Dalam dunia politik Malaysia, banyak kisah seorang putera yang tidak kesampaian menaiki takhta. Penulis tidak ingin bicara tentang dunia aristokrasi yang ada pencak silat politik tersendiri. Apa yang ingin disentuh ialah tentang nasib beberapa politikus Malaysia yang sudah tersangat hampir ke mercunya, tapi atas sebab-musabab tertentu yang ditakdirkan Allah maka hasrat mereka tidak kesampaian.
Ku Li satu ketika merupakan tokoh karismatik yang terang-benderang bintangnya, merupakan Naib Presiden paling kanan dalam UMNO, juga menteri kanan dalam kerajaan persekutuan. Entah apa sebabnya, apabila jawatan Timbalan Perdana Menteri kosong, Tun Hussein tidak memilih beliau sebaliknya Naib Presiden lain yang lebih rendah hierarkinya berbanding beliau. Ku Li kemudian mencabar Naib Presiden yang telah menjadi Perdana Menteri itu, tetapi tewas walaupun rakyat Malaysia pada umumnya telah bersiap-sedia menerima Presiden baru UMO sebagai Perdana Menteri baharu juga. Ku Li mencabar lagi BN dalam PRU tahun 1990, tetapi kes "sigah Kadazan berimej salib" di"spin" sangat dahsyat sehingga kehilangan undi Melayu. Ku Li kembali semula ke dalam UMNO serentak pembubaran Semangat 46 namun tidak pernah berjaya lagi menjawat jawatan berpengaruh dalam parti mahupun kerajaan selain merajai Gua Musang. Karier politik Ku Li akan tamat di situ.
Husam Musa merupakan, bak kata Joceline Tan dalam The Star, "blue-eyed boy" Tok Guru. Penulis pernah berselisih dengannya di Parlimen, benar seperti kata Joceline Tan juga, tinggi orangnya, sementelahan ketika itu hampir 10 tahun lebih muda dari sekarang, justeru "boyish" juga. Mendengar beliau berbahas dalam Parlimen merupakan satu pengalaman menarik kerana lazimnya penceramah PAS berceramah tanpa isi selain mengutuk UMNO dan BN. Tetapi Husam berhujah dengan fakta tanpa menggunakan kata-kata kesat terhadap lawan politiknya. "Rare breed" dalam PAS, memikat hati pemerhati dan penggemar politik yang teringin melihat politik idea dan bertamadun mengambil tempat di Malaysia. Malangnya, benda-benda 'rare' tergolong dalam 'collectibles'; hanya bernilai di mata mereka yang tahu menghargainya, seperti pengumpul barangan antik misalnya. Di kalangan orang yang tidak menggemari benda-benda 'rare', siapa pun mereka, Husam dilihat tidak berfaedah untuk disediakan ruang untuk menyimpannya. Terbuanglah Husam dari saf kepemimpinan kerajaan negeri, tanpa mungkin ada ruang kembali. Karier politik Husam akan paling tinggi setakat Naib Presiden parti.
Muhyiddin Yassin sebenarnya hampir sangat dalam karier politiknya untuk menghuni Seri Perdana. Tapi roda politik berputar pada kadar yang sukar dijangkakan kelajuannya. Seusai PRU-13, seakan-akan beliau menjadi harapan ahli-ahli beraliran kanan untuk mencabar teraju parti. Namun apabila beliau mengekalkan jawatan sedia ada, harapan yang disandarkan juga melebur. Susulan itu, jika diperhatikan beliau tampak hanya meniti masa-masa kecederaan dalam karier politiknya. Wajahnya nampak letih, tidak memperlihatkan zeist atau kobaran semangat meluap-luap untuk menerajui Malaysia. Kemuncak kelesuan itu pada hemah penulis adalah apabila beliau mengulangi ikrar raja-raja Melayu dalam perjanjian berat sebelah zaman dahulu kala yang menguntungkan penjajah. Dalam kempen PRK Sungai Limau baru-baru ini, beliau berikrar akan mempertahankan pendidikan vernakular "selagi ada bulan dan bintang". Penulis faham dalam kempen pilihan raya segala macam akan dijanjikan untuk meraih sokongan. Tetapi dengan memberi jaminan bahawa status quo tidak akan berubah sampai kiamat sangat keterlaluan, apatah lagi apabila keluar dari mulut pemimpin yang tidak dikenali sebagai proliberal. Kelak nantinya ada saranan untuk menyepadukan pendidikan kebangsaan, nama Muhyiddin akan terus disebut-sebut oleh pendokong aliran pendidikan memencilkan diri ini sebagai hujah menyokong. Dengan ikrar sedemikian, beliau juga kehilangan sokongan aliran kanan Melayu dalam parti dan negara. Sebagaimana Ku Li dan Husam Musa, jam politik Muhyiddin sedang kehabisan pasirnya.
No comments:
Post a Comment