Kalau kita rajin meneliti semula sejarah lampau, kita akan faham sedikit-sebanyak bahawa percaturan politik orang Melayu sejak zaman pentadbiran British dahulu sudah sinonim dengan kesukaran menjayakan perpaduan, apatah lagi bersatu dalam satu parti. Hal ini disebabkan pemimpin atau pemuka politik tersebut masing-masing mempunyai kepentingan tertentu yang kadang-kala mengutamakan kepentingan peribadi melebihi yang lain. Politik juga, berdasarkan penelitian terhadap sejarah moden politik Melayu menunjukkan bahawa gara-gara persaingan merebut pengaruh, saudara seagama sanggup diketepikan sebaliknya entiti dan individu politik yang anti kepada kaum Melayu dan Islam pula lebih dipercayai. Kalau ada orang Melayu yang tidak partisan hairan kenapa PAS boleh berpakat dengan DAP atas nama tahaluf siyasi tetapi mati-mati menolak kerjasama dan perpaduan dengan UMNO walaupun atas isu-isu pokok yang melibatkan kemaslahatan Melayu Islam, fahamilah bahawa sejarah moden politik Melayu seawal di Singapura juga menunjukkan perkara yang sama. Bezanya nama politikus dan parti politik yang terlibat. PAP kini memang dibenci oleh orang-orang Melayu khususnya yang bernaung di bawah UMNO, sebagaimana mereka membenci DAP. Tetapi sejarah mencatatkan bahawa UMNO pernah berpakat dengan PAP di Singapura dalam pergelutan, pergulatan dan persaingan sengit dengan Liga Muslim. Liga Muslim (baca: pemimpin utama mereka) yang flip-flop dalam menetapkan pendirian, ditambah pula dengan masalah kepemimpinan yang tidak berwibawa seterusnya menghakis sokongan dan dokongan ahli-ahli parti sendiri, akhirnya terpenyek dalam lipatan sejarah. Apapun, dalam persaingan politik Melayu di antara UMNO Singapura dengan Liga Muslim, UMNO Singapura telah mengambil langkah bijaksana dan sangat terkehadapan melangkaui pemikiran sezaman dalam merekrut keahlian. Sementara Liga Muslim terlampau rigid dengan syarat keahlian dan definisi Melayu, UMNO Singapura membuka keahliannya dengan definisi Melayu dalam konteks lebih luas. Natijahnya, orang Islam keturunan Arab, India-Muslim dan seumpamanya, yang mempunyai persatuan etnik masing-masing bagi menjaga kebajikan mereka, juga dikategorikan sebagai Melayu menyebabkan bilangan ahli UMNO Singapura jauh lebih ramai berbanding Liga Muslim yang mengambil pendekatan konservatif. Ini tidak dinafikan sebagai satu political manouvre untuk meraih sokongan massa, tetapi pada masa yang sama selaras dengan konsep perpaduan Islam yang tidak membezakan keturunan asalkan seagama. UMNO kini, sama ada diakui dan disedari mahupun sebaliknya, berdepan dengan pertentangan dalaman tentang keperluan untuk mendefinisikan semula apa ertinya Melayu yang wajar diterima sebagai ahli. Kekecewaan sebahagian ahli UMNO itu bukanlah sangat kepada etnik ahli yang diragukan keMelayuannya, tetapi buruk kelaku orang/peimpin UMNO berkenaan walau siapa pun mereka yang berkebetulan ditakdirkan Allah dari golongan etnik yang diragukan keaslian Melayunya. Pada hemat hakir, untuk mencapai tahap kegemilangan UMNO bukan setakat menang besar dalam pilihan raya, namun yang lebih penting adalah UMNO menunjukkan tahap integriti, kebertanggungjawaban, amanah dan kesungguhan membela rakyat yang jitu. Jika ada mana-mana ahli yang khianat kepada sebarang bentuk amanah, dasar kebencian ahli yang lain kepadanya hendaklah atas sikap/tingkah laku/perbuatan yang telah dilakukan tidak selaras dengan perilaku seorang Melayu Islam. Usahlah dikaitkan pula buruk kelaku itu dengan isu etnik kawan yang berkenaan. Isu itu telah lama selesai. Kerana UMNO sebenarnya telah lama membuat pilihan tentang keahliannya. Lama dahulu.
Showing posts with label PAP. Show all posts
Showing posts with label PAP. Show all posts
Friday, 18 October 2013
Tuesday, 21 February 2012
Mencari Bahan Tesis Tentang Politik Singapura
Semester baru sudah bermula minggu ini, tapi aku hanya ada satu kuliah sahaja iaitu pada hari Jumaat, pukul 4 petang hingga 7 malam. Yuran belum berbayar lagi, ikutkan hati nak tunggu hari gaji, maklumlah pembiayaan sendiri, di sini yurannya "flat-rate", hang ambik 1 subjek 3 kredit pun hang bayar sama amaun juga macam hang ambik 10 subjek 30 kredit. Bijak, bijak; bijak kena kat dia. Aku lebih suka sebenarnya kelas hari bekerja yang lain melainkan hari Jumaat, sebab selepas berpeluh-peluh terkena pancaran terik mentari kemudian nak masuk kelas berhawa dingin memerah otak memahami subjek... adui, silap-silap boleh demam.
Selain satu-satunya kelas tersebut, aku perlu langsaikan tesis yang belum bertajuk setakat ini. Merancang-rancang sama ada hendak dibuat tentang Brunei atau Singapura. Menimbang-nimbang, aku pangkah Brunei, bukan sebagai tanda menyokong tapi dikeluarkan dari senarai. Sebabnya tak banyak bahan pun berdasarkan pengalaman lalu. Agak misteri dan tertutup. Masa mula-mula nak menulis tugasan lalu ada juga e-mail kepada parti politik di sana, tetapi "auto-reply", dan berbulan-bulan, sampai lebih setahun berlalu tanpa apa-apa maklum balas. Jadi aku besar kemungkinan akan memilih tema tentang politik Singapura. Ironinya, Singapura yang orang kata tak begitu mesra media, dan agak terbatas hak asasi manusia sangat banyak pula bahan bacaan dan rujukannya, sekurang-kurangnya berbanding Brunei lah. Sesuatu yang menarik tersembunyi di situ, kalau nasib baik dapatlah aku mencungkilnya.
Cuma masalahnya selain tajuk tesis yang lebih fokus dan rinci, ialah koleksi buku berkaitan politik Singapura di perpustakaan universiti yang kurang terkini dan tidak cukup banyak. Malah, koleksi buku berstatus terbaru tentang politik Singapura yang aku ada pun nampaknya tak termasuk di dalam koleksi perpustakaan. Penjimatan belanjawan sangat-sangat mengesankan kelihatannya, itu belum dikira lagi langganan jurnal pun sesetengahnya ketinggalan lebih 10 tahun ke belakang.
Minat aku sekitar PAP, pengaruh parti pembangkang, Lee Kuan Yew, sistem dua parti, dan sewaktu dengannya. Cuma perlu ada perimbangan, sebab tak terjangkau kudrat nak buat tesis semata-mata fasal LKY yang dah terlampau banyak, terperinci dan bersejarah pula, begitu juga dengan PAP. Apapun, Singapura tak boleh lari daripada depa berdua tu.
Silap-silap aku interview juga Tuan Remgold ni kang, haha!
Anda ada info yang boleh membantu?
Subscribe to:
Posts (Atom)
