Pages

Monday 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 5

2.2  Tahap Demokrasi

Antara kayu ukur yang sering digunakan apabila membincangkan tahap demokrasi sesebuah negara adalah menerusi kajian oleh badan-badan antarabangsa yang berwibawa, antaranya The Economist Intelligence Unit.  Berdasarkan Democracy Index 2010: Democracy In Retreat yang diterbitkan oleh badan tersebut, sebanyak 167 buah negara telah dinilai tahap pelaksanaan demokrasi masing-masing yang terbahagi kepada empat kategori bergantung kepada ciri-ciri tertentu.  Tahap demokrasi terbaik menurut kajian tersebut ialah full democracies, disusuli oleh flawed democracies, seterusnya hybrid regimes dan paling buruk ialah negara yang bersifat authoritarian regimes.  Walau bagaimanapun, Brunei merupakan salah sebuah negara yang tidak diliputi oleh kajian ini kerana dianggap termasuk di dalam kelompok negara-negara kecil.  Namun demikian, dengan mengambil kira tahap demokrasi di negara-negara yang mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak seperti Qatar (tempat ke-137) dan Arab Saudi (tempat ke-160), saya menjangkakan sekiranya Brunei turut disenaraikan maka pencapaiannya juga tidak jauh berbeza dengan Qatar dan Arab Saudi iaitu sama-sama termasuk di dalam kategori authoritarian regimes1.

Selain The Economist Intelligence Unit, sebuah lagi badan antarabangsa yang menjalankan kajian berkaitan demokrasi ialah Freedom House.  Menerusi kajian bertajuk Freedom in the World 2010 yang melibatkan 194 buah negara, Freedom House telah memberi rating bagi dua aspek utama yang menyumbang kepada amalan demokrasi sesebuah negara iaitu hak politik (political rights) dan kebebasan sivil (civil liberties).  Gabungan rating bagi hak politik dan kebebasan sivil yang diperolehi oleh sesebuah negara akan menentukan tarafnya dalam kajian ini sama ada Bebas, Separa Bebas atau Tidak Bebas.  Julat rating adalah di antara 1 (Sangat Bebas) sehingga 7 (Sangat Tidak Bebas).  Dalam kajian ini, Brunei telah diberikan rating 6 bagi hak politik dan rating 5 bagi kebebasan sivil seterusnya dikategorikan sebagai negara “Tidak Bebas”.  Hasil penelitian saya terhadap laporan terperinci Freedom House mendapati bahawa Brunei diberi penarafan sedemikian disebabkan beberapa perkara yang dianggap mengekang hak politik dan kebebasan sivil.  Contohnya, ketiadaan pilihan raya bagi membolehkan rakyat mengundi bagi memilih perwakilan ke dewan legislatif, kewujudan undang-undang yang membenarkan penamatan penerbitan akhbar tanpa perlu memberi sebarang alasan, mengenakan denda dan memenjara wartawan kerana menulis artikel yang dianggap palsu dan berniat jahat, dan mengharamkan sebarang kritikan terhadap Sultan dan ideologi kebangsaan.

No comments: