Aku pernah cuba meneroka peluang untuk menulis buku bagi mendapatkan royalti. Tapi dunia penulisan buku di Malaysia ini sedikit rigid, misalnya dibandingkan dengan Indonesia. Aku juga pernah terbaca bahawa pasaran untuk bahan bacaan berbahasa Melayu hanya terhad kepada Indonesia, Singapura dan Brunei selain Malaysia. Lalu aku memutuskan untuk cuba menulis dalam bahasa Inggeris untuk pasaran antarabangsa.
Antara penulis yang menjadi inspirasi aku ialah J.K. Rowling. Namun apabila meneliti beberapa pengalaman penulis baru yang berurusan dengan syarikat penerbitan, tak semua berjaya menempa nama seperti J.K. Rowling. Kerenah birokrasi (ketidakpedulian editor sebenarnya) sangat keterlaluan. Manuskrip yang dihantar kepada beratus-ratus syarikat penerbitan belum tentu mendapat perhatian. Perhatian dalam erti kata sesetengah syarikat malah langsung tidak menjawab, jadi ke, tidak ke, apa pun tak ada. Keadaan itu berlaku walaupun sampul surat beralamat sendiri disertakan, tapi jangan harap manuskrip akan pasti dikembalikan. Semuanya bergantung kepada nasib, sama seperti nasib J.K. Rowling yang manuskripnya dijumpai oleh orang lain sebelum dipanjangkan untuk perhatian orang atasan syarikat penerbitan berkenaan. Bayangkan kos sampul surat, kurier (sesetengah pendapat menasihatkan guna FedEx supaya nampak profesional) dan yada yada yada. Seorang penulis terkenal di Britain pernah membuktikan betapa kroniknya ketidakpedulian para editor ini terhadap penulis baru. Penulis ini menggunakan nama samaran yang lain tetapi menghantar manuskrip sama ditulis beliau dan memenangi anugerah penulisan sebelum itu. Berbulan-bulan dia menunggu, haram tak ada sepatah respons pun dari sejumlah syarikat penerbitan yang dihantarkan manuskripnya. Padahal kalau mereka membaca sekadar sepintas lalu sekali pun, pasti mereka akan terperasan betapa tinggi mutu manuskrip tersebut. Masalahnya jangan kata baca, sentuh pun tidak. Lalu manuskrip yang dihantar pun terbiar berhabuk berdebu berbulan bertahun lamanya.
Katakanlah manuskrip akhirnya berjaya juga mendapat perhatian. Belum tentu penulis dapat mengaut keuntungan hasil jualan buku. Banyak kira-kiranya yang sudah tentu mengutamakan keuntungan syarikat penerbitan. Itu belum dikira lagi komisen untuk literary agent yang melobi manuskrip dan merundingkan terma-terma pembayaran royalti dan sebagainya. Kos promosi juga akan mengurangkan amaun royalti yang bakal diterima. Buku juga perlu terjual dalam kuantiti minimum tertentu yang ditetapkan oleh syarikat. Memanglah syarikat ada memberi wang pendahuluan, tetapi wang pendahuluan itu silap-silap perlu dibayar kembali kepada syarikat kalau jualan buku tidak mencapai sasaran; cover cost senang cerita. Royalti tidak dibayar setiap masa, sebaliknya hanya setahun dua kali. Royalti juga semakin rendah kalau penulis itu penulis baru.
Oleh yang demikian, aku cuba mengalih arah kepada syarikat penerbitan buku sendiri; Author House antaranya. Tapi syarikat penerbitan buku sendiri ini, walaupun hampir pasti buku kita dapat diterbitkan dalam jangka masa jauh lebih singkat berbanding syarikat penerbitan komersial, mengenakan pakej bayaran bagi setiap khidmat yang penulis ingin gunakan. Nak proof read ada bayarannya, nak promosi ada bayarannya, nak buku dipamerkan di kedai buku tertentu ada bayarannya. Pendek kata, belum jual buku lagi banyak duit sudah kena keluar. Sebab itu syarikat penerbitan jenis itu tak kisah berapa peratus royalti yang penulis mahukan. Sebab mereka sudah untung banyak atas serba-serbi perkara yang dicajnya, sebijik macam Air Asia.
Perabih duit demi menantikan keuntungan yang belum pasti ibarat mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Bukan satu percaturan yang bijak bagiku. Oleh sebab itu, aku mengorak langkah mencari cabang pelaburan atau perniagaan yang baru.
Monday, 5 September 2011
Ingin Hidup Selesa Tanpa Hutang 2
Labels:
Author House,
buku,
FedEx,
J.K. Rowling,
penulis,
royalti,
syarikat penerbitan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment