Aku perlu menulis catatan ini.
Ekonomi adalah kesan rantaian. Mana-mana mata rantai yang asyik menerima hentaman akan serpih lantas menjejaskan daya tahan cangkukan. Rantaian bisa terputus. Dan kesannya tak habis di situ; sebaliknya bahananya lepas satu, satu.
Demikianlah apabila pengusaha stesen minyak dikejutkan dengan pengembalian harga secara mingguan. Sebagai rakyat aku suka. Tetapi sebagai pengamat kehidupan aku risau. Kerana sebesar-besar bukit sekalipun, kalau saban kali ditarah pasti rata jua. Begitulah halnya golongan peniaga ini. Kalau belum apa2 sudah jelas pasti rugi, dan terpaksa pula menimbus dengan dana simpanan, lambat-laun tentu angkat tangan menyerah kalah.
Akibatnya, bukan sahaja mereka dan keluarga mereka hilang punca pendapatan, bahkan pekerja yang tumpang mencari makan juga akan hilang peluang pekerjaan. Bukan semua menggunakan khidmat imigran, masih ramai dan di banyak negeri pekerjanya orang tempatan. Dalam zaman semakin terasak dan sesak ini, di kala penciptaan peluang pekerjaan baru tidak dapat dijamin, janganlah pula menutup ruang yang ada. Kerana apabila orang tiada kerja, bagaimana hendak berbelanja. Kuasa beli tidak ada. Pasar malam akan jadi sekadar "window shopping", jualan tidak seberapa. Masjid surau dan golongan masyarakat daif juga sahih terkena tempiasnya, kerana pengusaha stesen minyak inilah antara dermawan dalam masyarakat yang menjadi penyumbang besar dan signifikan kepada usaha pengimarahan dan belanja operasi. Orang macam aku berapalah sangat yang termampu.
Justeru, wajarlah elit-elit birokrat di atas sana ambil kira sama keluh-kesah dan sengsara pengusaha stesen minyak dengan peraturan harga secara mengejut dan mendadak. Mentang-mentang gaji dan elaun sedap setiap bulan, janganlah ek sangat membuka dada mendongak ke langit sampai terlupa rumput di bumi. Sikit-sikit ugut nak denda, nak penjara. Carilah jalan bagaimana nak membantu mereka yang rata-rata golongan Bumiputera juga. Amatlah sedih kalau tiada terdetik barang secebis rasa nak menolong anak bangsa.
"Man la yarham, la yurham".
Aku Seadanya
Thursday, 27 December 2018
Mengapa Pengusaha Stesen Minyak Perlu Diselamatkan
Subscribe to:
Posts (Atom)