Pages

Monday 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 2

1.2      Demokrasi
Sebagaimana legitimasi, terdapat berbagai-bagai tafsiran berhubung maksud sebenar demokrasi.  Perkara ini diakui oleh The Economist Intelligence Unit (2010: 28) dalam laporan Democracy Index 2010: Democracy In Retreat.  Badan berkenaan kemudiannya menggariskan ciri-ciri penting sesebuah negara yang dianggap demokratik iaitu “...the fundamental features of a democracy include government based on majority rule and the consent of the governed, the existence of free and fair elections, the protection of minority rights and respect for basic human rights”.

Dahl (1971: 2) dalam bukunya Polyarchy mendefinisikan demokrasi sebagai “sistem politik yang salah satu cirinya ialah bersikap responsif secara sepenuhnya atau hampir sepenuhnya terhadap rakyat.  Dahl (1971: 2) menambah bahawa dalam usaha sesebuah kerajaan bersikap responsif, rakyat perlu diberi hak untuk menyatakan pilihan mereka.  Pada beliau, hak tersebut mustahak kerana ia membolehkan rakyat menyampaikan keperluan dan tuntutan mereka kepada kerajaan.  Elemen-eleman yang patut ada dalam sebuah masyarakat demokratik adalah seperti berikut:
(i)              Kebebasan untuk menubuhkan dan menyertai sebarang organisasi;
(ii)             Kebebasan bersuara;
(iii)           Hak mengundi;
(iv)           Layak untuk menubuhkan kerajaan;
(v)             Pemimpin politik berhak bersaing untuk mendapat sokongan dan undi;
(vi)           Sumber maklumat alternatif;
(vii)         Pilihan raya yang bebas dan adil; dan
(viii)        Institusi kerajaan yang menggubal polisi bergantung kepada undi dan mekanisme seumpamanya.

Ljiphart (1984) pula mengemukakan dua model bagi sesebuah sistem politik yang mengamalkan demokrasi iaitu ‘model Westminster’ dan ‘model konsensus’.  Menurut beliau, model Westminster berdasarkan sistem berparlimen Britain dan ia merujuk kepada penguasaan kumpulan majoriti.  Sebaliknya, model konsensus yang berdasarkan amalan Switzerland dan Belgium bertujuan mencapai persetujuan di kalangan kumpulan sosial utama dalam sesebuah negara.  Sungguhpun demikian, model konsensus tidak semestinya bermaksud persetujuan sebulat suara.

Schumpeter dalam mahakaryanya pada tahun 1943 bertajuk Capitalism, Socialism and Democracy yang diterbitkan buat kali ketiga belas pada tahun 1974 melihat demokrasi dari sudut ‘kepimpinan politik’.  Pada pandangan beliau, individu akan berusaha mendapatkan kuasa dengan cara bersaing bagi mendapatkan undi daripada rakyat bagi membolehkan mereka membuat keputusan-keputusan politik.  Undian pada pandangan Schumpeter bertujuan ‘menghasilkan’ kerajaan.  Walau bagaimanapun, pada hemat beliau hanya sistem pengundian di Amerika Syarikat sahaja membolehkan pengundi berbuat demikian secara langsung manakala sistem pengundian di negara lain seperti Britain hanya menghasilkan kerajaan menerusi medium perantaraan yang digelar ‘parlimen’.

No comments: