Pages

Showing posts with label kampung. Show all posts
Showing posts with label kampung. Show all posts

Thursday, 8 September 2011

Jalan-Jalan Cari Kenangan

Apabila melalui jalan-jalan kampung, aku akan segera teringatkan kisah di sebalik pembinaan jalan-jalan tersebut. Ada skop jalan kampung yang pembinaannya sekadar memerlukan izin lalu daripada tuan-tuan rumah yang terlibat. Ada skop jalan yang lebih besar membolehkan tuan-tuan tanah mendapat sejumlah pampasan.

Walau bagaimanapun, bukan itu persoalannya yang bermain di benakku sekian lama. Persoalan utama ialah tentang gejala merempit sama ada di kalangan para penunggang motosikal mahupun yang bermotokar. Jarang sangat aku lihat pengguna jalan raya ini berhemah semasa di jalan raya. Sama jarangnya aku melihat penunggang dan pembonceng motosikal memakai helmet apabila menggunakan jalan raya di kawasan kampung dan luar bandar. Aku tidak fikir kebenaran dan keredhaan tuan-tuan rumah dan tanah mengizinkan tanah di hadapan rumah mereka dijadikan jalan raya termasuk juga kebenaran dan keredhaan untuk mat-mat dan minah-minah motor dan motokar merempit sampai tak fikirkan ketenteraman awam. Entah ka tuan rumah tu warga emas ka, sakit ka, kanak-kanak nak tidur ka. Orang dah berbudi, takkan tak reti-reti berbahasa. Perbuatan tak semenggah begini menjadi kelaziman sama ada kutu berahak, mak cik-mak cik bertudung, hatta sesiapa sahaja yang boleh transform dirinya menjadi drifter sebaik berada di atas tar. Semuanya jenis tak reti bersabar. Bahu jalan pun boleh buat memotong juga. Datanglah Ops Sikap ke-278 sekalipun, memang punca utama kemalangan maut ialah sikap tak reti bersabar dan berhemah di jalan raya.

Sebab itulah agaknya seorang tuan tanah yang terkenal di Kelantan tidak membenarkan tanahnya dibina jalan raya; dia nak bina stesen minyak. Katanyalah. Barangkali dia terfikir, kalau aku dengan anak-beranak aku sampai tak boleh hidup aman dek bunyi ekzos kenderaan, baik awal-awal aku sekat buang. Tak gitu? Ke guane?

Wednesday, 7 September 2011

Janji Palsu Seorang Ahli Parlimen

Satu perkara yang sering ditegaskan oleh ramai YB Ahli Parlimen ialah tugas mereka bukan berkenaan urusan parit longkang, kenduri-kendara, sakit demam, kematian dan sebagainya. Itu tugas PBT, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah, yada yada yada. Tugas mereka adalah menggubal undang-undang di Parlimen. Cantik dan bertaraf Ahli Parlimen kelas pertama. Bunyinya.

Tapi semasa berkempen dahulu bukan main lagi. Boleh pula bersalam dengan setiap orang dalam kawasan Parlimen yang ditandingi. Kadang-kadang taman yang sama, market yang sama, kampung yang sama boleh dok ulang pi sampai beberapa kali. Dah menang lain pula cerita.

Patutnya, kalau memang tak mau turun ke kawasan sebab dirasakan itu bukan kerja hakiki, semasa kempen dahulu bagitau siap-siap. "Bahawasanya saya, selepas kemenangan dalam pilihan raya bagi kawasan Parlimen ini, berikrar, akan menumpukan sepenuh tenaga saya untuk menggubal undang-undang di Parlimen. Oleh yang demikian, kepada tuan-tuan, puan-puan, pakcik-pakcik, makcik-makcik, adik-adik, abang-abang, kakak-kakak sekalian, janganlah berharap saya akan membantu menyelesaikan masalah kebajikan anda sekalian. Jika memerlukan bantuan, silalah berjumpa dengan Tuan DO, Pengarah Welfare, YDP Majlis Daerah dan sebagainya. Kerana benda-benda kebajikan ini semua, bukan kerja saya, tapi kerja mereka."

Tidaklah orang kampung dan bakal pengundi rasa tertipu kalau lepas menang pilihan raya YB Ahli Parlimen yang menang itu tidak lagi dapat ditemui, buat-buat sibuk, atau buat-buat lupa dengan alasan bantuan yang diminta di luar bidang kuasanya. Dan senang jugalah untuk pengundi memilih Ahli Parlimen yang memang akan berkhidmat sepenuh tenaga dan masa untuk mereka, bukan mereka-reka alasan yang bernada malas sebenarnya.