Pages

Monday, 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 4

2.       KAJIAN KES DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM: AMALAN LEGITIMASI, TAHAP DEMOKRASI & TAHAP PEMBANGUNAN POLITIK

2.1     Amalan Legitimasi

Negara Brunei Darussalam (selepas ini disebut sebagai Brunei) merupakan sebuah negara yang terletak di rantau Asia Tenggara dengan keluasan 5,765 kilometer persegi. Menurut data yang dipaparkan di laman sesawang Brunei Tourism, setakat tahun 2007 penduduk Brunei dianggarkan sejumlah 390 ribu orang terdiri daripada kaum Melayu (259,600), Cina (43,100) dan kaum-kaum lain seramai 87,300.  Bancian terkini yang akan dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Brunei dari 20 Jun 2011 sehingga 3 Julai 2011 menjangkakan penduduk Brunei akan mencecah 400 ribu.  Brunei berada di bawah pentabiran Britain sebelum mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

Pada masa ini, Brunei diperintah oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (selepas ini dirujuk sebagai Sultan) yang menggantikan ayahanda baginda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (selepas ini disebut Sultan Omar ‘Ali) yang turun takhta secara sukarela pada malam 4 Oktober 1967 bagi memberi laluan kepada anakandanya yang baru berusia 22 tahun ketika itu (Harun 2007: 169, Awang Mohd. Jamil Al-Sufri 1987: 20).  Pengkaji berbeza pandangan tentang salasilah Sultan, ada yang mengatakan bahawa Sultan merupakan keturunan ke-29 (Saunders 1994:43) manakala ada yang mendakwa Sultan merupakan keturunan ke-30 (Bala 2005:178) dengan mengambil kira Sultan Abdul Majid Hassan, seorang sultan zaman purba Brunei ke dalam salasilah kesultanan Brunei.  Namun demikian, kesemua pengkaji sependapat bahawa kesultanan Brunei bermula dari zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah walaupun mereka tidak mencapai kata sepakat berhubung kurun dan tahun permulaan kesultanan yang tepat.

Dari segi sistem politik, secara teorinya menurut Harun Abdul Majid (2007: 1) Brunei merupakan negara kesultanan berperlembagaan manakala dari segi realitinya mengamalkan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak (absolute monarchy).  Sultan turut menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan sambil dibantu oleh jemaah menteri yang lain.

No comments: