Suatu kisah di suatu hari Isnin.
Aku dan orang serumah pergi ke kampus sebuah IPT bagi urusan pendaftaran subjek semester baru. Yuran kami dah minta tolong junior umur tapi sekuliah dalam semester-semester sebelum ini bayarkan.
Punca utama kami berkunjung ke Pejabat Bendahari itu ialah walaupun yuran telah berbayar serentak pada hari Khamis minggu lalu, tetapi orang serumah denganku masih tidak dapat mendaftar subjek baru. Di ruangan web selepas dimasukkan ID dan password menunjukkan status 'batal'. Pelik bin ajaib. Keadaan semakin kompleks memandangkan semester ini merupakan semester terakhirnya dan status menunjukkan kuota untuk subjek elektif, satu-satunya subjek yang belum diambilnya telah pun penuh.
Kunjungan ke Pejabat Bendahari menyaksikan permulaan kerenah birokrasi tahap ichiban. Kami disuruh pula pergi ke Bahagian Bayaran bagi menyelesaikan masalah. Resit bayaran aku dan orang serumah ditunjukkan kepada pegawai di kaunter 1, dan dia mengemukakan kepada rakannya untuk semakan dan penyelesaian. Sambil menunggu sambil berdiri, aku katakan kepada orang serumah bahawa aku ada terima e-mail dari Bahagian Bayaran bahawa pembayaran dari akaunku didebitkan dua kali dengan jumlah yang sama bagi tujuan bayaran yuran pengajian. Aku semasa itu berasa hairan tetapi tidak dapat mengesan sebarang petanda bahawa keganjilan itu akan menjejaskan pendaftaran pengajian. Apabila aku sebutkan perkara tersebut kepada orang serumah, barulah nampak sedikit di mana punca masalahnya. Orang di Bahagian Bayaran itulah semasa menerima pembayaran yuran kami tersilap memasukkan data. Jadinya, seolah-olah aku seorang sahaja yang membayar yuran, bahkan sebanyak dua kali. Yang membingungkan ialah pada resit bayaran pandai pula dicetak nombor matriks kami masing-masing dan tidak nombor matriks aku sahaja.
Masalah untuk mendapatkan lampu hijau pendaftaran selesai apabila pembetulan kepada maklumat dalam sistem dilakukan oleh Bahagian Bayaran. Dua-tiga orang pegawai yang berdiri, pegawai wanita bertudung berblazer, kelihatan sedikit tersenyum sesame mereka hanyasanya tidak menjelaskan kepada kami apa-apa justifikasi berlakunya masalah sebegini. Tapi masalah berhubung subjek elektif yang wajib diambil oleh orang serumahku belum selesai. Kami ke Pejabat Fakulti pula.
Di sana, diterangkan kepada seorang petugas di kaunter tentang masalah yang menyebabkan pendaftaran pengajian belum dapat dibuat dan tentang kuota subjek elektif yang penuh. Sekali lagi kerenah birokrasi mempamerkan kekuasaannya. Pejabat Fakulti tidak dapat berbuat apa-apa, sebaliknya kuasa membuka kuota jatuh pada Pejabat Program. Makanya kami perlu ke mana? Ya, kami dengan riang gembira sorak-sorai meneruskan perjalanan makan angin ke Pejabat Program. Di sana, kata petugas di kaunter iaitu seorang lelaki, kami perlu menemui sendiri pensyarah berkenaan. Kalau pensyarah setuju untuk buka kuota, maka bolehlah kami ambil subjek itu. Masalahnya pensyarah tidak dapat mengadakan kuliah yang sepatutnya berlangsung petang ini, jadi bagaimana kami hendak dapatkan persetujuannya. Terpaksalah menunggu sehingga minggu hadapan.
Aku sebenarnya masih ada 1 semester. Aku telah merancang untu memfokuskan penyediaan tesis pada semester akhir tanpa terikat dengan tugasan dan final exam subjek lain. Perancangan pada semester ini pula untuk mengambil baki 3 subjek lain termasuk subjek elektif. Malangnya, satu subjek wajib yang aku nak ambil tak ditawarkan pula semester ini. Ertinya, pilihan yang aku ada ialah 2 subjek dan daftar untuk tesis. Jadinya, kalau aku tidak dapat mengambil subjek elektif ini maka alternatif yang ada hanyalah mendaftar untuk penyediaan tesis yang belum ku muktamadkan tentang apa bersama 1 lagi subjek wajib yang berhasil ku daftarkan sebagai pelengkap kuota pelajar (nasib baik beb). Nyatanya aku belum bersedia menekuni kerja-kerja tesis ini. Satu lagi pula, sistem yang digunapakai program pengajian ini ialah pelajar sendiri dalam kesamaran sama ada subjek yang ingin diambil ditawarkan atau tidak pada setiap semester. Nak kata ditawarkan berselang semester pun tidak juga, nak kata ditawarkan setiap semester pun susah juga, nak kata tak ditawarkan langsung untuk beberapa semester pun memang ada. Kalau aku tak boleh ambil juga subjek elektif itu untuk semester ini, silap-silap tak ada subjek elektif yang sesuai ditawarkan semester depan. Mengambil subjek elektif yang ditawarkan program lain hanya menyusahkan diri sendiri terutama menyesuaikan diri dengan orang-orang program berkenaan dan pendekatan kehendak tugasan.
Harap-harapnya pensyarah itu terbuka hati untuk membuka kuota bagi kelasnya kerana mengikut kiraan aku masih ramai lagi pelajar seprogram yang berada di semester akhir tidak dapat mendaftar subjek elektif berkenaan. Kalau tak, alamatnya extend 1 semester lagilah jawabnya.
No comments:
Post a Comment