Bulan hadapan, aku akan kembali bersama tikus-tikus yang lain dalam perlumbaan mengejar duniawi. Oh, sayang sekali terpaksa meninggalkan alam kehidupan seorang pelajar yang keseluruhannya jauh lebih aman kecuali apabila perlu menyiapkan tugasan dan menghadapi musim peperiksaan. Kedamaian itu diperkuatkan lagi dengan ingatan terhadap sabda nabi, yang berbekas di minda sejak zaman menadah telinga secara sambilan di hujung minggu universiti malaya, mafhumnya, barang sesiapa yang mencari jalan yang padanya ada ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ka sorga. Bahagia bukan terngiang-ngiang sentiasa.
Demi menyertai perlumbaan kaum tikus, aku pun tidak tahu ke mana agaknya bakal tercampak. Harap-harap dapat tempat yang sejahtera dan berkebajikan, sebagai lazim doa khutbah negeri selangor darul ehsan.
Apa yang aku kejar dalam perlumbaan sesama tikus ini? Aku tidak bercita-cita besar, kerana demi memenangi perlumbaan ini sangat ramai tikus-tikus yang gemar menonjolkan diri. Mempromosi diri sendiri untuk sesuatu matlamat peribadi bukan caraku. Belum dikira lagi tikus-tikus yang gerit sana gerit sini apabila makin hampir ke penamat perlumbaan. Makin hampir ke penghujung makin dahsyat permainan. Aku berlindung dengan Allah mohon dijauhkan dari segala kejahatan yang ada. Cita-citaku sekadar bertahan sebelum benar-benar selamat dan terjamin untuk menarik diri. Semoga Allah memberi kekuatan. Amin.
No comments:
Post a Comment