Kalau Karam Singh Walia mendapat ilmu pengetahuan berhubung peribahasa Melayu melalui sebuah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang ia jumpai (dalam tong sampah?), aku pula mengetahui serba-sedikit peribahasa Cina melalui sebuah buku kulit nipis yang dibelikan sewaktu sekolah rendah. Waktu itu ada satu pameran buku di Komtar, dan buku itu ralit ku baca.
Buku itu telah kehilangan kulitnya. Sebenarnya tertanggal, ku temui semula di tepi sisa-sisa makanan di rumah yang hendak diberi kepada ayam. Memandangkan aku tak sanggup membasuh kulit buku itu yang pada pandanganku baru hendak berjinak-jinak dengan tempekan dan tompokan sisa-sisa makanan, aku biarkan. Namun demikian, helaian yang menjadi isi kandungan buku masih ada lagi di perpustakaan rumahku di kampung.
Mungkin ada yang bertanya, macam mana aku boleh membaca buku peribahasa Cina? Aku bersekolah di sekolah Cina ke? Jawabnya memang tak la. Walaupun buku ini buku peribahasa Cina, tetapi teksnya dalam bahasa Melayu.
Satu perkara yang aku dapat tangkap menerusi pembacaan itu adalah, tidak seperti peribahasa Melayu yang kita tidak tahu susur-galur asal-usulnya kecuali apa yang dimaksudkan dengan peribahasa tersebut, peribahasa Cina pula sebaliknya. Peribahasa Cina terhasil berikutan peristiwa sejarah yang berlaku di negara China pada zaman lampau. Biasanya melibatkan tokoh-tokoh penting yang menjadi maharaja, pembesar negeri, panglima perang dan filsuf.
Sesekali, ada juga peribahasa Cina yang bersumberkan kejadian yang berlaku kepada rakyat biasa yang tidak ternama, serta haiwan ternakan, haiwan liar juga hidupan lain. Misalnya, "berkik dan kima bergaduh, nelayan yang untung", "kambing menyamar sebagai harimau", "memainkan alat muzik di hadapan lembu" dan "serigala meminjam kekuatan harimau".
Kadang-kadang, sesuatu peristiwa berlaku secara rentetan, dan sebagai rumusan dijadikan peribahasa. Contohnya, "orang tua kehilangan kudanya, entah akan membawa tuah", perihal untung nasib seseorang kesan kuda peliharaannya yang dinilai secara zahir oleh orang ramai sebagai tuah atau petaka padahal Tuhan juga Maha Mengetahui.
Peribahasa Cina tidak dapat lari dari strategi ketenteraan, tipu-muslihat dan sebagainya, sesuai dengan latar zaman Kerajaan Tiga Negara atau Romance of Three Kingdom atau San Guo Yan Yik. Umpamanya, "kesabaran dan semangat patriotisme" mengisahkan kesabaran Liu Bei berdepan sikap acuh tak acuh Zhu Geliang semasa ingin mendapatkan khidmat nasihat bagi mengalahkan musuh dalam peperangan. Begitu juga "orang muda yang mudah dilentur", perihal menteri bernama Zhang Liang pada zaman dinasti Han Timur yang terpaksa bersembunyi selepas tidak berjaya menggulingkan Maharaja Qin. Beliau juga berdepan situasi menduga kesabaran dengan kerenah seorang tua yang tidak pun dikenalinya tetapi mahukan Zhang Liang berjumpanya dalam beberapa siri berselang lima hari. Setelah beberapa kali cuba hadir lebih awal berbanding orang tua itu, barulah Zhang Liang diberi sebuah buku bertajuk "Taktik-taktik Berperang Jiang Tai Gong". Orang tua itu pula ialah Huang Shigong yang cukup terkenal.
Ada peribahasa yang melucukan dan pandir, misalnya "meninggikan anak padi" yang menyindir fe'el pesawah yang ingin padinya cepat tumbuh padahal menempa kerugian. Samalah juga dengan "membuat tanda pangkah di sampan untuk mencari pedang yang hilang", kisah seseorang menaiki sampan tapi pedangnya terjatuh ke dalam sungai. Niatnya dengan membuat tanda pada perahu, sebaik tiba di tebing pedang dapat ditemui semula di gigi air berhampiran.
Tak kurang peribahasa Cina memberi motivasi seperti "orang tua bodoh meratakan gunung" dan "mengasah antan besi menjadi jarum". Dalam kedua-dua peribahasa, seorang watak seorang rakyat marhaen biasa dipertemukan dengan watak yang kununnya lebih pintar. Walhal, ketekunan rakyat marhaen biasa itu pada hakikatnya jauh lebih berwawasan dan bijaksana daripada apa yang disangkakan.
Beberapa ketika, kita akan menyedari bahawa terdapat persamaan mesej dari peribahasa Cina tersebut dengan peribahasa budaya lain. Sebagai contoh, "sebilah anak panah dua ekor helang" sama maksudnya dengan "killing two birds with one stone" iaitu peribahasa Inggeris. Begitu juga "katak dalam perigi" sama maksudnya dengan "katak di bawah tempurung" bagi peribahasa Melayu.
Apapun, semua peribahasa Cina, seperti mana peribahasa dalam kebudayaan lain, memiliki nilai falsafah tinggi dan tersendiri. Terima kasih kepada mak dan ayah aku yang membelikan buku ini. Terima kasih juga kepada Longman Malaysia yang menerbitkan buku "50 Peribahasa Cina" susunan Ho Nee Yong dan Chin Kee Men hasil ilustrasi David Cheah.
No comments:
Post a Comment