Pages

Monday, 25 June 2012

Perkhidmatan Awam Malaysia: Berkecuali Bukan Bererti Tidak Berpihak

"Question: It is said that some civil servants are being influenced by promises made by the opposition. What do you have to say about this?

Answer: They should know better. Don't be taken in by empty promises. As civil servants we must be loyal to the King and serve the government of the day. It is important that we know our role as civil servants and carry out our responsibilities well."

Pelbagai versi kecaman oleh pihak propembangkang kepada KSN.  Entah apa sebenarnya mesej yang sampai kepada mereka.  Entah mereka baca betul-betul atau tidak wawancara tersebut.  Melihat dari kecaman yang bermacam-macam, nampak sangat pakai tembak ikut dan.

Pada saat-saat PRU-13 semakin hampir, lawan kepada BN sekali lagi menyerlahkan sikap terburu-buru mereka yang sangat membingungkan.  Kali ini mencari musuh dengan penjawat awam.  Kalau mereka baca betul-betul, dan mereka berusaha sedikit (janganlah baloq liat sangat) untuk memahami prinsip perkhidmatan awam negara, tembakan rambang sedemikian tidak akan kedengaran.  Prinsip 'neutrality' yang didokong oleh perkhidmatan awam Malaysia selalu disalah tafsir oleh orang ramai, khususnya golongan politikus yang kerjanya mempolitikkan hatta perkara-perkara bukan isu sekalipun. 

Apa maksud prinsip 'neutrality' dalam konteks perkhidmatan awam Malaysia?  Sepatutnya para politikus ini sudah lama khatam maksudnya, tapi memandangkan mereka masih tidak faham-faham biar dijelaskan buat kali terakhir.  Dalam konteks perkhidmatan awam Malaysia, prinsip tersebut bukan bermakna "penjawat awam tidak dibenarkan sama-sekali berpihak kepada mana-mana parti."  Bahkan mereka "wajib berpihak."  Mengejutkan?  Tidak, bagi mereka yang mengerti. 

Penjawat awam wajib berpihak kepada kerajaan sedia ada yang sedang memerintah, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.  Oleh sebab kerajaan dibentuk oleh sesebuah/gabungan parti politik, maka kewajiban keberpihakan penjawat awam adalah juga kepada parti pemerintah tersebut.  Keberpihakan mereka bukan bermakna mereka wajib juga mengundi parti pemerintah dalam pilihan raya.  Itu sisi yang lain dan setiap penjawat awam sepertimana rakyat Malaysia yang lain bebas mengundi parti mana yang disukai.  Keberpihakan di sini bermakna penjawat awam wajib mendokong dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan sedia ada.  Sokongan adalah bersifat mutlak, padu dan bulat; tanpa ragu-ragu, berbelah-bahagi mahupun berpilih-pilih mengikut pertimbangan peribadi, keadaan, kesesuaian atau kecenderungan ideologi politik sendiri.  Benci macam mana sekalipun dengan perangai pak-pak menteri, bertentangan setara mana sekalipun dengan hati nurani, polisi dan arahan kerajaan yang memerintah mesti dilaksanakan.  Itulah intipati prinsip neutrality.  Komitmen terhadap prinsip inilah membuatkan penjawat awam mampu bekerja di bawah mana-mana pihak yang membentuk kerajaan. 

Itulah yang dimaksudkan oleh KSN sebagai "... serve the government of the day."  Mantra itu sangat lazim dalam lingkungan penjawat awam, selalu diulang-ulang, sampai jadi klise.  Dalam bahasa Melayu, "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung."  Kalau politikus terbabit dan seangkatan dengannya langsung tak pernah dengar terma seklise begitu, nampak sangatlah betapa jauuuhhh...nya mereka dengan segmen strategik kuasa dan kumpulan pengundi.  Kekurangan penghayatan dan penjiwaan terhadap perkhidmatan awam Malaysia ini dicerminkan menerusi tawaran gula-gula pemikat hati penjawat awam yang bersifat tangkap muat. 

Sebagai rekod, KSN hanya menyebut perihal kesetiaan kepada Agong, bukannya kesetiaan kepada BN pun.  Dari sudut ini sewajarnya kenyataan beliau diberi nilaian sebagai profesional.  Sungguhpun begitu, realitinya ialah mana-mana parti yang membentuk kerajaan pasti mahukan jaminan kesetiaan daripada agen pelaksananya, dalam konteks ini para penjawat awam.  Zaman Tun M dahulu diperkenalkan Akujanji sebagai ikrar taat setia yang perlu ditandatangani oleh penjawat awam dan diperakukan oleh ketua jabatan.  Kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah bererti kestabilan kepada kelangsungan kuasa politik.  Tanpa kesetiaan penjawat awam, kerajaan yang memerintah hanya menunggu masa untuk rebah.  
 
Sepertimana BN perlukan jaminan dokongan penjawat awam di peringkat persekutuan, begitu jugalah halnya PR perlukan jaminan dokongan penjawat awam di negeri-negeri yang diperintahnya.  Sekiranya premis "taat setia hanya kepada Agong, bukan kepada BN" menjadi hujah, bagaimana pula jika di negeri-negeri PR penjawat awam mengambil ketetapan untuk "taat setia hanya kepada Sultan/YDP, bukan kepada PR".  Bukankah kacau jadinya dek pentadbiran kerajaan penuh dengan unsur-unsur sabotaj daripada penjawat awam sendiri.  Sedangkan Agong/Sultan/YDP ialah semata-mata simbolik, kuasa sebenar dipegang oleh pihak eksekutif, yakni sama ada BN atau PR.  

Bayangkan kalau prinsip neutrality seperti fahaman politikus dangkal dan sewaktu dengannya ini diamalkan.  Mengikut fahaman tersebut, adalah "salah bagi mana-mana penjawat awam untuk berpihak kepada mana-mana parti hatta parti pemerintah."  Sedangkan dasar-dasar kerajaan negeri PR sendiri terang-terang merupakan dasar yang diusul dan dicatur oleh parti.  Andainya masih mahu berpegang kepada definisi tersebut, janganlah salahkan penjawat awam di negeri-negeri terbabit sekiranya ada dasar kerajaan negeri PR yang tak bergerak-gerak.  Mereka 'kan hanya ingin berkecuali. 

Justeru, kepada politikus yang ketandusan isu, bersegeralah mencari air penerang hati kalau masih tak reti-reti, guna memahami bagaimana perkhidmatan awam Malaysia berfungsi.  Jangan semberono menyerang sesuatu perkara yang anda sendiri nantinya amat perlukan.  Mencari fasal dengan KSN yang menaungi semua penjawat awam semata-mata kerana kejahilan anda hanya mengundang petaka.  Sebagaimana pendulum yang boleh sahaja terhayun kembali mengena kepala.  Sebagaimana penjawat awam Selangor menghukum kerajaan penyandang sebelumnya gara-gara penyapu tahana.

Menyertai Semula Perlumbaan Tikus

Bulan hadapan, aku akan kembali bersama tikus-tikus yang lain dalam perlumbaan mengejar duniawi.  Oh, sayang sekali terpaksa meninggalkan alam kehidupan seorang pelajar yang keseluruhannya jauh lebih aman kecuali apabila perlu menyiapkan tugasan dan menghadapi musim peperiksaan.  Kedamaian itu diperkuatkan lagi dengan ingatan terhadap sabda nabi, yang berbekas di minda sejak zaman menadah telinga secara sambilan di hujung minggu universiti malaya, mafhumnya, barang sesiapa yang mencari jalan yang padanya ada ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ka sorga.  Bahagia bukan terngiang-ngiang sentiasa.

Demi menyertai perlumbaan kaum tikus, aku pun tidak tahu ke mana agaknya bakal tercampak.  Harap-harap dapat tempat yang sejahtera dan berkebajikan, sebagai lazim doa khutbah negeri selangor darul ehsan.   

Apa yang aku kejar dalam perlumbaan sesama tikus ini?  Aku tidak bercita-cita besar, kerana demi memenangi perlumbaan ini sangat ramai tikus-tikus yang gemar menonjolkan diri.  Mempromosi diri sendiri untuk sesuatu matlamat peribadi bukan caraku.  Belum dikira lagi tikus-tikus yang gerit sana gerit sini apabila makin hampir ke penamat perlumbaan.  Makin hampir ke penghujung makin dahsyat permainan.  Aku berlindung dengan Allah mohon dijauhkan dari segala kejahatan yang ada.  Cita-citaku sekadar bertahan sebelum benar-benar selamat dan terjamin untuk menarik diri.  Semoga Allah memberi kekuatan. Amin.

Saturday, 23 June 2012

Tiada Bintang Untuk Radix Fried Chicken Bangi

Sesetengah orang mungkin tak kisah. Asalkan keluaran orang Islam, bahan organik, kira o.k. dah la tu. Tapi orang berlatar belakangkan pemantauan, audit dan star rating macam aku pantang dan sakit hati tengok berlakunya perkara-perkara yang mencolok mata. Khususnya pihak yang core business depa ialah menawarkan servis.  [Ia segera mengingatkan pengalaman menggunakan Saudi Airlines, harap tudung saja dipakai, tapi tak mesra alam langsung, penumpang warga emas pun dimarahnya tak semena-mena, padahal semua penumpang merupakan 'pelancong' ke Arab Saudi. Dalam hati kecil saat itu aku sebagai rakyat Malaysia sangat-sangat berbangga kerana adanya syarikat penerbangan milik negara sendiri yang layanannya sangat tip-top dan berhemah, dari mula nak masuk pesawat, duduk, sampailah keluar dari pesawat. Kalau disuruh pilih antara menaiki penerbangan yang so-called Islamic tapi crew cabin nya tarik muka apabila diminta air suam untuk penumpang yang sakit, kemudian disuakan air sejuk, sesudah itu apabila diminta langsung tak sampai-sampai; dengan yang sering menguntum senyuman dan bersedia memenuhi permintaan penumpang tapi crew cabin wanitanya tak bertudung, nescaya aku pilih yang kedua. Memang layaklah MAS silih berganti dengan SIA menang award saban tahun. The rewards don't come for nothing.]

Masalah dengan peniaga Bumiputera Islam ini ialah mereka mengeksploitasi sokongan masyarakat Bumiputera Islam untuk terus berniaga, sedangkan servis teruk. Kalau jenama yang baru bertapak mungkin satu persoalan yang lain. Tapi ini jenama yang sudah sekian lama berniaga, apa cerita. Dari mula-mula buka di Sungai Petani beberapa tahun lalu, sampai la ni dah buka kat kawasan ni. Sepatutnya mereka kena letak penanda aras yang setara, walaupun lebih wajar sekiranya penanda aras itu lebih baik berbanding pesaing sedia ada di pasaran. Sebab apa kena lebih baik? Sebab mereka bawa imej Bumiputera Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan servis yang teruk dalam konteks ini? Ia dicerminkan oleh pemerhatian awal terhadap petugas kaunter depan. Apakejadahnya kalaupun takdak pelanggan beratur yang hang pi bertenggek kat depan tu bersembang dengan member di kaunter? Setakat ini belum pernah dalam pengalaman aku ternampak ada crew yang buat perangai tak semenggah lagu tu di restoran makanan segera lain. Punyalah ralit sampai pelanggan sampai pun tak sedar. Baguih punya perangai.

Mai pulak tang petugas kaunter, awat tak boleh ka cari hat cakap sopan santun sikit. Setakat letak crew wanita tapi cakap kasar gedegar, nak buat apa. Mata pulak terjegil-jegil. Apabila customer request nak sekian, sekian, acknowledge pun tidak; ya encik ka, baik encik ka, huh, customer pun tak tau minah tu faham ka dak, dengar ka dak. Tanya customer macam pak guard supermarket soal siasat suspek cilok barang. Budi bahasa fail. Bayangkan kalau frontliners pun perangai macam tu, apa nak diharap kepada geng-geng kat dapur tu. Bezanya yang kat dapur tu boleh kata semua lelaki. Tapi kalau letak depa kat depan barangkali tak banyak bezanya dengan minah tu dari segi courtesy.

Semua ini membuatkan aku terfikir beberapa perkara:

(i) Mana pi supervisor dia? Kalau ada kat situ, apa yang dia buat?

(ii) Syarikat tak bagi latihan secukupnya ka kat crew sebelum mula operasi? Kalau bagi, adakah tegha ni saja standard latihan yang ada?

(iii) SOP takdak ka?

(iv) Sampai bila nak bagi servis tegha ni? Sampai bila-bila ka? 

(v) Ada tak manager atau HQ buat lawatan mengejut, lebih baik lagi mystery shopping? Kalau tak ada, mengapa? Kalau ada, mengapa terjadi lagi servis macam ni?

(vi) Dengan case study yang ada, bolehkah diandaikan bahawa standard francais bagi cawangan lain pun sama saja? 

Lupakanlah nak bersaing dengan KFC dan McD, jauh panggang dari api kalau kualiti layanan di kaunter perkhidmatan pun macam hampeh. Outlets lain yang pelanggannya bertali-arus tak putus-putus pun boleh lagi maintain servis (dengan syarat tak kena maki). Ini pelanggan pun tak banyak mana, bahkan hanya sorang saja yang tercegat di kaunter waktu itu, dah kualiti servis merepek, apa cerita? That's it, sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu, tiga kali jalan jera. Kirim salam la nak pi kedai hang lagi, Radix Fried Chicken Bangi oi!

Wednesday, 20 June 2012

All Is Not Well

Peperiksaan penamat pengajian.  Terima kasih kepada tips yang sangat-sangat membantu dan mendamaikan.  Seperti jua Joy Lobo dalam sebuah cerita Hindustan; mangsa keadaan.

Friday, 18 May 2012

Antara Kurang Ajar dan Biadap

Cikgi yang mengajar Pengantar Terjemahan itu membawakan tema kontemporari zaman hari-hari rusuhan dalam kelas yang entah berapa cangok sahaja; ramainya student Cina. Almaklumlah, ramai kawan-kawan seMelayu lebih suka mengambil kelas Pengantar Penulisan sebagai mengelak penggunaan bahasa Inggeris yang berlebihan. Tanpa mereka ketahui, alangkah rileksnya kelas ini, dengan tugasan minimum dan final exam siap boleh bawa Kamus Inggeris-Melayu Dewan lagi (haha!). Alkisahnya, Al Gore diundang berucap dalam satu majlis di Malaysia yang turut dihadiri Dr. M. Dalam ucapannya itu, Al Gore menyelar pemerintah Malaysia dan menyeru reformasi (turut disebut; doi moi, dalam istilah Vietnam). Marahlah Dr. M, sampai mengolok-olokkan nama Al Gore dalam sebutan baku bahasa Melayu. Vintage Dr. M.

Berbalik kepada cikgi dalam kelas setahun dua lagi menjelang tahun 2000 itu, susulan daripada peristiwa Al Gore menyokong penjatuhan rejim sedia ada, reaksi golongan prokerajaan begitu meluap-luap. Noordin Sopiee (Allahyarham) selaku Ketua Eksekutif ISIS menyiarkan satu muka surat penuh dalam akhbar berbahasa Inggeris menyelar kembali Al Gore. Apa yang ingin ditekankan oleh cikgi adalah bagaimana Nordin Sopiee menggunakan istilah Melayu untuk menggambarkan perangai tak berhemah Al Gore. Istilah yang digunakan ialah "kurang ajar". Ulas cikgi, ini menunjukkan betapa istilah tersebut memiliki dampak maksimum yang tidak dapat diterjemahkan secara sebanding ke bahasa Inggeris.

Jungkir balik ke tika dan saat ini, Tunku Aziz apabila menyimpulkan tentang kelaku GE (bukan General Electric) mengistilahkan GE sebagai 'biadap'. Sebagai penutur 'jati' bahasa Inggeris, seperti juga Noordin Sopiee, sudah pasti Tunku Aziz boleh sahaja mencari istilah Inggeris yang hampir seerti, namun seperti juga istilah "kurang ajar" barangkali tiada istilah Inggeris yang sebanding dengan 'biadap' dari segi ke'berat'an dan dampaknya. Dari sudut yang lain, fahamilah bahawa orang Melayu, se'kemenaraan' manapun ia, apabila melontarkan istilah-istilah sedemikian dalam bahasanya sendiri maka bermakna mereka dalam keadaan yang teramat-amat marah. Dan selalunya ia berkait rapat dengan persoalan maruah.

Wednesday, 9 May 2012

Rupanya Menyuarakan Rasa Kebertanggungjawaban Itu Salah

Cikgu aku selalu kata semasa mengajar beberapa penggal lepas, sistem parti di Malaysia ni terlalu kuat. Kalau tak selari dengan pendirian parti, alamatnya mendapat la. Walaupun sanggahan itu memang berasas pun, dan ternyata benar.

Demikian, apabila Tunku Aziz ditahana sedemikian rupa, ia hanya siri pengesahan rupa paras sistem parti yang memang sedia ada, baik di pihak sana atau sinun. Sebab itu juga, setiap kali tokoh berwibawa dan berintegriti, sama ada agamawan, profesional atau sesiapa sahaja yang dihormati dan ternama dalam masyarakat meluahkan hasrat menceburi politik di Malaysia, aku sentiasa berharap hasrat itu terbatal. Satu, kerana aku sentiasa percaya khalayak mereka lebih meluas kiranya mereka tidak berpihak kepada sesiapa kecuali kebenaran, yang belum terjamin ada dan dapat dipertahankan dalam parti yang disertai. Sebaik sahaja seseorang itu masuk mana-mana parti, satu bahagian besar masyarakat yang selama ini mengaguminya mula berpaling daripadanya. Dari sudut dakwah contohnya, ini satu kerugian. Dua, kerana pe'el makhluk-makhluk policencorot dalam parti-parti ini hanya akan mempergunakan mereka. Sampai satu masa bila santan sudah habis diperah, that's it. Good bye and good riddance they bid u.

Persoalan penting: Apa lagi locus standi yang ada jika kebebasan bersuara yang dituntut tidak pun diraikan (apatah lagi diamalkan) pada peringkat lebih bawah seumpama parti sendiri? 

Tuesday, 24 April 2012

Godek-Godek Moodle: Teman Sekuliahku Juga Manusia Biasa

Memandangkan password dah betul tajwidnya, yang mana huruf besar yang mana huruf kecil yang mana underscore, mustahil kalau masih tak boleh log in. ID pun dah betul. Banyak kali dah cuba key in ID dan password ni. 2-3 kali juga aku dapatkan pengesahan daripada dia. Dengan deria intuisi Tujuh Penyiasat Enid Blyton bercampur Detective Conan Edogawa, lalu aku pun bertanya, "Dah sign up ke?".

"Ooo...".

Seketika kemudian kawan yang sama bertanya lagi, "Ni macam mana ni?". Aku melihat di skrin lappy nya. Sepatah h***m pun aku tak faham. "Patutnya tukar ke bahasa Inggeris tadi", nasihatku ringkas. Paling munasabah aku sarankan adalah cuba tekan satu-satunya button yang ada di bawah perenggan berbahasa Jerman itu. Malangnya, tekan-tekan button kat situ pun macam tak jadi apa juga. Lalu aku teringat paparan sedemikian bagai pernah ku alami. Dengan kronologi selepas sign up, telahan ku nampak logik. "Kena check e-mail untuk verify pendaftaran tadi", aku mencadangkan.

"Ooo...".

Nota:

Hari Buruh tahun ini cikgu menyuruh kami ke udara pada pukul 9.30 malam waktu Malaysia Barat thru Moodle. Kami akan berdiskusi isu-isu hak asasi manusia bersama bebudak sekolah di Jerman (2.30 petang) dan Afghanistan (6.30 petang). Harapnya aku tak pengsan selepas sampai dari Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan. Sama deadline untuk upload problem statement isu hak asasi manusia terpilih dari Universal Declaration of Human Rights 1948.

Tuesday, 17 April 2012

Penguatkuasa, Di Mana Anda?

Bagi orang yang sentiasa berusaha mematuhi peraturan jalan raya, aku selalu terganggu angkara durjana pengguna jalan raya lain yang memandu atau menunggang sesuka hati depa. Apatah lagi mereka merupakan pemandu kenderaan awam.

Tadi pun sama. Di suatu seksyen di Bangi, kawasan deretan rumah kedai merangkumi hospital swasta, ada sekoq teksi yang pemandunya ketegaq ya amat. Kot ya pun undur la bagi laluan, dah la hang tu menyongsang arus one way. Ada kot dekat seminit buleh buat bodo tak bergerak, dah aku suruh berundur pun tak mau. Kereta-kereta kat belakang pun dah bersusun. Kenderaan yang diletak di kiri-kanan jalan sehala itu juga memustahilkan lebih dari satu kenderaan lalu pada satu masa. Bila turun bagitau buleh buat tak faham, disuruhnya aku masuk ketepi. Apaketooootnya, dah la tadi masa belok naik bukit tu tayar terlanggar curb, menjelaskan betapa sempitnya ruang yang ada. Last2 pandai pulak dia yang masuk ke parking lot tepi curb tu menunggu giliran untuk turun bukit ke jalan besar.  

Tu satu kajian kes perangai pemandu teksi dalam topik jalan sehala. Entah macam mana buleh dapat lesen pun tak tau. Ada lagi kes yang sama mengarut dan mencekik darahnya iaitu kenakan tambang tak pakai meter. Antaranya di Stesen Komuter UKM dan Hentian Kajang. Seorang anak penakan ni sanggup tunggu mak penakan dia sebab drebar teksi di Hentian Kajang kenakan tambang RM25 ke kawasan perumahan sebelum UKM, padahal jarak dalam 5-6 kilometer saja pun. Kes satu lagi pula, tambang biasa standard tanpa meter dari Stesen Komuter UKM ke UKM dibantainya dekat RM10, padahal perjalanan dalam 5 minit lebih saja.

Kalau pihak penguatkuasan di kejiranan Bangi / Kajang ini hendak menyanggah persepsi umum bahawa mereka dilihat tidak berfungsi, kes-kes dan lokasi-lokasi yang dikemukakan ini sudah lebih daripada tip-off. Malah kalau tak sebut pun depa sudah sedia tahu. Tapi kalau tak kisah, terpulanglah. Gaji jalan jugak. Dok gitu? Hanyasanya doa orang yang teraniaya ni kita sukar tentukan radius kawasan liputannya.

Wednesday, 11 April 2012

PTPTN dari Kaca Mata Seorang yang Tidak Berkepentingan

Pertama sekali premis hujah dan niat kena betul. Kalau asasnya berhutang dah tu tak mau bayar, hat tu spesies tak bertanggungjawab. Tak masuk buku dalam entri ini. Logik dan pragmatik lah sikit, dengan segala macam subsidi yang diberi oleh kerajaan Malaysia, sedangkan berapa kerat sangat negara di dunia ini yang memperuntukkan tu dia nala punya banyak macam-macam jenis subsidi untuk rakyatnya, takkan nak belajar sampai PhD pun nak free. Sentiasa ada opportunity cost di dalam ini dunia. We get some, we lose some.

Aku pernah terdetik bahawa pihak mana pun yang berjaya menangkap keluh-kesah anak muda tentang PTPTN ini akan beroleh untung politik. Nampaknya PR tembak dahulu; di luar imaginasi yang ada sehingga ke peringkat membatalkan sama-sekali. Aku cuba melihat secara objektif. Tak payah minta PR beri biasiswa kepada semua pelajar IPT di negeri tadbiran masing-masing pun pada peringkat awal ini. Cukup kalau mereka dapat sediakan dana pinjaman (menerusi yayasan pendidikan negeri atau peruntukan khas), lagi cantik tanpa caj pentadbiran, bunga, atau apa sahaja namanya yang bermaksud keuntungan pada kadar yang menekan seperti PTPTN sekarang. Bagi kat semua anak negeri yang nak masuk atau sedang belajar di IPT. Buat itu dahulu, kalau mampu. Kalau itu pun tak mampu, maka mai mana kemampuan untuk hapus kira pinjaman PTPTN untuk semua dan bagi biasiswa kepada semua pelajar IPT seluruh Malaysia. Tang mana nak ambil dana? Duit KWSP? Duit Petronas? Amboi, nak cover duit mansuhkan tol seluruh Malaysia pun hari tu kata nak guna duit KWSP juga. Dah tu sikit-sikit nak korek duit Petronas. Kalau betul lubuk emasnya KWSP dan Petronas, jelas tak sihat untuk ekonomi negara,  tak amanah,  juga tak kreatif. Agaknya kalau Jomo K.S. tak sibuk berkempen nak jadi Pengarah ILO apalah agaknya kata dia tentang benda ni semua.

Kalau ada yang kata BN khususnya UMNO tak peka dengan masalah ini, sebenarnya mereka silap. Masa timbul isu-isu lain susulan kadar ujrah 1% itu (leverage dll.), UMNO respons menerusi Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia yang mendengar keluhan pelajar tentang bebanan melangsaikan hutang PTPTN. Serius, aku ada sekali di sebuah IPTA dalam sebuah majlis dialog semasa seorang pelajar meluahkan kekesalannya berhubung amaun pembayaran balik pinjaman PTPTN yang dirasakannya sangat menindas (pelajar itu istilahkan sebagai "along berlesen") kepada Dato' Azeez yang berjanji membawanya ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Isu-isu susulan itu selesai, dengar ceritanya bertekak dalam mesyuarat kabinet.

Cuma, diulangi, cuma, UMNO dan BN boleh berbuat lebih banyak lagi bagi mengurangkan bebanan lepasan IPT yang berusaha bersungguh-sungguh nak langsaikan hutang PTPTN, tapi selalunya kecewa sebab hutang macam tak luak-luak. Merekalah golongan majoriti dalam isu PTPTN ini yang perlu disantuni. Mereka tak minta pun kerajaan hapus kira hutang PTPTN mereka. Mereka cuma minta lebih bertimbang-rasa. Apatah lagi sekarang susah nak dapat kerja, sedangkan hutang PTPTN perlu dibayar 6 bulan selepas tamat belajar. Tolong selami perasaan mereka, yang bertungkus-lumus menghantar resume, menghadiri temuduga, mencari apa sahaja kerja sungguhpun tak setimpal dengan kelayakan mereka demi sebuah harga diri di mata masyarakat dan kaum keluarga, serta bagi membayar hutang PTPTN. Sangat sedih keadaannya. Baru-baru ini seorang kawan sekuliah terserempak rakan seijazah pertamanya di sebuah pusat membeli-belah ibu kota sedang mempromosikan pakej broadband. Masing-masing kelu untuk berbicara, belajar tinggi-tinggi tapi itu natijahnya. Sayu memang sayu, apakan daya hutang PTPTN perlu dibayar.

Aku tak ada kepentingan sebab pinjaman aku dah selesai berbayar. (Terima kasih JPA kerana sudi menawarkan pinjaman waktu zaman gawat dulu. Memang tak dapat dah pinjaman macam tu; banyak mana pinjam banyak tu bayar, dengan permulaan bayaran balik dalam tempoh masa yang munasabah berbanding 6 bulan yang kebiasaannya seseorang peminjam itu sudah pun bekerja dan mendapat gaji berpatutan yang membolehkan bayaran ansuran pinjaman dilunaskan, seterusnya nampak lah penyusutan hutang pinjaman.) Hanyasanya aku ingin melihat kebajikan rakyat khususnya generasi muda Malaysia terpelihara. Ini bukan perihal bangsa; segelintir orang kata isu PTPTN ini agenda sulit pihak tertentu terhadap orang Melayu yang akan terjejas sekiranya apa-apa berlaku kepada PTPTN. Sungguh jijik dan terkutuk sesiapa yang menjadikan isu ini isu perkauman. Pada hemat aku, dalam sekian banyak benda yang boleh dipolitikkan dan diniagakan untuk keuntungan, pendidikan harus dikecualikan. Pada zaman moden ini, keperluan asas setiap insan bukan lagi sekadar Roti, Kapada aur Makan, tapi juga termasuk pendidikan, tak kiralah apa pun bangsanya.

Kemas kini baru sat-sat tadi (11 April 2012, 11.00 malam) sempena program Dialog di TV1:

Syabas Pemuda UMNO thru panelis Ustaz Syahrin bekas moderator Forum Perdana Ehwal Islam atas tekad dan gerak kerja pemansuhan secara bukan demonstrasi bagi 1% ujrah (Pengurus Kanan PTPTN kata kadar itu bagi membiayai gaji & kos operasi PTPTN, pergh, macam GST pulak main pindah-pindah beban). Sebab statistik yang disebutnya menyatakan sedikit sangat peminjam yang enggan bayar, dalam erti kata lain majoriti memang nak bayar atau sedang bayar lah. Juga beliau minta peminjam tidak distatuskan sebagai muflis kalau tak boleh bayar PTPTN, serta diberi tempoh masa dan bergaji bersesuaian sebelum diminta bayar (bukannya lepas grad gaji tak seberapa dah kena ligan suruh dibayar jugak-jugak). Terbukti memahami, menjiwai dan memperjuangkan permasalahan sebenar peminjam PTPTN. Salut!

Wednesday, 4 April 2012

Feudalisme dan Budaya Berpersatuan

Masalah ini tidak kedengaran berlaku di negara-negara maju sungguhpun sesetengahnya masih mengekalkan institusi beraja sama ada monarki mutlak atau berperlembagaan.

Sudah menjadi budaya kebanyakan orang Melayu, mereka sukar memisahkan kapasiti seseorang yang berketurunan bangsawan atau kerabat diraja, sungguhpun orang itu menjadi pemimpin organisasi yang sepatutnya tiada kaitan sama sekali dengan feudalisme. Orang itu tetap diangkat sembah seolah-olah mereka masuk mengadapnya di balairong seri, walhal pertemuan, mesyuarat atau persidangan berlangsung di bangunan persatuan sahaja, misalnya persatuan sukan. Budaya inilah, bukannya individu itu sendiri secara peribadi, yang menjadi masalah dalam proses sumbang saran (brainstorming) bagi memajukan sesebuah organisasi, termasuk organisasi yang ada kena-mengena dengan sukan. Apabila orang-orang kanan atau bawahan masih menganggapnya sebagai sultan atau anak raja, sampai bila-bila pun sukar bagi menyampaikan pandangan berbeza. Membangkang atau mengkritik apatah lagi, malah selalu sangat pihak yang membangkang dan mengkritik dilabel sebagai penderhaka, walaupun yang dibangkang dan yang dikritik ialah idea, sistem, pelan tindakan, perancangan strategik dan sebagainya, bukan batang tubuh VVIP itu. Konteks bangkangan dan kritikan juga disinonimkan sebagai bangkangan dan kritikan hamba rakyat kepada sultan atau anak raja yang memerintah negeri, walhal yang dikritik dan dibangkang adalah atas kapasiti baginda sebagai pemimpin persatuan sukan. Belum memadai setakat label penderhaka, natijahnya alamat dicantas saja.

Dengan trend sultan atau kerabat diraja menerajui atau menawarkan diri bagi memimpin persatuan sukan berterusan (sesetengahnya akibat lobi dan hasil cadangan pemimpin persatuan kecil atau pihak tertentu yang berkepentingan [tenggelam punca pun iya juga, maklumlah mengharapkan kemasukan sumber kewangan]), dengan budaya feudalisme sedia ada, elemen profesionalisme akan terhakis, bahkan yang mendominasi keadaan ialah sindrom bisu. Kalau bersuara pun, lebih kepada menjaga hati supaya tidak menyinggung perasaan baginda, yang dikhuatiri menyempitkan pula pintu peluang dan rezeki seperti pingat dan darjah kebesaran atau perkara-perkara lain.

Nabi ada bersabda, mahfhumnya "apabila sesuatu amanah itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran". Masalahnya, tak semua orang menginsafi kemampuan diri sendiri dan kecemerlangan pencapaian persatuan sukan lain yang diterajui bukan bangsawan, jauh sekalilah menginsafi sabda Nabi akan mala petaka yang bakal menimpa disebabkan keegoan mereka.

Nota:
Ada juga persatuan sukan yang diterajui bukan kerabat diraja tetapi kekal mandom, namun sekurang-kurangnya orang tak segan-silu membangkang, mengkritik malah mencabar jawatan mereka. Nampak bezanya, kan?

Friday, 23 March 2012

Kheja Gomen Bukan Senang

Esok dan lusa adalah hari kelepasan bekerja bagi penjawat awam. Tapi esok dan lusa, pagi-pagi buta lagi aku akan menghantar housemate untuk mengendalikan urusan seri paduka baginda. Dua hari berturut-turut, pergi berhantar balik berambil memandangkan tempat letak kereta khusus untuk petugas tidak disediakan di blok berkenaan. Oh, beliau tidak menerima elaun kerja lebih masa. Cuti gantian? Melihat kepada bahasa badan dan bahasa lisan boss beliau, besar kemungkinan eloklah kiranya harapan itu dilupakan.

Sapa kata kheja gomen senang haba' mai sat?

Wednesday, 7 March 2012

Pilihan Raya Bersaing: Kajian Kes Di Singapura

Dalam pertimbangan dan pembikinan. Masih ada masa sebelum dimuktamadkan.

Wednesday, 29 February 2012

Apabila Allah Dihina Apa Tindakan Kita?

Orang Melayu Islam di Malaysia ini sangat bertoleransi dalam banyak perkara. Banyak keadaan, terlalu sangat memberi muka, jaga hati sehingga orang lain pijak kepala.

Apabila sampul putih diberi kepada orang Cina, pung pang pung pang bising kata tak sensitif dan hormat budaya orang lain. O.K., aku setuju, sebab angpow memang warna merah pun.

Apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat ucap selamat menyambut Thaipusam kepada penganut agama Buddha, pung pang pung pang bising kata tak sensitif dan hormat budaya orang lain. O.K., aku setuju sebab Thaipusam memang disambut oleh penganut agama Hindu.

Tapi apabila The Star siar gambar Erykah Badu dengan tatu kalimah Allah di bahagian badannya yang separuh bogel, Kementerian Dalam Negeri hanya panggil dan beri amaran, kemudian The Star minta maaf dan semuanya selesai.

Hello, macam tu je ke?

Aku tidak sampai menyarankan kita meniru Arab Saudi yang bakal menjatuhkan Hamza Kashgari dengan hukuman mati kerana menghina Nabi, tapi sudah sampai masanya parti politik, NGO dan individu Melayu Islam mengukuhkan kesatuan suara mereka; menggesa dan mengenakan tekanan paling maksimum terhadap sebarang usaha merendah-rendahkan agama, bahasa, budaya dan bangsa mereka. Boleh berbaris atau berpakat dengan orang lain, tapi bila mai tang kepentingan bersama takkan nak kata takpa lagi kot. Semuanya bermula dengan tak sengaja, tapi sapa boleh pastikan depa tak "test market" tengok tara mana depa nak kena. Lepas ni sapa boleh pastikan perkara-perkara sengal sebegini tak berlaku lagi, kemudian dialas dengan pernyataan "tak sengaja".

Kalau Allah, Tuhan semesta alam, yang kita tunduk sujud setiap kali sembahyang, sampai begitu sekali dihina, dan kita orang Melayu Islam boleh dok buat halai-balai sahaja manakala pihak berwajib tak bagi pengajaran atau hukuman paling setimpal, masih tebalkah muka kita minta doa kepada-Nya mengabulkan macam-macam hajat kita? Kalau manusia yang jadi bos, godfather, ketua bahagian, ketua cabang, presiden parti, pemimpin de facto kita kena tempelak walaupun terang-terang dia buat salah, amboi, bukan main lagi buat demonstrasi, hantar memorandum, kecam di media saban hari saban malam, lantik peguam bawa ke mahkamah dan sebagainya. Tapi bila orang hina Allah, hat ni kita buat bodo saja. Kita ni hamba Allah yang bagaimana? Mempertuhankan manusia dan kepentingan peribadi atau mempertuhankan Dia?

Wednesday, 22 February 2012

Trend Curi Spare Part Wiper Kereta Honda

Daripada satu tempat cuci kereta, ke tempat cuci kereta yang lain. Masalah peniaga di kawasan ini, tak kiralah berasaskan makanan atau cuci kereta ialah waktu operasi yang tidak konsisten. Ada yang asal lalu saja tutup, asal lalu saja tutup. Ada yang hari tu pi ada, hari ni pi tak buka pula, hanya khidmat baiki kereta saja yang berjalan seperti biasa. Lalu aku ke tempat cuci kereta di kawasan kampung berdekatan.

Seorang pak cik nampaknya baru buka kedainya. Baguslah, ertinya aku orang pertama. Ditanya padaku cuti ke. Aku hanya mengiakan, memang dah masuk empat semester aku tak bekerja. Walaupun seorang, pak cik ni boleh kata A la dia punya kerja. Tompokan susu tepung yang melekat di kusyen belakang pun hilang dibuatnya, padahal dah berapa banyak tempat cuci kereta aku pi haram tak dak inisiatif pun nak buat macam tu. Pak cik ni bukan setakat bertanya, tompokan itu dihilangkannya juga.

Kereta terus dicuci. Kelihatan seorang pemandu teksi sebaya aku tiba sebagai pelanggan kedua. Nampaknya depa berdua dah kenal lama. Tapi yang tak boleh blah tu ialah semasa nak memarkir ke bawah bumbung, sempat lagi dia melontarkan persoalan yang merujuk keretaku yang katanya baru tapi dah bercalar. Tanya tuan dia la, kata pak cik berkenaan. Bengkek je aku dengar, ada la sebab-musabab calar kat bahagian bawah tu.

Ingatkan dia nak duduk di sofa (atau kusyen, faham-faham sajalah macam mana keadaannya, bukannya di pejabat). Rupa-rupanya diambil kerusi plastik tanpa penyandar dan duduk lebih sedepa dariku.

Masa terus berjalan, dekat-dekat pukul 12. Persembangan dia dan pak cik tu terus rancak. Aku yang bermata tajam pantas menyedari akan ada pencemaran udara bakal berlaku apabila dia mengeluarkan sepuntung nikotina dari kotak jenama mantan penaja bola sepak Malaysia. Malas aku nak mengurangkan kualiti hidup sendiri, lantas aku bergerak ke kawasan keretaku dicuci, buat-buat belek bahagian enjin dan sebagainya.

Tak lama kemudian dia mai, rokok berasap masih terjepit di jari, seraya memberitahu, plastik bentuk bulat dekat wiper keretaku dah tak ada. Terkejut aku, tapi aku ada masanya walaupun terkejut muka macam tak ada perasaan, sama saja. Kali ini pun serupa, sebab bagiku dah hilang, takkan nak meroyan pula kat depan tu, beli saja la yang baru. Cuma yang musykil sebab ada satu lagi menatang tu, tak diusik, walhal pasangan dia dah tinggal nat besi tu je. Aku tanya mamat teksi tu apa orang nak buat dengan curi benda tu. Entahlah, katanya, tapi banyak dah dia tengok menatang tu hilang dari kereta Honda. Pelik betul la, aku terfikir sendiri, kat manalah agaknya penyamun tarbus tu rembat dari kereta aku, walhal bukannya aku gerak ke mana-mana sangat pun, sekitar radius sini juga pun. Satu perkara yang menjadi teori aku ialah penyamun tarbus tu tak sempat nak rembat dua-dua sekali sebab line dah tak clear, mungkin masa tu aku dah keluar dari kedai (makan) menghampiri kereta.

Jadi kepada para pemilik kereta Honda di luar sana, tak kira la Accord ka, Civic ka, City ka, khususnya di Selangor Darul Ehsan, berhati-hatilah ye. Doa yang kita panjatkan semasa khutbah kedua supaya negeri ini menjadi "...negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan..." (ayat rasanya idea Hasan Ali masa jadi exco dulu) nampak gaya belum dimakbulkan.
Foto ihsan memimage.cardomain.com
Spare part yang dicuri ialah yang bentuk bulat warna hitam di atas
 

Tuesday, 21 February 2012

Mencari Bahan Tesis Tentang Politik Singapura


Semester baru sudah bermula minggu ini, tapi aku hanya ada satu kuliah sahaja iaitu pada hari Jumaat, pukul 4 petang hingga 7 malam. Yuran belum berbayar lagi, ikutkan hati nak tunggu hari gaji, maklumlah pembiayaan sendiri, di sini yurannya "flat-rate", hang ambik 1 subjek 3 kredit pun hang bayar sama amaun juga macam hang ambik 10 subjek 30 kredit. Bijak, bijak; bijak kena kat dia. Aku lebih suka sebenarnya kelas hari bekerja yang lain melainkan hari Jumaat, sebab selepas berpeluh-peluh terkena pancaran terik mentari kemudian nak masuk kelas berhawa dingin memerah otak memahami subjek... adui, silap-silap boleh demam.

Selain satu-satunya kelas tersebut, aku perlu langsaikan tesis yang belum bertajuk setakat ini. Merancang-rancang sama ada hendak dibuat tentang Brunei atau Singapura. Menimbang-nimbang, aku pangkah Brunei, bukan sebagai tanda menyokong tapi dikeluarkan dari senarai. Sebabnya tak banyak bahan pun berdasarkan pengalaman lalu. Agak misteri dan tertutup. Masa mula-mula nak menulis tugasan lalu ada juga e-mail kepada parti politik di sana, tetapi "auto-reply", dan berbulan-bulan, sampai lebih setahun berlalu tanpa apa-apa maklum balas. Jadi aku besar kemungkinan akan memilih tema tentang politik Singapura. Ironinya, Singapura yang orang kata tak begitu mesra media, dan agak terbatas hak asasi manusia sangat banyak pula bahan bacaan dan rujukannya, sekurang-kurangnya berbanding Brunei lah. Sesuatu yang menarik tersembunyi di situ, kalau nasib baik dapatlah aku mencungkilnya.

Cuma masalahnya selain tajuk tesis yang lebih fokus dan rinci, ialah koleksi buku berkaitan politik Singapura di perpustakaan universiti yang kurang terkini dan tidak cukup banyak. Malah, koleksi buku berstatus terbaru tentang politik Singapura yang aku ada pun nampaknya tak termasuk di dalam koleksi perpustakaan. Penjimatan belanjawan sangat-sangat mengesankan kelihatannya, itu belum dikira lagi langganan jurnal pun sesetengahnya ketinggalan lebih 10 tahun ke belakang.

Minat aku sekitar PAP, pengaruh parti pembangkang, Lee Kuan Yew, sistem dua parti, dan sewaktu dengannya. Cuma perlu ada perimbangan, sebab tak terjangkau kudrat nak buat tesis semata-mata fasal LKY yang dah terlampau banyak, terperinci dan bersejarah pula, begitu juga dengan PAP. Apapun, Singapura tak boleh lari daripada depa berdua tu.

Silap-silap aku interview juga Tuan Remgold ni kang, haha!

Anda ada info yang boleh membantu?

Sunday, 22 January 2012

Izwan Pilus: Rakan SeMatrikulasi yang Pergi

Ketika itu tahun 1997/1998. Waktu aku pertama kali menjejak kaki ke Sintok. Bersama lepasan SPM yang lain dari seluruh negara. Pelajar lelaki ditempatkan di Kolej MISC, pelajar perempuan pula di Kolej Telekom. Tiada seorang pun dari sekolah lamaku yang masuk ke situ, hanya aku.

Sebab terlalu ramai, maka diperosok satu bilik empat orang. Yang tiga lagi sebilik denganku; Akhtar, Aidil, Asman. Mereka, terutama Akhtar dan Asman ramai kawan sedari awal memandangkan kawan-kawan sesekolah pun ikut masuk bersama. Aku hanya menumpang dengar cerita dan berkenal-kenalan dengan kawan-kawan mereka yang selalu lepak di bilik.

Dalam ramai-ramai yang sering datang bertandang, ada seorang yang tembun. Dia tak nampak garang, nampak jenis lemah-lembut walaupun tidak menjurus ke arah keterlaluan, cuma tak banyak cakap. Aku yang memang tak banyak cakap juga hanya mengenalnya dengan panggilan Wan. Mungkin kami ada bertegur-sapa berbahasa seadanya, tapi selebihnya aku tak ingat, mungkin tak ada.

Beberapa tahun berlalu. Aku pun sudah berkerjaya tetap. Suatu masa, terdengar dan terbaca cerita tentang seorang artis lelaki baru yang tengah top dengan sebuah lagu. Kata orang itu lagu saduran daripada sebuah drama Korea yang popular susulan Winter Sonata. Aku layan juga lagu itu.

Lama-kelamaan apabila aku perhati, eh, eh, macam pernah ku lihat dia ini, tapi di mana ya? Oh, patutlah kurang diperasan kerana dia telah tidak tembun lagi. Sejak itu aku sering mengikuti perkembangannya di media-media massa, termasuk apabila ada program yang diacarakannya, banyknya di RTM. Sangat petah dia berkata-kata, jauh berbeza zaman-zaman setakat ku kenali dia di Sintok dulu.

Masa berlalu lagi. Tiba-tiba terdengar berita bahawa dia telah pun pergi menghadap Ilahi. Meski tak banyak kenangan, solidariti sebagai ex-Matrikulasi UUM yang sama-sama berbaju kemeja lengan pendek atau panjang, berseluar slack dan bertali leher fabrik tebal corak seragam tertentu sentiasa di ingatan.

Al-Fatihah buat Allahyarham Izwan Pilus, semoga engkau tenang di sana.

Monday, 9 January 2012

Aku Kembali, Selepas Kertas Peperiksaan Akhir Berlalu Pergi Sebentar Tadi

Baru selesai final exam tentang sejarah politik Islam. Soalannya, masya-Allah, kalau diberi tempoh 3 jam macam menjawab Prinsip Akaun waktu SPM dulu pun boleh lagi menulis rasanya. Satu perkara, apabila terlampau sering menulis menggunakan papan kekunci, tulisan menjadi sangat huduh. Kalau aku tak dapat A, punca utama ialah tulisan, selain mungkin isi yang kekurangan. Sekarang bolehlah menumpukan kepada perniagaan kecil-kecilan, RajaBio Minyak Kelapa Dara, selain cuba berjinak-jinak dengan persediaan menulis tesis untuk semester hadapan.