Pages

Friday 18 October 2013

Krisis Perpaduan Melayu: Sukar Bersatu Walaupun Dalam Perkara Yang Sangat-Sangat Perlu

Semasa Peristiwa Natrah di Singapura, ramai orang Melayu terkorban. Padahal boleh sahaja mereka melihat isu Natrah sebagai isu peribadi, juga isu rumah tangga melibatkan sekadar beberapa individu. Tetapi pemikiran dan rasa sayang orang Melayu ketika itu kepada kesucian akidah saudara seagamanya, walaupun ketika itu mereka bukanlah faqih dan komited sangat kepada amalan beragama, walaupun saudara seagamanya itu bukan berbangsa Melayu telah menyemarakkan perasaan mereka untuk bangkit menunjuk perasaan. Mereka tentu sedar apalah daya mereka hendak berlawan dan menang menentang kuasa penjajah Inggeris dan Belanda ketika itu, tetapi mereka tidak peduli kerana yang lebih penting mereka mencuba sedaya upaya. Barangkali mereka disorot dengan kisah seekor burung yang berulang-alik membawa air dengan paruhnya untuk memadam api yang membakar Nabi Ibrahim. Nilaiannya bukan kadar, tetapi perbuatan. Sepatutnya apabila amalan beragama semakin kuat, dan negara tidak lagi terjajah, orang Melayu lebih wajar menunjukkan kesepakatannya dalam hal-hal bersama. Malangnya, seperti zaman UMNO Singapura vs. Liga Muslim dahulu lagi, akan ada sekumpulan orang Melayu yang cenderung bersikap dan berpendirian bertentangan dengan satu pihak lain. Isu 'perebutan' kalimah Allah merupakan contoh yang nyata. Dengan keadaan sekarang, katakanlah Mahkamah Persekutuan nantinya yang mungkin sahaja dihakimi oleh hakim-hakim bukan Islam memutuskan bahawa kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan Herald, penulis tidak nampak akan berlaku rusuhan sepertimana isu Natrah di Singapura dahulu. Memang bukan rusuhan yang kita mahukan, dan rusuhan juga bukan kayu ukur untuk menunjukkan kekuatan dan ketegasan pendirian, tetapi penulis menjangkakan keputusan sedemikian juga akan menghasilkan sambungan siri sikap acuh tak acuh orang Melayu Islam dalam hal perpaduan. Falasi dalam isu kalimah Allah ini ialah sekiranya orang Melayu Islam berkata bahawa Allah itu bukan Tuhan orang bukan Islam. Isu itu satu penyelewengan fakta. Tok Guru Nik Aziz sendiri dalam ucapan dan misi dakwahnya semasa menjadi Menteri Besar Kelantan selalu menceritakan kepada orang bukan Islam termasuk sami-sami Buddha bahawa Tuhan umat manusia ialah Allah subhanahu wata'ala. Soal orang bukan Islam tidak menjadikan Allah sebagai sembahan mereka merupakan isu lain. Isu kalimah Allah sebetulnya ialah usaha nak menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald. Inilah yang perlu diambil perhatian. Bagaimana mungkin Allah yang tidak dijadikan sembahan mereka tahu-tahu hendak digunakan sebagai gantinama 'God' dalam penerbitan; berbahasa Melayu pula tu. Bagaimana sifat-sifat Allah yang suci daripada "beranak dan diperanakkan" digunakan dalam konteks yang menghina kesucian sifatnya. Sudah tentukah orang Melayu Islam menaruh syak bahawa ini usaha dakyah untuk memurtadkan anak-anak Melayu Islam. Sesungguhnya Allah yang Maha Suci tidak akan terjejas sifatnya sama ada dibela atau tidak. Sebaliknya manusialah terutamanya yang beragama Islam yang memerlukan Dia. Dalam usaha menunjukkan bahawa sesungguhnya kita benar-benar perlukan Dia, selain mensucikan sifatnya dari tafsiran songsang, ialah berusaha sedaya upaya sehingga ke penghujungnya menangkis ancaman akidah yang bakal muncul pada masa depan. Beberapa generasi telah menjadi mangsa akibat kesilapan dasar berhubung tulisan Jawi. Jangan biarkan perkara sedemikian berulang lagi. Selemah-lemah kita menunjukkan perpaduan atas halangan keterikatan dengan konsensus sebuah pakatan, jangan sampai generasi akan datang dan sejarah mengenang kita sama spesies macam cicak, yang sedemikian kecil masih tergamak menyumbang tenaga menghembus api supaya marak membakar seorang Nabi.

No comments: