Pertama sekali premis hujah dan niat kena betul. Kalau asasnya berhutang dah tu tak mau bayar, hat tu spesies tak bertanggungjawab. Tak masuk buku dalam entri ini. Logik dan pragmatik lah sikit, dengan segala macam subsidi yang diberi oleh kerajaan Malaysia, sedangkan berapa kerat sangat negara di dunia ini yang memperuntukkan tu dia nala punya banyak macam-macam jenis subsidi untuk rakyatnya, takkan nak belajar sampai PhD pun nak free. Sentiasa ada opportunity cost di dalam ini dunia. We get some, we lose some.
Aku pernah terdetik bahawa pihak mana pun yang berjaya menangkap keluh-kesah anak muda tentang PTPTN ini akan beroleh untung politik. Nampaknya PR tembak dahulu; di luar imaginasi yang ada sehingga ke peringkat membatalkan sama-sekali. Aku cuba melihat secara objektif. Tak payah minta PR beri biasiswa kepada semua pelajar IPT di negeri tadbiran masing-masing pun pada peringkat awal ini. Cukup kalau mereka dapat sediakan dana pinjaman (menerusi yayasan pendidikan negeri atau peruntukan khas), lagi cantik tanpa caj pentadbiran, bunga, atau apa sahaja namanya yang bermaksud keuntungan pada kadar yang menekan seperti PTPTN sekarang. Bagi kat semua anak negeri yang nak masuk atau sedang belajar di IPT. Buat itu dahulu, kalau mampu. Kalau itu pun tak mampu, maka mai mana kemampuan untuk hapus kira pinjaman PTPTN untuk semua dan bagi biasiswa kepada semua pelajar IPT seluruh Malaysia. Tang mana nak ambil dana? Duit KWSP? Duit Petronas? Amboi, nak cover duit mansuhkan tol seluruh Malaysia pun hari tu kata nak guna duit KWSP juga. Dah tu sikit-sikit nak korek duit Petronas. Kalau betul lubuk emasnya KWSP dan Petronas, jelas tak sihat untuk ekonomi negara, tak amanah, juga tak kreatif. Agaknya kalau Jomo K.S. tak sibuk berkempen nak jadi Pengarah ILO apalah agaknya kata dia tentang benda ni semua.
Kalau ada yang kata BN khususnya UMNO tak peka dengan masalah ini, sebenarnya mereka silap. Masa timbul isu-isu lain susulan kadar ujrah 1% itu (leverage dll.), UMNO respons menerusi Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia yang mendengar keluhan pelajar tentang bebanan melangsaikan hutang PTPTN. Serius, aku ada sekali di sebuah IPTA dalam sebuah majlis dialog semasa seorang pelajar meluahkan kekesalannya berhubung amaun pembayaran balik pinjaman PTPTN yang dirasakannya sangat menindas (pelajar itu istilahkan sebagai "along berlesen") kepada Dato' Azeez yang berjanji membawanya ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Isu-isu susulan itu selesai, dengar ceritanya bertekak dalam mesyuarat kabinet.
Cuma, diulangi, cuma, UMNO dan BN boleh berbuat lebih banyak lagi bagi mengurangkan bebanan lepasan IPT yang berusaha bersungguh-sungguh nak langsaikan hutang PTPTN, tapi selalunya kecewa sebab hutang macam tak luak-luak. Merekalah golongan majoriti dalam isu PTPTN ini yang perlu disantuni. Mereka tak minta pun kerajaan hapus kira hutang PTPTN mereka. Mereka cuma minta lebih bertimbang-rasa. Apatah lagi sekarang susah nak dapat kerja, sedangkan hutang PTPTN perlu dibayar 6 bulan selepas tamat belajar. Tolong selami perasaan mereka, yang bertungkus-lumus menghantar resume, menghadiri temuduga, mencari apa sahaja kerja sungguhpun tak setimpal dengan kelayakan mereka demi sebuah harga diri di mata masyarakat dan kaum keluarga, serta bagi membayar hutang PTPTN. Sangat sedih keadaannya. Baru-baru ini seorang kawan sekuliah terserempak rakan seijazah pertamanya di sebuah pusat membeli-belah ibu kota sedang mempromosikan pakej broadband. Masing-masing kelu untuk berbicara, belajar tinggi-tinggi tapi itu natijahnya. Sayu memang sayu, apakan daya hutang PTPTN perlu dibayar.
Aku tak ada kepentingan sebab pinjaman aku dah selesai berbayar. (Terima kasih JPA kerana sudi menawarkan pinjaman waktu zaman gawat dulu. Memang tak dapat dah pinjaman macam tu; banyak mana pinjam banyak tu bayar, dengan permulaan bayaran balik dalam tempoh masa yang munasabah berbanding 6 bulan yang kebiasaannya seseorang peminjam itu sudah pun bekerja dan mendapat gaji berpatutan yang membolehkan bayaran ansuran pinjaman dilunaskan, seterusnya nampak lah penyusutan hutang pinjaman.) Hanyasanya aku ingin melihat kebajikan rakyat khususnya generasi muda Malaysia terpelihara. Ini bukan perihal bangsa; segelintir orang kata isu PTPTN ini agenda sulit pihak tertentu terhadap orang Melayu yang akan terjejas sekiranya apa-apa berlaku kepada PTPTN. Sungguh jijik dan terkutuk sesiapa yang menjadikan isu ini isu perkauman. Pada hemat aku, dalam sekian banyak benda yang boleh dipolitikkan dan diniagakan untuk keuntungan, pendidikan harus dikecualikan. Pada zaman moden ini, keperluan asas setiap insan bukan lagi sekadar Roti, Kapada aur Makan, tapi juga termasuk pendidikan, tak kiralah apa pun bangsanya.
Kemas kini baru sat-sat tadi (11 April 2012, 11.00 malam) sempena program Dialog di TV1:
Syabas Pemuda UMNO thru panelis Ustaz Syahrin bekas moderator Forum Perdana Ehwal Islam atas tekad dan gerak kerja pemansuhan secara bukan demonstrasi bagi 1% ujrah (Pengurus Kanan PTPTN kata kadar itu bagi membiayai gaji & kos operasi PTPTN, pergh, macam GST pulak main pindah-pindah beban). Sebab statistik yang disebutnya menyatakan sedikit sangat peminjam yang enggan bayar, dalam erti kata lain majoriti memang nak bayar atau sedang bayar lah. Juga beliau minta peminjam tidak distatuskan sebagai muflis kalau tak boleh bayar PTPTN, serta diberi tempoh masa dan bergaji bersesuaian sebelum diminta bayar (bukannya lepas grad gaji tak seberapa dah kena ligan suruh dibayar jugak-jugak). Terbukti memahami, menjiwai dan memperjuangkan permasalahan sebenar peminjam PTPTN. Salut!
No comments:
Post a Comment