Pepatah lama Cina, dalam sebuah buku yang pernah aku rujuk zaman muda-muda dahulu, pernah menyebut. Bahawa kalau kita tidak ketemu kawan kita selama 3 hari, maka sepatutnya sudah dijangkakan perubahan pada dirinya. Betapa benar pepatah itu, kerana seorang kawan zaman sekolah, yang kini selalu menang bicara, tanpa ku duga apabila ketemu sempena majlis rumah terbuka, rupa-rupanya kini berkecimpung dalam dunia nikotina sejak entah bila. Sepastinya, bukan sejak zaman sekolah menengah separa berasrama sebuah negeri di utara. (Nota: Resmi budak asrama, takkan kita tak kenal dan tahu kawan mana yang bernikotina, tambahan pula sekelas selama 3 tahun). Seorang daripada kumpulan pelajar “muka jernih” (kata orang belah sana), stock-stock naqib usrah, bukan geng hu ha hu ha.
Aku tidak melihatnya berbuat demikian secara langsung, tapi pada mulanya musykil awat dia ke serambi bertutup bangunan merpati tempat tetamu senikotina yang lain beraktiviti. Lama-lama pecah berita daripada golongan feminisme mengandungi orang rumahnya, mengesahkan tanda tanya, telah agak lama juga. Barangkali disebabkan tekanan kerja, kerana berdasarkan persembangan, bukan calang-calang cubaan dan tribulasi untuk memperjuang dan menegakkan kebenaran golongan tertindas. Ugutan, ancaman, secara psikologi dan emosi (mungkin juga fizikal tetapi tidak diceritakan), termasuk menggunakan tangan-tangan jin dan syaitan, serta pihak yang seharusnya membuat risikan untuk ketenteraman awam, diterima oleh kawanku itu. “Sampai muntah hijaulah”, katanya, tak mustahil ia maksudkan benar-benar secara literal. Satu sahaja pernyataan (dan persoalanku) kepadanya, “Kalau depa tak salah awat buat sampai tegha tu?”. Tuhan menyebelahi orang yang tertindas dan orang yang benar. Alahlah mustakbirin, si penyalah guna kuasa tak sangga, seraya terpaksa membayar ganti rugi.
Dunia nikotina barangkali sukar ditinggalkan kawanku, walau bermula agak lewat, tapi aku doakan dia supaya diberi kekuatan, agar tekal dan istimrar dalam membantu golongan marhaen. Sesuatu yang aku tak mampu, dek beberapa keterbatasan pada diriku.
Dunia nikotina barangkali sukar ditinggalkan kawanku, walau bermula agak lewat, tapi aku doakan dia supaya diberi kekuatan, agar tekal dan istimrar dalam membantu golongan marhaen. Sesuatu yang aku tak mampu, dek beberapa keterbatasan pada diriku.
No comments:
Post a Comment