"Sejarah ditulis oleh pihak yang menang". Kenyataan tersebut, entah oleh siapa, sukar dinafikan. Aku boleh bersetuju bahawa perjuangan golongan kiri menuntut kemerdekaan juga wajar dikenang, tapi perjuangan bersenjata pihak komunis, sukar untuk diwajarkan sebarang penghargaan.
Semasa pahlawan Melayu dan pejuang kemerdekaan melawan penjajah Britain pada penghujung 1800-an dan awal 1900-an dahulu, ada beberapa peristiwa yang melibatkan pembunuhan anggota polis berbangsa Melayu yang berkhidmat di bawah pentadbiran penjajah Britain. Beberapa balai polis juga ada ditawan. Penjajah Britain selaku pihak yang berkuasa ketika itu mempotretkan pejuang seperti Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbong sebagai penderhaka dan dihukum bunuh dengan tragisnya, diperangi atau dibuang negeri. Sejarah kemudiannya ditulis semula secara lebih adil sesudah negara merdeka. Ahli-ahli akademik yang bersemangat kebangsaan mengangkat martabat para pejuang kemerdekaan lampau dan memutihkan semula contengan arangan yang dipalit oleh penjajah. Walau bagaimanapun, ada beberapa persoalan yang belum terjawab sehingga kini. Semasa belajar Sejarah sewaktu bersekolah dahulu, aku sudah terfikir beberapa perkara yang tidak tertanyakan pada cikgu yang mengajar. Misalnya, adakah anggota keselamatan berbangsa Melayu yang dibunuh oleh para pejuang kemerdekaan tersebut pengkhianat dan mereka mati sia-sia? Aku pernah bersetuju, namun soalan itu masih boleh diwacanakan dan ditajamkan sisi-sisi yang kabur. Tetapi tidak bagi peristiwa Bukit Kepong. Peristiwa Bukit Kepong ialah peristiwa yang jelas.
Seminggu dua ini riuh-rendah dengan bangkangan, kutukan orang sama ada secara individu mahupun berjemaah terhadap sedutan ucapan seorang timbalan presiden sebuah parti siasah. Ada yang jujur menempelak atas dasar kesedaran sendiri dan pengalaman peribadi, tak kurang pula yang berlebih-lebihan beremosi dengan premis hujah balas yang semberono di samping seperti biasa pernyataan dan tindakan meraih kelebihan dan sokongan politik. Seperti biasa, aku ada pandangan yang bersifat objektif, tanpa cuba bersikap memihak melulu. Sebelum berbicara lebih lanjut, tidak syak lagi Mat Sabu telah kantoi big time. Sama ada fakta yang dikemukakan benar atau salah itu kemudian cerita, tapi dari segi strategi politik di kala PRU-13 bila-bila masa, ternyata kenyataan tersebut "politically incorrect".
Ketika sokongan orang Melayu terhadap PR sangat sedikit, huha-huha sedemikian akan tambah menjauhkan sokongan orang Melayu. Nak harap sokongan orang Melayu pro-BN yang itu sudah boleh tutup buku. Orang Melayu atas pagar akan semakin jauh. Bahkan orang Melayu pro-PR yang mempunyai saudara-mara, kaum keluarga malah mereka sendiri sebagai bekas anggota keselamatan yang berjuang menentang komunis pun akan fikir banyak kali dan berkemungkinan perasaan terguris akan diterjemahkan sebagai undi protes. In a simple word, unless there is miracle in the near future, PR can kiss goodbye and good-riddance, not even to Putrajaya but to the states they are governing, except Penang and Kelantan.
Zaman Bukit Kepong itu memang zaman Tanah Melayu di bawah penjajahan Britain. Demikian kalau tentangan pihak komunis terhadap pegawai Britain secara langsung bolehlah juga diterima akal sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan. Seperti peristiwa serangan hendap terhadap Henry Gurney, itupun ada pegawai polis berbangsa Melayu yang terbunuh sama. Tetapi dalam peristiwa Bukit Kepong tidak ada seorang pun pegawai warga Britain di balai polis berkenaan. Pihak komunis pula membantai pihak polis dan anggota keluarga mereka yang merupakan pribumi Tanah Melayu. Macam mana logik akal nak menerima bahawa pihak yang dikatakan berjuang menuntut kemerdekaan menggunakan kaedah membunuh warga pribuminya sendiri. Seperkara lagi, adakah terkorbannya sekalian nyawa pihak polis di Bukit Kepong adalah kematian yang sia-sia, sedangkan dari perspektif Islam pun mati dalam mempertahankan nyawa sendiri dan kaum keluarga dikira mati syahid. Barang harus diingat, pihak polis mempertahankan balai tersebut dan nyawa mereka, bukan mereka yang mula menyerang. Dan tindakan kejam pihak komunis itu bukan perkara baru, sebab semasa tempoh peralihan pemerintahan Jepun kepada pemerintahan Britain pun pihak komunis telah bermaharajalela membunuh ramai orang Melayu biasa yang tidak pun menjadi mata-mata Jepun sebelumnya. Ingat-ingat sama, semasa lawan Jepun dahulu bukankah pihak komunis berganding bahu bersama-sama Force 136, dan bekalan senjata siapa yang beri kalau bukan Britain. Masa itu tak kisah pula sama ada Britain itu penjajah atau tidak. Matlamat menghalalkan cara, seiring peredaran masa barangkali.
Melihat dari sudut sejarah lebih awal dari itu, kalau mengikut aliran hujah Mat Sabu, bermakna Leftenan Adnan Saidi juga terkorban sia-sialah kerana semasa mempertahankan kubu terakhir di Bukit Candu beliau merupakan anggota pasukan tentera di bawah penjajah Britain. Seperti dalam peristiwa Bukit Kepong juga, bendera yang berkibar di negara kita dalam peristiwa Bukit Candu ialah Union Jack. Adakah kesimpulannya bererti, sama seperti pihak komunis, pihak tentera Jepun yang membunuh Adnan Saidi layak diiktiraf pejuang kemerdekaan?
No comments:
Post a Comment