Pages

Saturday 12 November 2011

Caretaker Government: Pengalaman Negara Perancis dan Bangladesh - Episod 1

 
 
1.                  PENGENALAN
1.1        Konsep Caretaker Government
“Caretaker government” atau “kerajaan sementara” juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti “interim government” dan “provisional government”.  Berdasarkan Kamus Sains Politik: Politik Perbandingan, caretaker government merupakan “Kerajaan yang dibentuk untuk jangka masa tertentu sehingga kerajaan yang sah ditubuhkan.  Dalam konteks politik, keadaan ini merujuk kepada kerajaan yang dibentuk akibat daripada keadaan yang tidak stabil dalam sesebuah negara seperti berlakunya peperangan, kerajaan yang mendapat undi tidak percaya daripada parlimen ataupun parlimen telah dibubarkan.  Amalan kerajaan sementara ini sering berlaku dalam sistem kerajaan yang dibentuk berasaskan kepada gabungan beberapa parti.  Apabila berlaku perpecahan dalam gabungan tersebut, maka kerajaan yang sedia ada terpaksa dibubarkan.  Semasa menunggu pembentukan sesebuah kerajaan yang baharu, urusan pentadbiran negara tersebut akan diambil alih oleh pemerintah sementara ini.” (Halimah & Rohaida 2007).

Eagles et al. (2004) berpendapat, apabila kerajaan sedia ada telah berakhir tempoh perkhidmatannya, mereka akan kekal sebagai kerajaan dan berfungsi sebagai caretaker government sehingga kerajaan baru yang memenangi pilihan raya mengambil alih kuasa.   Peranan caretaker government ialah meneruskan dasar dan program sedia ada tanpa memperkenalkan dasar baru atau menggubal undang-undang baru. 

Selain itu, peranan caretaker government adalah hanya untuk melaksanakan urusan pentadbiran yang rutin dan tidak melibatkan pengenalan dasar baru yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.  Caretaker government akan bersikap neutral bagi memastikan pilihan raya umum berlangsung dengan bebas dan adil (Pakistan Institute of Legislative Development and Transparency 2006).

Menurut 2004 General Election Guidance on Caretaker Conventions yang diterbitkan oleh Jabatan Ketua Menteri Australia semasa pilihan raya umum tahun 2004, sesebuah kerajaan yang berfungsi sebagai caretaker government perlu menghindari perkara-perkara berikut semasa menjalankan tugasnya:
(i)                 Membuat keputusan membabitkan dasar utama yang boleh mengikat incoming government;(ii)               Membuat pelantikan bagi jawatan-jawatan penting;
(iii)            Terlibat dengan kontrak-kontrak besar atau sebarang perjanjian yang akan  mengikat incoming government; dan
(iv)             Mewakili Australian Capital Territory (ACT) dalam forum antara kerajaan kecuali tidak dapat dielakkan.  Sekiranya boleh, menteri dan agensi perlu memohon penangguhan bagi perjumpaan tersebut sehingga selepas pilihan raya.

Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan, secara ringkas caretaker government boleh ditakrifkan sebagai kerajaan sementara yang mentadbir sesebuah negara bermula dari tarikh pembubaran Parlimen sehingga tarikh kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara secara rasmi setelah memenangi pilihan raya.  Peranan caretaker government pada dasarnya ialah meneruskan dasar-dasar sedia ada tanpa memperkenalkan dasar-dasar baru dan tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.  Penulisan ini seterusnya akan mengupas peranan caretaker government selepas berlakunya pembubaran parlimen dengan merujuk kepada pengalaman Perancis dan Bangladesh.

No comments: