Pages

Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Thursday, 14 November 2013

Putera-Putera Politik Yang Takkan Menjadi Raja

Dalam dunia politik Malaysia, banyak kisah seorang putera yang tidak kesampaian menaiki takhta.  Penulis tidak ingin bicara tentang dunia aristokrasi yang ada pencak silat politik tersendiri.  Apa yang ingin disentuh ialah tentang nasib beberapa politikus Malaysia yang sudah tersangat hampir ke mercunya, tapi atas sebab-musabab tertentu yang ditakdirkan Allah maka hasrat mereka tidak kesampaian.
 
Ku Li satu ketika merupakan tokoh karismatik yang terang-benderang bintangnya, merupakan Naib Presiden paling kanan dalam UMNO, juga menteri kanan dalam kerajaan persekutuan.  Entah apa sebabnya, apabila jawatan Timbalan Perdana Menteri kosong, Tun Hussein tidak memilih beliau sebaliknya Naib Presiden lain yang lebih rendah hierarkinya berbanding beliau.  Ku Li kemudian mencabar Naib Presiden yang telah menjadi Perdana Menteri itu, tetapi tewas walaupun rakyat Malaysia pada umumnya telah bersiap-sedia menerima Presiden baru UMO sebagai Perdana Menteri baharu juga.  Ku Li mencabar lagi BN dalam PRU tahun 1990, tetapi kes "sigah Kadazan berimej salib" di"spin" sangat dahsyat sehingga kehilangan undi Melayu.  Ku Li kembali semula ke dalam UMNO serentak pembubaran Semangat 46 namun tidak pernah berjaya lagi menjawat jawatan berpengaruh dalam parti mahupun kerajaan selain merajai Gua Musang.  Karier politik Ku Li akan tamat di situ.
 
Husam Musa merupakan, bak kata Joceline Tan dalam The Star, "blue-eyed boy" Tok Guru.  Penulis pernah berselisih dengannya di Parlimen, benar seperti kata Joceline Tan juga, tinggi orangnya, sementelahan ketika itu hampir 10 tahun lebih muda dari sekarang, justeru "boyish" juga.  Mendengar beliau berbahas dalam Parlimen merupakan satu pengalaman menarik kerana lazimnya penceramah PAS berceramah tanpa isi selain mengutuk UMNO dan BN.  Tetapi Husam berhujah dengan fakta tanpa menggunakan kata-kata kesat terhadap lawan politiknya.  "Rare breed" dalam PAS, memikat hati pemerhati dan penggemar politik yang teringin melihat politik idea dan bertamadun mengambil tempat di Malaysia.  Malangnya, benda-benda 'rare' tergolong dalam 'collectibles'; hanya bernilai di mata mereka yang tahu menghargainya, seperti pengumpul barangan antik misalnya.  Di kalangan orang yang tidak menggemari benda-benda 'rare', siapa pun mereka, Husam dilihat tidak berfaedah untuk disediakan ruang untuk menyimpannya.  Terbuanglah Husam dari saf kepemimpinan kerajaan negeri, tanpa mungkin ada ruang kembali.  Karier politik Husam akan paling tinggi setakat Naib Presiden parti.  
 
Muhyiddin Yassin sebenarnya hampir sangat dalam karier politiknya untuk menghuni Seri Perdana.  Tapi roda politik berputar pada kadar yang sukar dijangkakan kelajuannya.  Seusai PRU-13, seakan-akan beliau menjadi harapan ahli-ahli beraliran kanan untuk mencabar teraju parti.  Namun apabila beliau mengekalkan jawatan sedia ada, harapan yang disandarkan juga melebur.  Susulan itu, jika diperhatikan beliau tampak hanya meniti masa-masa kecederaan dalam karier politiknya.  Wajahnya nampak letih, tidak memperlihatkan zeist atau kobaran semangat meluap-luap untuk menerajui Malaysia.  Kemuncak kelesuan itu pada hemah penulis adalah apabila beliau mengulangi ikrar raja-raja Melayu dalam perjanjian berat sebelah zaman dahulu kala yang menguntungkan penjajah.  Dalam kempen PRK Sungai Limau baru-baru ini, beliau berikrar akan mempertahankan pendidikan  vernakular "selagi ada bulan dan bintang".  Penulis faham dalam kempen pilihan raya segala macam akan dijanjikan untuk meraih sokongan.  Tetapi dengan memberi jaminan bahawa status quo tidak akan berubah sampai kiamat sangat keterlaluan, apatah lagi apabila keluar dari mulut pemimpin yang tidak dikenali sebagai proliberal.  Kelak nantinya ada saranan untuk menyepadukan pendidikan kebangsaan, nama Muhyiddin akan terus disebut-sebut oleh pendokong aliran pendidikan memencilkan diri ini sebagai hujah menyokong.  Dengan ikrar sedemikian, beliau juga kehilangan sokongan aliran kanan Melayu dalam parti dan negara.  Sebagaimana Ku Li dan Husam Musa, jam politik Muhyiddin sedang kehabisan pasirnya. 

Wednesday, 28 September 2011

Hu Ha Hu Ha Hukum Hudud

Semasa kerajaan negeri Kelantan mula berura-ura untuk melaksanakan hukum hudud pada awal tahun 1990-an, aku yang pada masa itu berada di menengah rendah mempunyai pemikiran yang cukup simplistik. Walau apa pun hu ha hu ha nya, sama ada pihak yang mencadang mahupun yang membangkang, padaku hukum hudud kan hukum Tuhan. Tuhan kan Maha Mengetahui. Sudah tentulah Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Itulah tahap pemikiran budak kanyir macam aku ketika itu.

Masalahnya orang politik, yang kununnya dewasa, jarang berfikir mudah sebegitu. Mereka ada banyak perkiraan untung dan rugi dari sudut sokongan politik. Pada sisi yang lain, pemikiran simplistik aku pula sangat naïf dan idealis sifatnya. Aku tak terterka bahawa sesakral manapun hukum Tuhan, yang melaksanakannya tetap tangan-tangan manusia, yang bukan sahaja banyak kelemahan, bahkan cenderung memanipulasi sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri sendiri. Hilanglah matlamat keadilan yang sepatutnya ditegakkan, sepertimana sering berlaku di Pakistan.

Jungkir ke kira-kira dua dasawarsa ke hadapan, seperti iklan makanan ringan kanak-kanak tahun 90-an, Tora, isu hudud “datang lagi”. Pemasaan cukup cantik, dicetuskan oleh salah seorang strategis politik terkemuka negara ini, Tun Dr. M. Beliau cukup tahu bahawa Pakatan Rakyat ialah pakatan parti-parti pembangkang yang longgar, dan banyak isu yang mereka, walau nama mereka secara zahir seolah-oleh berpakat, namun dalam menangani isu-isu taboo itu mereka jelas tidak sepakat. Hanya perlukan seseorang untuk memetik suis, nescaya ramai yang akan terkena renjatan elektrik. Tun Dr. M cukup tahu itu. Nyata strategi beliau sangat berjaya. Pada sisi yang lain, ini membuktikan bahawa beliau masih pencatur politik utama negara. Walau tidak seperti Lee Kuan Yew yang berperanan dominan dengan cara kekal memegang jawatan rasmi kerajaan, Tun Dr. M memilih pendekatan berbeza. Beliau melepaskan jawatan eksekutif tertinggi negara, tindakan sangat terpuji dan berani bagi seorang negarawan. Tak ramai orang politik di puncak kuasa punya daya untuk berbuat sepertinya. Tapi bukan semudah itu untuk berdiam diri dan melihat sahaja parti pemerintah menuju persimpangan getir menjelang pertempuran besar-besaran yang entah hujung tahun ini atau awal tahun depan. Kegagalan parti yang beliau asaskan sendiri bererti kegagalan beliau. Iyalah, kalau kita pun, anak sendiri dalam kecemasan, takkan kita nak biarkan. Dah fitrah manusia. Isu hudud jadi peluru, ditembakkan dulu. Pakatan Rakyat pun berantakan.

Persoalannya, betulkah hukum hudud hampir mustahil dilaksanakan di Malaysia? Aku malas nak bincangkan dari segi kira-kira politik, sesuai tak sesuai dan sebagainya. Aku lebih suka tengok dari sisi teknikal perundangan. Semalam aku baca akhbar Harian Metro, halaman Setempat, muka surat 15A, ada memuatkan petikan temubual di antara wartawan, Idris Musa dengan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang. Di bawah tajuk “Isu Hudud Retorik Politik, Perlu lihat konteks semasa, realiti”, Musa Awang berkata mustahil dilaksanakan kecuali Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 dipinda dengan memasukkan peruntukan membenarkan kerajaan negeri melaksanakan undang-undang hudud.

Kata Musa, Akta 355 ialah undang-undang yang diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa di seluruh Persekutuan (seluruh negara), termasuk negeri yang membataskan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah Syariah. Akta itu memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman berkenaan saja. Sebarang pindaan kepada akta itu juga perlu dibuat di Parlimen dan mendapat persetujuan majoriti ahli Parlimen. Malah katanya, undang-undang yang diluluskan kerajaan negeri terbatal jika berlawanan (ultra vires) dengan undang-undang diluluskan Parlimen.

Berdasarkan penjelasan Musa, aku faham 2 perkara. Satu, ertinya undang-undang hudud yang diluluskan DUN Kelantan sebelum ini tak sah la sebab ultra vires dengan undang-undang Persekutuan. Itu jelas, walaupun hakikatnya perit juga sesetengah orang terutama pendokong gerakan Islam nak telan, sebab seolah-olah usaha yang sia-sia dari segi ke-sah-an untuk pelaksanaan (walau dari segi politik PAS score tak ingat).

Dua, tidak mustahil pun nak buat undang-undang hudud ni. Musa Awang pun tak kata majoriti tu kena 2/3, ertinya majoriti mudah seperti selalu diperolehi BN dalam meluluskan undang-undang baru atau meminda undang-undang sedia ada pun dah mencukupi. Cuba tengok komposisi kerusi Parlimen (Dewan Rakyat). Jumlah kerusi ada 222. Majoriti mudah 112. Kita andaikan hanya Ahli Parlimen beragama Islam akan menyokong sekiranya Akta 355 nak dipinda. Daripada sejumlah 222 kerusi, pecahan kerusi yang disandang oleh Ahli Parlimen beragama Islam seperti berikut: UMNO (78), PBB (10), Bebas (4), PAS (22, tak termasuk Titiwangsa), PKR (16). Jumlah mereka 130. Boleh sangat, secara teknikalnya. Nak tak nak saja soalnya. Soalnya, nak ke?

RUJUKAN:

Tuesday, 6 September 2011

Kegilaan Kepada Kuasa

Kuasa merupakan sihir dalam kelas tersendiri. Datanglah sesiapa pun; sekularis, ilmuan, tokoh korporat, politikus hatta orang alim atau ulama sekalipun, kalau sekali sudah berasa nikmat berkuasa, sangat sukar untuk melepaskannya. Kuasa adalah suatu ketagihan bagi sesiapa yang sudah merasainya; ibarat rokok, candu, minuman keras barangkali. Sebab itu akan sentiasa ada seribu satu alasan dan justifikasi mengapa seseorang yang sedang berkuasa perlu terus mempertahankan kuasanya. Tak percaya, cuba tengok dalam PRU-13 nanti. Kalau dalam PRU sebelumnya alasan yang diguna untuk meraih undi ialah "Cuba try test tengok bagi kami perintah sepenggal, lepas tu kalau tak puas hati ubahlah semula". Apabila rakyat beri peluang memerintah dan dirasakan mereka tidak perform, mereka akan kona kepada alasan lain pula. "Berilah kami peluang sekali saja lagi,  banyak lagi perancangan jangka panjang yang belum sempat kami laksanakan." Lupa pula mereka bahawa dulu mereka pernah berjanji bahawa rakyat boleh sepak mereka keluar bila-bila masa kalau tak suka. Dah sampai masa lain pula cerita.

Memetik kata-kata Joceline Tan dalam kolum Analysis The Star semalam,
"Power is such a seductive thing and those who have tasted it cling to it like they would to a lover."