Pages

Monday, 31 October 2011

Ulasan Filem: Kekasih Awal dan Akhir


RTM seperti biasa ada juga bahan tayangan yang menarik, cuma masalahnya tak promosi secukupnya. Asyik-asyik siaran propaganda lagu N.D. Lala, sikit-sikit cukuplah, ini bukan zaman wayang pacak Jabatan Penerangan lagi, jauh sekali zaman Goebbels jadi Menteri Propaganda era Hitler. Lagu ND Lala tak salah pun, mesej yang baik. Masalahnya overdosage. Betullah sesuatu yang diulang-ulang orang akan percaya, tapi kena ingat juga kalau selalu sangat diulang-ulang orang  yang nak percaya pun boleh jadi muak nak termuntah nak terbelahak. Orang utara kata “cemuih aih”. “Khairil umuri awsatuha”, sebaik-baik perkara adalah bersederhana.
Malam ini TV2 tayang sebuah filem. Agaknya beberapa minggu ini temanya “Jamal Abdillah”. Minggu lepas heroinnya Raja Ema. Minggu ini ku sangkakan cerita psycho-thriller “Takdir Penentu Segala” (setelah disemak “Suratan Kasih” rupa-rupanya) tapi sebaik sahaja ternampakkan Sofea Jane dengan baju kilang, memang sah ini filem “Kekasih Awal dan Akhir”. Babak paling membekas di ingatan walaupun aku tidak menonton di pawagam ialah babak Sofea Jane yang berpakaian kilang berlari-lari sambil menangis. Berdasarkan semata-mata ingatan aku (kalau silap tu alamatnya aku lupalah), filem ini terbitan 20 tahun lepas. Tahun 1992 (bila aku semak semula tahun 1993). Memang mengimbas zaman muda-muda, dengan landskap perbandaran Malaysia (Kuala Lumpur khususnya) takkan mungkin dapat dilihat lagi pada hari ini. Dengan adegan Sofea Jane menunggu bas kilang (dengan lengkap berpakaian minah kilang warna oren, hish, kilang manalah agaknya tu) di hentian bas, ada bas mini dan steamroll warna kuning ang-ang membuat penampilan cameo. Mana ada lagi bas mini kat KL sekarang, takkan jumpa punya. Paling dekat agaknya di Bangi dan Kajang membawa pendatang asing dan mahasiswa UKM. Polis (inspektor?) pun baju cekelat perang semacam, jalan raya pun tak seceria hari ini dengan lampu, banner, billboard dan segala macam.
Filem ini boleh tahan box-office, 4.2 juta ringgit (sekali lagi kalau tak silap; memang silap pun, dalam 2.1 juta ringgit sahaja). Mengeksploitasi populariti lagu Jamal Abdillah dengan tajuk yang sama. Susunan jalan cerita pun tak klise. Kalau biasanya start A habis di Z, filem ini bermula di Z, diikuti A, B, C dan seterusnya. Walaupun aku tak berkesempatan melihat dari mula, aku ingat lagi bahawa wartawan lokasi yang membuat liputan runtuhan bangunan melibatkan tersepitnya si hero (Jamal Abdillah) ialah Azwan Ali. Kontroversi juga di situ. Sebabnya, menurut Harian Metro yang aku baca di Selayang pada petang ketibaan aku adik-beradik dengan tok menaiki kereta sewa tok ayah dari Pulau Pinang (masa itu Harian Metro kira surat khabar elit untuk warga kota sahaja, di negeri lain tak ada), ada perang mulut antara Azwan Ali dengan Afida Es, ibu kepada Zulkifli M. Osman. Punca perang kerana dubbing tak guna suara Azwan Ali, sudah tentu hamba Allah tu tak puas hati. Twitter belum lagi tercipta masa itu.
Watak hero dan heroin zaman remaja dipegang anak Uji Rashid, Cico Harahap dan gandingannya Zizie Ezette. Si heroin tu menang award kat Festival Filem Malaysia tahun berkenaan (dah agak dah "tahun berikutnya"). Siapa sangka dua dasawarsa kemudian beliau ketemu dengan orang Kinabatangan.

No comments: