Pages

Monday 17 October 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Episod 3

1.3  Pembangunan Politik

Leefers (2004: 1) menerusi The Course of Political Development in Uganda and Its Effect on Economic Development menyebut bahawa pada kebiasaannya pembangunan politik didefinisikan sebagai pergerakan ke arah sistem yang lebih bersifat demokrasi liberal berasaskan pilihan raya yang bebas dan adil, dan perlidungan hak-hak sivil rakyat. Laluan ke arah pembangunan politik lazimnya sukar untuk dijelaskan kerana setiap negara mempunyai sejarah dan kaedahnya yang tersendiri bagi mencapai matlamat tersebut. Ramai di kalangan sarjana Barat mencadangkan supaya negara mengukuhkan institusi-institusi yang berperanan mempromosikan demokrasi, mengadakan pilihan raya dan mengamalkan sistem pelbagai parti.  Walau bagaimanapun, kejayaan sesebuah negara dalam usahanya melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjana Barat ini masih diperdebatkan.

Huntington (1965: 387-388) menjelaskan pembangunan politik selalu dikaitkan dengan pemodenan masyarakat.  Sesuai dengan definisi tersebut, empat kategori pembangunan politik telah diutarakan iaitu rasionalisasi, nasionalisme dan integrasi nasional, pendemokrasian, dan mobilisasi atau penglibatan.  Di antara keempat-empat kategori ini, mobilisasi yang selalu diberi penekanan.  Hujah Huntington, “pemodenan bererti mobilisasi besar-besaran, mobilisasi besar-besaran bererti peningkatan penyertaan politik, dan peningkatan penyertaan politik ialah kunci kepada pembangunan politik”.


1.4  Aspek Positif & Negatif Legitimasi dan Demokrasi

Sama ada legitimasi atau demokrasi, kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri.  Yu Keping (2009: 3) dalam buku beliau Democracy is a Good Thing: Essays on Politics, Society, and Culture in Contemporary China mengakui hakikat ini.  Pada beliau, demokrasi menyebabkan seseorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat bertindak dengan lebih berhati-hati kerana pemimpin tersebut diangkat ke kedudukannya setelah dipilih dan mendapat sokongan majoriti rakyat. 

Yu (2009: 3) turut memberikan beberapa contoh bagaimana demokrasi juga mempunyai sisi negatif.  Antara lain, menurut beliau demokrasi boleh membawa kepada ketidakstabilan politik di sesebuah negara kerana rakyat dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan dan berdemonstrasi di jalan raya.  Demokrasi juga boleh menyebabkan proses pembuatan keputusan menjadi sangat birokratik dan lambat sekaligus mengurangkan kecekapan pentadbiran.  Ujar beliau lagi, hal ini disebabkan demokrasi mengehendaki perundingan dan perbincangan dilakukan berulang-kali sehingga keputusan akhir dapat dicapai.  

Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (2008) pula menepis tanggapan umum dalam politik dunia bahawa negara yang tidak mengamalkan demokrasi merupakan negara yang bersifat diktator dan tidak menghiraukan kepentingan orang ramai.  Merujuk kepada sistem demokrasi berparlimen, beliau membawakan perspektif Islam bahawa sistem demokrasi cenderung untuk mengangkat suara majoriti dalam pembuatan sesuatu keputusan walaupun keputusan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.  Dalam erti kata lain, suara minoriti walaupun mewakili kebenaran tidak akan mendapat tempat dalam sistem demokrasi. 

Sesetengah pihak pula berpendapat legitimasi lebih berupaya membawa kestabilan politik kepada sesebuah negara berbanding demokrasi.  Menurut Leake, Jr. (1990: 77), semasa Sultan Brunei ditemubual oleh majalah Newsweek, sejurus selepas kemerdekaan Brunei pada tahun 1984, sama ada baginda akan membenarkan semula kebebasan berpolitik, baginda bertitah:
“We have tried it. We had elections before 1962 and we had a few political parties, but people competed against each other and chaos resulted.”

No comments: