Pages

Showing posts with label kelayakan Olimpik 2012: Malaysia vs Jepun. Show all posts
Showing posts with label kelayakan Olimpik 2012: Malaysia vs Jepun. Show all posts

Thursday, 3 November 2011

Sok Sek Sok Sek Soal Senator


Setakat sedikit maklumat yang kedapatan, jawatan senator dalam konteks Malaysia bukanlah sehebat seperti di Amerika Syarikat. Hebat di sini ada dua perkara.

Pertama, hebat dari segi reputasi. Di Malaysia, katakan diletakkan dua orang manusia bersebelahan dan diperkenalkan. Yang ini Senator, yang ini Ahli Parlimen. Dari kaca mata masyarakat gah lagi si Ahli Parlimen. Walhal dua-dua hamba Allah tersebut hadir ke bangunan yang sama; Bangunan Parlimen. Tapi tengoklah, dari segi nama bangunan pun dapat kepada Ahli Parlimen. Walhal kedua-duanya Ahli kepada Dewan masing-masing iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Kedua-duanya juga digelar YB. Tapi masyarakat terbanyak sudah laraskan dalam minda bahawa selain ADUN seorang lagi yang bergelar YB ialah Ahli Parlimen.

Kedua, hebat dari segi kuasa meluluskan sesebuah rang undang-undang. Di Amerika Syarikat, Senator boleh menggagalkan kelulusan sesuatu ‘bill’ yang dipersetujui oleh sejumlah wakil House of Representatives. Selagi bilangan Senator yang mencukupi tidak mengundi ‘Aye’, jangan harap ‘bill’ akan diluluskan. Presiden yang ada kuasa veto pun tidak mampu menggunakan kuasa vetonya pada peringkat ini. Di Malaysia, Senator hanya mampu menangguhkan kelulusan sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat. Sampai masa, setuju atau tidak, rang undang-undang tersebut akan dibawa mengadap kepada Yang Dipertuan Agong. Baginda pun hanya boleh menangguhkan perkenan terhadap rang undang-undang tersebut, kalau mahu. Sampai tempoh masa yang ditetapkan, sama ada baginda berkenan atau tidak, rang undang-undang itu akan tetap diwartakan.

Apa kelayakan asas yang membolehkan seseorang dilantik sebagai Senator? Pertama, mestilah jadi warganegara Malaysia terlebih dahulu. Kedua, berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Ketiga, siuman. Keempat, tidak muflis. Kelima, tidak memiliki rekod jenayah.

Seperti kriteria untuk temuduga kerja juga, kelima-lima syarat di atas merupakan syarat yang sangat asas. Tentulah pihak-pihak yang terlibat untuk memilih individu yang layak menjawat jawatan Senator ada lagi kriteria tambahan lain. Menurut laman web Parlimen, antara kriteria tambahan itu ialah cemerlang dalam kerjaya masing-masing, seperti perdagangan, industri, pertanian, kebudayaan, khidmat sosial dan wakil kaum minoriti dan orang asal. Idealnya begitulah.

Berapa pula agaknya bilangan Senator dalam Dewan Negara? Dalam satu-satu masa, kalau semua kuota Senator diisi, sepatutnya akan ada 70 orang. Daripada jumlah tersebut, ada yang dipilih dan ada pula yang dilantik. Soalnya, apa beza ‘dipilih’ dan ‘dilantik’, macam sama sahaja? Memang ada beza. Dipilih merujuk kepada 26 Senator yang menang dalam undian pencalonan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dari Perlis sampailah ke Sabah. Setiap DUN akan cadangkan 2 orang, dan memandangkan yang cadang daripada pihak kerajaan yang merupakan pihak majoriti walaupun sekadar majoriti mudah, maka jangan haraplah pihak pembangkang di dalam DUN berkenaan mempunyai peluang memastikan calon mereka menang. Di sinilah satu lagi kriteria tambahan yang sebenarnya kriteria paling utama digunapakai, walaupun tidak dinyatakan secara bertulis atau rasmi. Kriterianya ialah pelantikan atas faktor parti politik atau sekurang-kurangnya kecenderungan politik yang memihak kepada pihak kerajaan negeri. Sebab itu sekiranya dilihat latar belakang Senator yang dipilih melalui kaedah ini, kita akan dapati ada di antara mereka malahan memegang jawatan tertentu dalam parti seperti Naib Pengerusi peringkat Pusat, Ketua Bahagian, Pengarah Pilihan Raya Negeri dan sebagainya. Walau bagaimanapun, seperti biasa pelbagai justifikasi akan diberikan dengan menggelapkan asosiasi individu berkenaan dengan afiliasi politik. Nisbah Senator dalam kategori ini sekarang ialah 18 BN (9 x 2) manakala 8 PR (4 x 2).

Habis, ke mana pula perginya baki 44 Senator lagi? Aha, mereka inilah yang dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri. Bunyi formalnya begitulah, tapi barang harus diingat Agong sebenarnya akan perakukan sahaja nama yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. Sepengetahuan penulis ini begitulah halnya kuasa dan amalan Agong, terutama pasca-Pindaan Perlembagaan 1993. Jumlah 44 orang Senator ini termasuk 4 dari Wilayah Persekutuan; 2 dari KL, 1 dari Putrajaya dan 1 dari Labuan. Menerusi kategori ini BN boleh dikatakan akan skor 44-0, sebab kebiasaannya Senator di bawah kategori ini ialah ‘seseorang’ dalam parti atau sekurang-kurangnya pro-BN. Jangan kondem dahulu adil atau sebaliknya, kalau PR memerintah status quo tetap sama, sebab ternyata sangat menguntungkan pihak kerajaan yang memerintah.

Sungguhpun kurang popular berbanding rakan seYB mereka di Dewan bersebelahan, ramai juga ahli politik yang mengidam jawatan tersebut. Antara faktor utama ialah elaun yang lumayan walaupun sesetengahnya pasif di dalam Dewan. Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, Akta 237 memperuntukkan pelbagai insentif antaranya seperti berikut:
-          Elaun Bulanan RM3,399
-          Elaun Mesyuarat (menghadiri sidang Dewan Negara) RM200 sehari
-          Elaun Keraian RM1,500 sebulan
-          Bayaran Khas RM750 sebulan
-          Elaun Hidup Harian untuk tugas rasmi: Dalam Negara RM100, Luar Negara RM150
-          Elaun Tetap Perjalanan RM750 sebulan
-          Elaun Tetap Pemandu Kereta RM1,200
-          1 Lesen Kenderaan Motor percuma
-          1 Lesen Senjata Api percuma
-         1 Kemudahan Telefon Talian Terus di rumah; kos pemasangan dan sewa talian ditanggung oleh Kerajaan
-         1 Kemudahan Telefon Talian Terus di pejabat, kos pemasangan dan sewa talian ditanggung oleh Kerajaan
-          1 Telefon Bimbit berharga tidak lebih RM1,500; sekali dalam tempoh 3 tahun
-          Elaun Telefon RM900 sebulan
-          Tiket Penerbangan Kelas Perniagaan untuk urusan rasmi
-         Elaun Perjalanan Kenderaan dituntut menurut kadar hitungan tertinggi Kelas A bagi pegawai kerajaan.
-        Bayaran Sewa Hotel maksimum RM350 semalam (tidak termasuk caj lain berkaitan sewa hotel) untuk tugasan rasmi
Kemudahan-kemudahan yang dinyatakan ini belum lagi mengambilkira keistimewaan lain seperti rawatan perubatan di hospital kerajaan, elaun pakaian, pinjaman kenderaan, perumahan, dan komputer  dan sebagainya.
Memandangkan tempoh perkhidmatan seseorang Senator tidak tertakluk kepada pembubaran Parlimen (lebih tepat merujuk kepada Dewan Rakyat), sering disaksikan Senator baru mengangkat sumpah dari semasa ke semasa apabila Senator sedia ada tamat tempohnya. Oh ya, tempoh perkhidmatan Senator ialah selama 3 tahun bagi 1 penggal; maksimum 2 penggal bersamaan 6 tahun.

Wednesday, 21 September 2011

Harimau Muda lawan Samurai Muda Biru: Siapa Menang?

Semua rakyat Malaysia, sama ada profesor atau bukan, yang menyepakati fakta sejarah bahawa Jepun pernah menjajah dan bukan menaungi Malaysia, sudah tentu mengharapkan Malaysia menang dalam perlawanan menentang Jepun pukul 8 malam waktu Tosu, Saga Prefecture.

Tapi sebagaimana kata Ong Kim Swee, coach skuad Harimau Muda, walaupun nak menang pada masa yang sama kena realistik. Pada jangkaan seorang  pemerhati bola sepak negara (aku la tu), Malaysia akan berdepan masalah kalau hantaran bola entah ke mana, lambat buat keputusan dan bertindak, kawalan bola tidak kemas dan penyudah tumpul. Sebab Jepun seperti diketahui umum dengan reputasi tidak pernah gagal ke pusingan akhir Sukan Olimpik sejak had umur bawah-23 diperkenalkan di Atlanta 1996 akan bermain dengan sangat laju, dengan hantaran-hantaran pendek dan lintang yang tepat serta penyerang yang tangkas menghidu peluang dan mengambil kesempatan. Lepa sedikit, alamatnya bakal dihukum seperti terjadi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia FIFA 2014.

Gamba Osaka, Kashiwa Reysol dan Yokohama F Marinos merupakan 3 kelab teratas dalam carta liga Divisyen 1 J League. Namun di kalangan ketiga-tiga kelab berkenaan, hanya Kashiwa Reysol sahaja yang mampu mengirim wakil ke skuad Olimpik Jepun bertemu Malaysia menerusi Hiroki Sakai. Apa sebab kelab yang macam tu punya power pun pemain mereka tak menarik perhatian coach? Sedangkan kelab Venforet Kofu yang sekadar di tangga ke-16 dalam liga 18 pasukan pun ada juga wakilnya, Yutaka Yoshida. Kena tanya sama itu Takashi Sekizuka. Mungkin tak cukup bagus pada pengamatan coach, seperti nasib yang menimpa pemain dari pasukan Kelantan dan Terengganu untuk skuad senior negara, walhal team depa power dalam Liga M. Bezanya, dalam kes Jepun pemain dari kelab-kelab yang power itu langsung tak dipanggil.
Tugas Malaysia memang sukar, namun kalau terfikir nak bermain bola tinggi untuk memerangkap Jepun, ada baiknya fikirkan berkali-kali. Silap-silap Malaysia yang terperangkap. Sebagai makluman, 10 daripada 22 pemain dalam skuad Jepun berketinggian melebihi 6 kaki. Malaysia bukannya tak ada pemain-pemain yang tinggi tegha tu, masalahnya tak cukup ramai untuk cukup mengancam.

Ketiga-tiga penjaga gol dalam skuad Jepun berketinggian lebih 180 cm. Mereka dijangka menurunkan Shuichi Gonda (187 cm) yang bermain untuk FC Tokyo manakala pasukan Malaysia sudah pasti menurunkan Khairul Fahmi Che Mat (172 cm).

Di benteng pertahanan, 4 daripada 7 pemain berketinggian lebih 180 cm iaitu Daisuke Suzuki (181 cm), Hiroki Sakai (183 cm), Mizuki Hamada (185 cm) dan Shohei Takahashi (180 cm); satu-satunya pemain dari kelab Divisyen 2 J League, Tokyo Verdy yang terpilih menganggotai skuad 22 pemain ini.

Di bahagian tengah, Jepun mempertaruhkan 2 daripada 7 pemain yang berketinggian melebihi 180 cm iaitu Kazuya Yamamura (184 cm), seorang mahasiswa Ryutsu Keizai University dan Takahiro Ogihara (184 cm).

Di bahagian serangan pula, pemain yang paling tinggi ialah Yuya Osako (182 cm) dari kelab Kashima Antlers.
Apapun, kalau kena cara Malaysia boleh buat kejutan, sebab Nadeshiko yang rendah tu pun boleh kalahkan The Yanks. Dan kemarau 40 tahun untuk layak bermain di Sukan Olimpik sepatutnya lebih daripada cukup menjadi motivasi tahap maksimum buat skuad Malaysia, sebagaimana Jepun menjadikan tragedi tsunami yang menimpa warga senegara mereka sebagai pembakar semangat untuk berjaya.
Akhirul kalam, agak-agaknyalah siapa yang menang?

Kemaskini: Setakat separuh masa pertama, Jepun 1, Malaysia 0. Serangan Jepun terus bertali-arus. Penat la si Apek, macam selalu.
 
RUJUKAN: