Pages

Friday, 7 October 2011

Apa Khabar Jomo K.S.?

Apabila bercakap tentang Belanjawan Alternatif oleh pihak pembangkang, satu nama yang sering terngiang-ngiang di mindaku ialah Jomo Kwame Sundaram atau Jomo K.S. Malaysia ada ramai anak kandungnya yang tersohor dan ilmuan, tetapi atas sebab-sebab tertentu selain imbuhan kewangan, antaranya kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan bertentangan, mereka akhirnya memilih untuk mencurahkan kepakaran di bumi asing. Tahun 1999, semasa Barisan Alternatif ditubuhkan secara longgar bagi menentang Barisan Nasional, itulah kali pertama sepanjang hidupku aku mendengar bahawa parti-parti pembangkang juga berupaya mengemukakan saranan perancangan kewangan negara. Satu usaha yang pada pandanganku perlu dialu-alukan dalam menyuburkan demokrasi sesebuah negara. Satu daripada amalan yang telah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju dunia.

Oleh sebab itu, apabila ada suara-suara memperlekeh Belanjawan Alternatif sedemikian, ternyata hujah yang mereka kemukakan merupakan hujah yang dangkal. Sesiapa juga pun tahu bahawa pakatan parti pembangkang tidak dapat melaksanakan Belanjawan Alternatif yang mereka cadangkan. Sudah tentu. Sebab itulah gunanya kerajaan. Proses, sumber dan liputan bagi penyediaan Belanjawan Alternatif juga mana mungkin dibandingkan dengan Belanjawan rasmi negara. Bagi menyediakan Belanjawan rasmi negara seluruh jabatan dan kementerian yang ada digembeleng inputnya. Pakatan Rakyat tak ada input dalaman ini semua. Takkan dapat pun. Berasaskan input yang diterima daripada semua jabatan dan kementerian yang mencakupi segenap aspek kehidupan masyarakat, maka Belanjawan rasmi negara dapat menyentuh keperluan setiap kelompok tertentu masyarakat secara langsung dan lebih menyeluruh, dan bukannya di atas permukaan sahaja.

Apabila parti-parti pembangkang berdemonstrasi di jalan raya atau membuat hora atau salakan kosong di Parlimen, mereka ditempelak sebagai tidak menyumbang idea bernas demi pembangunan negara. Apabila mereka kemukakan cadangan yang membina, mereka masih dihentam sebagai hanya pandai menabur janji. Aku terfikir juga, bagaimanalah agaknya sekiranya hujah tahap begitu diketengahkan di negara-negara maju. Kena gelak kah kah kah kah barangkali. Alamatnya lambat lagilah kita nak bergelar negara maju, yang salah satu piawaian standardnya ialah parti-parti yang ingin berkuasa akan mempersembahkan perancangan masing-masing untuk dinilai oleh rakyat, serta diperdebatkan secara sihat dan matang, bukan dengan hujah kedai kopi.  
Berdasarkan suasana keilmuan yang sama, nescaya dalam masa terdekat Jomo K.S. tak akan kembali ke bumi bertuah ini. Lebih seronok bertugas di PBB.

No comments: