami rakyat Malaysia sekarang akan semakin lantang menuntut sesuatu daripada kerajaan sebagai ‘pampasan’ kepada kesulitan hidup mereka.  Dari kaca mata saya, pampasan yang dikehendaki tidak semestinya berbentuk faedah nyata, bahkan jauh lebih penting adalah menuntut pertanggungjawaban daripada Sultan, sekurang-kurangnya baginda perlu turut serta membentang dan mempertahankan polisi-polisi kerajaan semasa sidang MMN.  Ketika itu, Brunei berada di landasan yang betul ke arah sebuah negara demokrasi.


Nota
__________________________________
1            Menurut takrifan The Economist Intelligence Unit, antara ciri negara di bawah kategori authoritarian regimes adalah kebanyakannya tidak mempunyai (atau terhad) dari segi kepelbagaian politik, bercorak kediktatoran, pilihan raya (sekiranya ada) tidak bebas dan adil, media massa sama ada dimiliki oleh pemerintah atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pemerintah, kritikan terhadap pemerintah disekat dan mengamalkan penapisan keterlaluan.   
2            Shell-fare State merujuk kepada Brunei sebagai negara kebajikan (welfare state) yang menyediakan pelbagai manfaat kepada rakyat menggunakan hasil daripada carigali minyak oleh Royal Dutch Shell.
3             Group formation merujuk kepada penggunaan hasil minyak oleh sesebuah kerajaan untuk mencegah pembentukan kumpulan sosial yang bebas daripada kerajaan dan cenderung untuk menuntut hak-hak politik.
4            Semua jenis kenderaan yang diimport oleh rakyat Brunei tidak dikenakan duti import selaras dengan “Tambahan Kepada Warta Kerajaan Bahagian II” bertarikh 13 Februari 2008.  Polisi Kerajaan Brunei ini mendorong rakyat membeli kenderaan baru, tambahan pula alat ganti kenderaan dikenakan duti import sebanyak 20% setiap kilogram.
5            Antara bidang-bidang kritikal yang layak diberikan status pioneer industries oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama dan masih belum diceburi oleh mana-mana syarikat ialah kaca, plastik dan sintetik, baja dan racun serangga, dan gas.
6            Bagi syarikat bermodal tetap sebanyak B$500 ribu tetapi kurang dari B$2.5 juta, cukai dikecualikan selama lima tahun manakala syarikat bermodal tetap melebihi B$2.5 juta dikecualikan cukai selama lapan tahun.
7            Bagi mengelakkan majikan menanggung bebanan caruman yang berlebihan, amaun maksimum caruman oleh majikan sebanyak 3.5 peratus adalah berasaskan maksimum gaji pekerja yang dihadkan pada B$2,800.  Oleh yang demikian, walaupun pekerja memperolehi gaji melebihi B$2,800, kadar caruman majikan hanya setakat 3.5 peratus x B$2,800.
8            Perenggan ke-14 Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam menyatakan bahawa manfaat survivorship bertujuan menjamin kesejahteraan hidup bagi tanggungan-tanggungan peserta SCP apabila peserta tersebut meninggal dunia.  Manfaat ini mempunyai dua komponen iaitu manfaat perlindungan survivorship dan manfaat pencen Skim SCP khas bagi tanggungan.
9            Perenggan ke-12 Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam menyatakan, bagi generasi peralihan iaitu mereka yang menyertai Skim TAP sebelum Skim SCP diperkenalkan, mereka dikehendaki mencarum sebaik sahaja Skim SCP diperkenalkan.  Mereka juga akan layak menerima insentif catch-up atau bayaran caruman secara kebelakangan.
10          Perenggan kelima Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam mentakrifkan sektor informal sebagai warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun ke atas yang telah bekerja atau berniaga secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan diri sendiri atau untuk menyara ahli keluarga seperti nelayan, petani dan peniaga / pengusaha kecil persendirian (self-employed). 

No comments: